Friday, 24 November 2017

PUJIAN BAIK ORANG SETELAH KEMATIANNYA



Daripada Anas r.a. , katanya; Suatu ketika ada satu jenazah yang dibawa berlalu. Lalu jenazah itu mendapat pujian yang baik (daripada orang) Nabi s.a.w.  lalu bersabda: "Pasti, pasti, pasti." Kemudian, satu jenazah lainnya dibawa berlalu. Jenazah tersebut mendapat celaan ( daripada orang ), maka  Nabi s.a.w. bersabda: "Pasti, pasti,pasti,"

Umar bertanya tentang hal itu, lalu Rasulullah menjawab: "Sesiapa yang kalian puji dengan kebaikan, maka ia pasti masuk syurga, namun sesiapa yang kalian cela dengan keburukan, maka ia pasti akan masuk neraka."

Kalian ialah saksi-saksi Allah di muka bumi. (Rasulullah mengulang sebanyak tiga kali) ." [Riwayat al-Bukhari]

Jika difikir semula, yang kita harap sebenarnya bukanlah pujian ketika kita masih hidup kerana boleh jadi akan timbul ujud dan bangga diri. lagi-lagi takut amalan kita tidak ikhlas.

Seronoknya nanti apabila kita sudah tiada, orang mengenang kita sebagai orang yang baik-baik. Disebut-sebut kebaikan, dan diamalkan apa yang telah kita ajar dan contohkan semasa kita hidup dahulu. Subhanallah !  Pahala yang berpanjangan. Moga-moga itu menjadi jalan kita ke syurga....


Thursday, 23 November 2017

BERKATA BENAR WALAUPUN PAHIT



Guangzhou adalah sebuah negeri yang terletak di selatan negara China. Ia diperintah oleh seorang Maharaja. Namun, sejak akhir-akhir ini  Maharaja itu sering jatuh  sakit. Sedar dengan kekurangan itu, Maharaja pun memutuskan untuk mencari penggantinya yang baru. Kali ini, Maharaja ingin melantik dengan cara yang agak berbeza.

Satu hari, Maharaja bertitah untuk menjemput kanak-kanak ke istananya. Semua kanak-kanak di seluruh negeri datang berkumpul di Balai Istana. Kata Maharaja, "Kini tiba masanya untuk Beta mencari pengganti. Beta ingin melantik seorang Maharaja baru daripada kalangan kamu wahai anak kecil."

Semua kanak-kanak yang hadir terkejut. Kemudian, Maharaja menyambung, "Beta akan memberikan kalian sebiji anak benih. Beta titahkan kalian menanam dan menjaganya dengan baik. Setahun lagi, kalian kembali semula dengan tanaman yang cantik. Kemuadian Beta akan memilih siapa yang layak menjadi pengganti Beta," titah Maharaja.

Dalam kalangan kanak-kanak itu, ada seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Ling. Apabila dia mendapat biji benih itu, dia pun pulang ke rumah dan menceritakan kepada ibunya. Lalu ibunya membantu Ling menanam dalam sebua pasu. Setiap hari, Ling akan menyiram dan membaja biji benih itu dengan sebaiknya.

Selepas tiga minggu, dia mula mendengar cerita kawan-kawannya tentang biji benih masing-masing. Teruja dengan apa yang didengarinya, Ling pun pulang ke rumah untuk melihat perkembangan biji benihnya. Namun, tiada apa-apa yang tumbuh. Tiga minggu, empat minggu, lima minggu namun, masih tiada apa-apa.

Enam bulan berlalu, biji benih Ling masih serupa. Dia mula membenci biji benihnya. Tetapi dia sedaya upaya memujuk hati akan terus bertahan dan menjaganya. Walaupun sedih dengan apa yang terjadi, Ling tetap berdiam diri dan tidak menceritakan apa-apa  yang berlaku kepada kawan-kawannya.

Setahun berlalu. Kini tibalah masa untuk menghadap Maharaja. Seluruh kana-kanak dari seluruh pelusok negeri berduyun-duyun memenuhi Balai Istana bersama pokok masing- masing untuk diadili. Bagaimana pun Ling memberitahu ibunya dia tidak mahu pergi menghadap Maharaja. Namun, ibunya tetap memberi sokongan membawa pasu  'kosong' itu ke istana.

