SAYIDATINA AISYAH menceritakan bahawa suatu malam Rasulullah keluar dari rumah beliau.
Beliau berkata, "Maka aku pun naik cemburu. Selepas itu baginda pulang. Baginda melihat apa yang sedang buat."
Nabi s.a.w. pun berkata, "Mengapa dengan awak ini wahai Aisyah? Awak cemburu?"
Lalu aku pun membalas, "Bagaimanalah orang seperti aku tidak cemburu dengan orang sepertimu!"
Baginda bersabda lagi, "Syaitan awak datang lagi?"
Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah, ada syaitan bersama aku?"
Nabi menjawab, "Ya."
Semua orang pun ada?
"Ya,"
"Bersama awak pun ada wahai Rasulullah?"
"Ya, tetapi Tuhanku telah menolongku mengatasinya sehingga dia masuk Islam." [Riwayat Muslim]
Imam Muslim merakamkan hadis ini dalam bab berkaitan setiap manusia ada qarin. Maka tidak hairanlah hadis ini biasanya dilihat pada sisi akidah dan perkara ghaib, sehingga kita terlepas pandang satu sisinya yang tidak kurang juga penting; sisi rumah tangga Rasulullah s.a.w.
CATATAN 1- Ummulmukminin Paling Cemburu
Sayidatina Aisyah cemburu lagi! Seperti yang kita sebutkan sebelum ini, banyak sekali kisah kecemburuan ummulmukminin Aisyah dalam hadis. Bahkan belum temui babak kecemburuan isteri Nabi yang lain.
Kisah-kisah sebegini juga jangan dilihat sebagai keburukan, sebaliknya bukti kelebihan Sayidatina Aisyah. Cemburu tanda sayang. Sememangnya beliau isteri yang paling disayangi Baginda....setelah Sayidatina Khadijah. Lalu tidak hairanlah Sayidatina Aisyah paling mencemburuinya.
Beliau mengakuinya sendiri, "Tidak ada perempuan lain yang aku cemburu sebagaimana cemburunya aku terhadap Khadijah. Walhal beliau meninggal dunia tiga tahun sebelum Nabi menikahiku. Bagaimana pun aku selalu mendengar Baginda menyebut tentangnya. Antaranya Tuhan pernah menyuruh Baginda menyampaikan Khabar gembira bahawa dia akan mendapat rumah daripada untaian mutiara di syurga nanti.
Rasulullah s.a.w. apabila menyembelih kambing (mengadakan jamuan), Baginda pasti akan menghantar sebahagiannya kepada kenalan-kenalan Khadijah." (Riwayat Al-Bukhari)
CATATAN 2- Cemburu Tidak Membuta Tuli
Sayidatina Aisyah memang seorang yang kuat cemburu. Namun umulmukminin bukan orang yang cemburu membuta tuli. Bahkan kecemburuan sekali-kali tidak menyebabkan beliau buta dan tuli dari menerima kebenaran.
Perhatikan kembali hadis pertama. Geli hati pun ada. Bagaimana sesi cemburu dan merajuk boleh sekelip mata bertukar menjadi sesi ilmu. Apabila Rasulullah s.a.w. menyebut, "Syaitan awak sudah datang?", ummulmukminin tidak terasa hati, sebaliknya teruja hendak tahu sehingga bertanya, "Ada syaitan bersama aku?"
Masya-Allah! Sayidatina Aisyah seorang yang kekal waras walaupun sedang cemburu.
Bukan setakat itu, kecemburuan juga tidak menyebabkan ummulmukminin menyembunyikan kebenaran. Sila rujuj kisah kecemburuan beliau. Beliau sendiri yang menceritakannya, bukan orang lain. Walhal cerita-cerita sebegitu ada unsur mendedahkan keburukan diri. Namun demi menyampaikan amanah ilmu, beliau tidak malu menceritakannya. Contohnya kes cemburunya terhadap Sayidatina Khadijah di atas, beliau sendiri menceritakan kelebihan madunya. Beliau ingat setiap ucapan Nabi s.a.w. semasa beliau dilanda cemburu.
Andai beliau "buta dan tuli" semasa sedang cemburu, mana mungkin beliau dapat menyampaikan kisah ini. Mana mungkin beliau ingat apa yang disebut Nabi ketika itu.
Wahai para isteri yang kuat cemburu, ummulmukminin Aisyah ialah teladanmu.
CATATAN 3- Boleh Cemburu Tanda Terbuka
Wahai para suami pula, jangan lupa meneladani Rasulullah s.a.w. dalam melayan kerenah isteri yang cemburu. Sayidatina Aisyah berani merajuk dan menzahirkan kecemburuan terhadap Nabi. Bukan bermakna Nabi pengecut, apa lagi takut bini. Sekali-kali tidak!
Sebaliknya asam garam rumah tangga Nabi ini mengisyaratkan kita teladan suami terbaik. Suami terbaik ialah orang yang isterinya tidak takut untuk merajuk atau menunjukkan kecemburuan. Isteri boleh cemburu menunjukkan sikap suami yang terbuka. Baginda tidak pernah mencela sikap cemburu Sayidatina Aisyah.
Malangnya pada hari ini masih ada umat Baginda yang menyalahi sunnah ini. Kita mengenali ada suami yang si isteri tidak boleh langsung berbeza pandangan dengannya. Jika isteri bersuara, terus diherdik. Andai isteri menyoal terus diselar. Lebih parah ada suami yang menanpar isteri atas alasan mendidik isteri.
Akhirnya si isteri tidak berani bersuara memberi pandangan sampai bila-bila. Isteri yang malang ini tidak pernah merajuk terhadap suami. Mereka belum pernah merasai pengalaman mencemburui suaminya yang dinikahi.
Kita mendoakan ummah kembali mengikuti sunnah Nabi dalam berumah tangga.
Sayidatina Aisyah cemburu lagi!
Muhammad bin Al-Qasim menceritakan daripada Sayidatina Aisyah apabila hendak bermusafir, Baginda akan membuat cabutan undi antara isteri. Kali ini undian Aisyah dan Hafsah yang terkena. Lalu mereka berdua mengikut Baginda.
Tiba waktu malam Baginda akan berjalan beriringan dengan Aisyah untuk berbincang-bincang dengannya. Hingga suatu ketika Hafsah berkata kepada Aisyah, "Apa kata awak naik unta saya, saya naik unta awak. Awak boleh tengok apa-apa yang saya dapat tengok dan saya juga begitu."
Aisyah menjawab, "Baiklah!" Maka Aisyah menunggang unta Hafsah, dan Hafsah menunggang unta Aisyah.
Selepas itu Nabi datang lagi ke unta Aisyah walhal Hafsah yang ada di situ. Baginda memberi salam dan berjalan bersamanya sampailah mereka tiba. Aisyah pula mencari-cari Baginda sehingga beliau naik cemburu.
Ketika sampai, Aisyah meletakkan kaki di celah-celah pohon izkhir (sejenis tumbuhan seprti serai) lalu berkata, "Wahai Tuhan, datangkanlah kepada aku jengking atau ular supaya menggigitku!"
(Riwayat al-Bukhari)
Semoga Allah merahmati para ummulmukminin yang menjadi penghibur dalam kehidupan berumah tangga Rasulullah.
~ sumber majalah solusi.