Selain manusia diciptakan berpasangan lelaki dan perempuan, manusia juga 'berpasangan' sikap dan peribadinya. Mudah bicaranya, ada kelebihan dan kekurangan. Jika dia kelihatan sempurna wajahnya, mungkin ada kemahiran yang tidak dikuasainya. Jika dia menguasai ilmu profesional, boleh jadi perlu menuntut untuk membaca al-Quran bertajwid, misalnya. Manusia sempurna menjadi manusia,apabila dia mempunyai kedua-dua ini. Allah sahaja yang tiada cacat cela.
Justeru, apabila kita mengakuinya, seharusnya kita tidak memandang diri jauh lebih mulia berbanding orang lain. Jika ada pun, hakikatnya Allah sedang menutup aib kita. Allah menutup lompang dan kurangnya diri kita.
Jika memandang orang lain yang nampak lebihnya berbanding kita pula, tidak seharusnya timbul rasa hasad dengki, kerana apa yang kita nampak adalah zahirnya. Allah sedang menutup aib orang lain yang mungkin kita tidak tahu.
Lihatlah bait-bait kata Syeikh Abdul Kadir Jailani dalam usaha menjaga hati, merasa diri lebih berbanding orang lain: "Apabila engkau bertemu dengan seseorang, hendaklah engkau memandang dia lebih utama daripada dirimu dan katakan dalam hatimu: 'Boleh jadi dia lebih baik daripadaku lebih tinggi darjatnya.'
Jika dia lebih kecil dan lebih muda daripadamu, katakan dalam hatimu: 'Boleh jadi orang kecil ini tidak banyak berbuat dosa kepada Allah, sedangkan aku lebih banyak berbuat dosa. Darjatnya tentu jauh lebih baik daripadaku.'
Apabila dia orang yang lebih tua, katakan dalam hatimu: 'Orang ini lebih dahulu beribadah daripadaku, telah diberi oleh Allah sesuatu yang tidak dapat aku raih, telah mengetahui sesuatu yang aku tidak ketahui, dan telah mengamalkan segala ilmunya.'
Apabila bertemu orang jahil, katakan dalam hatimu: 'Aku tidak tahu, boleh jadi dia akan masuk Islam dan menghiasi kehidupannya dengan amal soleh, dan aku pula boleh jadi terjerumus kafir dan mengakhiri kehidupanku dengan amal buruk.'''
Dalam pandangan Islam, setiap manusia sama sahaja. 'Tiada beza antara orang kaya dengan orang miskin, berpangkat tinggi atau rendah, latar belakang pendidikan atau apa sahaja. Jelas Allah mengingatkan, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang bertaqwa.
Justeru, jadilah orang yang sentiasa bersyukur dengan apa adanya diri, tidak sombong berjalan di muka bumi dan memandang orang lain dengan pandangan kebaikan.....