Apabila Ling tiba di istana, semua kanak-kanak yang melihat pasunya, ketawa. Tidak kurang juga yang menghulurkan tanda simpati. Namun, Ling tetap tebalkan muka dan cuba berlaku jujur dengan apa yang diperolehnya walaupun sedih. Malu dengan apa yang dibawa, Ling memilih untuk duduk  di bahagian paling belakang.

Apabila Maharaja tiba di istana, Baginda mula memerhatikan  pokok-pokok yang dibawa kanak-kanak itu. Namun, Ling hanya menyembunyikan dirinya di belakang kanak-kanak lain agar tidak dilihat Maharaja. Baginda sungguh teruja melihat pokok-pokok bunga berwarna-warni tumbuh mekar dalam pasu masing-masing.

"Hari ini salah seorang daripada kamu bakal menjadi Maharaja baru," titah Maharaja penuh keyakinan.

Tiba-tiba Maharaja kehairanan melihat Ling yang cuba menyembunyikan pasunya. Terkejut dengan apa yang dibawa, lalu Maharaja mengarahkan askarnya untuk membawa Ling ke hadapan istana. Ling menggigil ketakutan. Dia takut dijatuhkan hukuman ke atasnya kerana gagal menjaga pokok tersebut.

"Nama saya Ling," Ling bersuara terketar-ketar. Kanak-kanak di sekitar istana mula mentertawakannya.

"Ling adalah Maharaja yang baru!" laung Maharaja kuat. Seluruh istana sunyi sepi. Ling menggosok -gosok mata sambil tangan menggaru kepala yang tidak gatal. Seingat Ling, biji benihnya tidak tumbuh. Dia gagal menjaga amanah Maharaja. Tapi kini dia dilantik menjadi Maharaja baru. Apa yang sedang berlaku?

"Tahun lepas, beta memberikan kalian biji benih. Beta mahu kalian menjaganya, siram dan bajanya setiap hari. Hari ini, beta minta kalian persembahkan kepada beta. Kalian tahu?  Biji benih yang beta berikan dulu semuanya telah dimasak. Biji benih itu tidak mungkin akan tumbuh. Tapi hari ini kalian semua membawa pokok yang sangat cantik kepada beta kecauli Ling.

"Apabila kamu mendapati biji benih itu tidak tumbuh, kalian menukarnya dengan biji benih yang lain. Tetapi, Ling tidak berbuat begitu. Dia jujur dan amanah dengan apa yang beta beri. Maka dengan ini, beta mengisytiharkan Ling adalah Maharaja baru!"



Wednesday, 22 November 2017

KERJA DENGAN KEIKHLASAN

ALHAMDULILLAH.

Perlu diakui semua orang bekerja untuk wang. Faktor lain dikira kemudian. Kerana itu juga adakalanya keikhlasan bekerja tiada. Sampai satu tahap kita bekerja ditakuk yang sama....reputasi boleh terganggu. Kerja mula berkira....jadi malas....gaji kau, gaji aku sama tapi kenapa aku kena kerja lebih?

Kerja...apabila sudah menjawat sesuatu kerja, suka atau tidak, kita mesti minat pada kerja itu. Lakukan dengan fokus. Kalau tak suka, tawar hati dan buat kerja kerana terpaksa, lebih baik lepaskan sahaja. Cari kerja lain. tak susahkan majikan dan rakan sejawat !!

Sebagaimana teruknya sesuatu kerja itu...kerjalah dengan baik, ikhlas dan sukakan kerja itu yang kita pilih  dan memberikan rezeki untuk hidup....

hrmm...

SENTUHAN-MAYA





Semua pernah merasakan kehilangan, cuma bezanya hanya sejauh mana kesakitan
hilang itu ada. Kita punyai rasa, dan kadang rasa kita itu
sukar untuk dijelaskan mahu pun untuk diterang-terangkan.

Tiada siapa pun mahukan sebuah perhubungan yang dibina dengan kasih sayang
itu berakhir dengan dendam dan benci. Dan menjadi naluri kita mencari
tanpa ada jemu akan rasa cinta.

Ternanti-nanti di mana hujungnya kasih itu terhenti. Adakah berakhirnya cerita
putus di tengah jalan dan pedih sepanjang masa.
Hingga kadang menghantui sejarah kehidupan hingga akhir usia.







Ada kalanya kita merasakan kehidupan ini akan berterusan tanpa hujungnya
lalu jiwa kita terasa selesa dengan kesenangan dunia.
Dan menjadi asyik di dalam dunia kita sendiri tanpa merasakan kehilangan
yang pasti. Kita terlupa itu seolah-olah itu adalah ganjaran,
yang ada lalu senang dan lapang dada, hanya alpa dan terus lupa.......

Adakala impian kita untuk kehidupan sementara ini mendaki kemuncak tertinggi
di dalam jiwa lalu merasi dunia itu milik kita selamanya.
Kerana masih merasakan satu kenikmatan yang sementara itu buat kita terlupa
yang kekal abadi...







Kita memahami sesuatu perkara itu berlaku punyai jalan tersendiri mengikut apa
yang telah ditakdirkan pada kehidupan ini.
Namun sering juga kita mengeluh dan bertanyakan pada diri sendiri
kenapa dan mengapakah diuji dengan penuh debaran.
Dan kadang merasakan amat sukar untuk dirasai.

Jangan tersalah memberi hati pada insan yang tak sudi. Pada insan yang tak mengerti.
Kerana sekali kamu memberi, selamanya dia di hati.
Kerana sekali kamu dilukai, sampai bial-bila tetap diingati...








Hidup ini bukanlah hanya sekadar ketawa... Dan juga bukanlah sekadar air mata.
Pasti akan selang seli dengan warna warni kehidupan yang kadang tidak
datang dan sempurna seperti yang kita inginkan.
Dan ada tikanya kita terpaksa menerima sesuatu akan hakikat dengan sabar
dan rela kerana itulah takdir buat kita. Pada saat ujian datang merapati
dan ketika itulah hati dan fikiran teruji. Menjadi igauan merisaukan hati. Akan tetapi,
siapa yang masih mampu tersenyum...dan tika itulah, menguji kita sejauh mana
kekuatan yang ada dalam jiwa kita. Di dalam kita mentafsir
di mana letakkan kejituan hati kita...







Hadapilah satu suratan atas sesuatu ke atas kita, dengan rasa bersyukur kerana
diuij Allah. Siapalah kita menidakkan takdir buat kita.
Cuba dan mengerti akan perjalanan kita, syukuri apa yang ada kini.
Itulah letaknya nilai murni kita sebagai muslim sejati.

Kita diuji dan diduga dalam jarak perjalanan kehidupan kita,  melihat betapa
utuhnya kekuatan iman di dalam jati diri.

Berhentilah menangisi sesuatu suratan yang berlalu. Pasti ada hikmah yang
tersembunyi disebaliknya. Usah dikenang salah lama.
Dan perkara yang lepas itu, tak akan sama sekali berulang kembali.
Mustahil pada kita hamba-Nya yang lemah mencari dan mengulangi, mengembalikan
masa lalu untuk membetulkan kesalahan masa lampau.....






BELAJAR BERDOA DENGAN NABI IBRAHIM



Jika tidak silap, doa Nabi Ibrahim paling banyak dirakam dalam al-Quran. Menariknya lagi, hampir semua doa baginda berkaitan kekeluargaan. Kebanyakan doa nabi buat anak dan keturunannya. Antaranya ayat 35 hingga 41 surah Ibrahim merakamkan doa Nabi Ibrahim yang sangat mempesona. Apakah yang didoakan baginda? Ayuh kita belajar berdoa dengan Nabi Ibrahim.


1.     Doakan tempat tinggal anak-anak aman selamat.
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah tempat ini negeri yang aman...." [Surah Ibrahim 14:35]


2.     Doakan anak-anak jauh daripada syirik.
"Dan jauhkanlah aku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala." [Surah Ibrahim 14:35]


3.     Doakan manusia lain menyukai mereka.
"Maka jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik kepada mereka.... " [Surah Ibrahim 14:37]


4.     Doakan mereka dikurniakan rezeki yang cukup supaya bersyukur.
"Dan rezekikan mereka pelbagai jenis buah-buahan semoga mereka bersyukur." [Surah Ibrahim 14:37]


5.     Melafazkan syukur kerana dianugerahi  anak.
"Segala pujian bagi Allah yang telah mengurniaiku semasa aku tua; Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan memperkenan doa." [Surah Ibrahim 14:39]


6.     Doakan diri dan keturunan menjadi orang yang  solat.
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku." [Surah Ibrahim 14:40]


7.     Doakan agar dikabulkan doa.
"Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa." [Surah Ibrahim 14:40]


8.     Doakan keampunan buat diri sendiri, ibu bapa dan semua orang beriman.
"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku serta bagi orang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan." [Surah Ibrahim 14:41]



***Jom hafal dan amal. Tujuh ayat sahaja. Daripada ayat 35 hingga 41 surah Ibrahim. Rangkap ayat yang sangat menarik untuk dijadikan bacaan dalam solat dan self-talk.....


~ sumber 

KITA SEMUA SAMA




Selain manusia diciptakan berpasangan lelaki dan perempuan, manusia juga 'berpasangan' sikap dan peribadinya. Mudah bicaranya, ada kelebihan dan kekurangan. Jika dia kelihatan sempurna wajahnya, mungkin ada kemahiran yang tidak dikuasainya. Jika dia menguasai ilmu profesional, boleh jadi perlu menuntut untuk membaca al-Quran bertajwid, misalnya. Manusia sempurna menjadi manusia,apabila dia mempunyai kedua-dua ini. Allah sahaja yang tiada cacat cela.

Justeru, apabila kita mengakuinya, seharusnya kita tidak memandang diri jauh lebih mulia berbanding orang lain. Jika ada pun, hakikatnya Allah sedang menutup aib kita. Allah menutup lompang dan kurangnya diri kita.

Jika memandang orang lain yang nampak lebihnya berbanding kita pula, tidak seharusnya timbul rasa hasad dengki, kerana apa yang kita nampak adalah zahirnya. Allah sedang menutup aib orang lain yang mungkin kita tidak tahu.

Lihatlah bait-bait kata Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam usaha menjaga hati, merasa diri lebih berbanding orang lain: "Apabila engkau bertemu dengan seseorang, hendaklah engkau memandang dia lebih utama daripada dirimu dan katakan dalam hatimu: 'Boleh jadi dia lebih baik daripadaku lebih tinggi darjatnya.'

Jika dia lebih kecil  dan lebih muda daripadamu, katakan dalam hatimu: 'Boleh jadi orang kecil ini tidak banyak berbuat dosa kepada Allah, sedangkan aku lebih banyak berbuat dosa. Darjatnya tentu jauh lebih baik daripadaku.'

Apabila dia orang yang lebih tua, katakan dalam hatimu: 'Orang ini lebih dahulu beribadah daripadaku, telah diberi oleh Allah sesuatu yang tidak dapat aku raih, telah mengetahui sesuatu yang aku tidak ketahui, dan telah mengamalkan segala ilmunya.'

Apabila bertemu orang jahil, katakan dalam hatimu: 'Aku tidak tahu, boleh jadi dia akan masuk Islam dan menghiasi kehidupannya dengan amal soleh, dan aku pula boleh jadi terjerumus kafir dan mengakhiri kehidupanku dengan amal buruk.'''

Dalam pandangan Islam, setiap manusia sama sahaja. 'Tiada beza antara orang kaya dengan orang miskin, berpangkat tinggi atau rendah, latar belakang pendidikan atau apa sahaja. Jelas Allah mengingatkan, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang bertaqwa.

Justeru, jadilah orang yang sentiasa bersyukur dengan apa adanya diri, tidak sombong berjalan di muka bumi dan memandang orang lain dengan pandangan kebaikan.....





TIPS UNTUK TIDAK MENJADI LUPA



Saya mudah terlupa bila banyak kerja. Kadang-kadang saya rasa kecewa sebab kelupaan tersebut menjejaskan orang disekeliling saya.

Namun yang penting ialah bimbang jika kita terlupa kita akan menjejaskan periuk nasi kita. Ini antara cara kawan saya beritahu untuk atasi lupa, yang saya lupa nak buat/amal...




Mencium bunga mawar. Kata penyelidik mencium bunga mawar ia akan meransangkan otak kita menjadi kuat dan kekuatan itu membuat daya ingatan kita kuat. Entahlah betul ke tidak. Tapi kawan saya yang pelupa itu beritahu sudah ada kajian mengesahkannya. Jom kita pakat-pakat cium bunga ros? Cium minyak wangi pun ok kot?




Makan daging burung merpati, kurma dan madu. Pasal bab-bab makan ni saya tak dapat ikutinya sebab suasana sekeliling tidak ada jual daging burung merpati. Kurma pulak kurang suka sebab rasanya manis pelik sangat. Madu pulak tak tahu mana tulin atau tidak. Penjual madu yang saya jumpa pun ada yang mukanya macam tak boleh caya jer...



Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...