Friday, 3 November 2017

KISAH LELAKI ALIM DAN PENIAGA



Suatu masa dahulu, ada seorang lelaki tua yang sangat alim. Dia tinggal bersendirian di sebuah pondok di hujung kampung. Setiap hari, dia menghabiskan masanya hanya dengan beribadah, berpuasa dan berzikir mengingati Allah. Boleh dikatakan aktiviti hariannya hanyalah mengabadikan diri kepada Allah. Pun begitu, lelaki itu sangat bahagia dengan cara hidupnya.


Pada suatu malam, lelaki itu bermimpi. Dia melihat seorang peniaga sedang sibuk menguruskan perniagaan di sebuah pekan. Apa yang menariknya, peniaga itu memiliki keimanan yang jauh lebih hebat daripadanya walaupun sibuk menguruskan  hal duniawi. Berbeza pula dengan lelaki tua itu yang hanya beribadah kepada Allah sehari-harian.


Keesokan harinya, lelaki tua itu pun pergilah ke pekan untuk mencari peniaga yang muncul dalam mimpinya itu. Ketika dia sampai di hadapan kedai, dia dapati peniaga itu sedang sibuk melayan pelanggan. Sesekali peniaga itu mengira-ngira keuntungan yang diperoleh apabila pelanggannya tiada. Lelaki tua itu pun mengambil keputusan untuk duduk memerhatikannya dari luar kedai.


Sepanjang pemerhatiannya, dia tidak nampak pun peniaga itu seolah-olah sedang beribadah sebagaimana caranya selama ini. Dalam hati, dia berkira-kira, mungkinkah mimpinya itu salah atau dia hanya dimainkan syaitan? Sedang asyik berfikir, tiba-tiba dia melihat peniaga itu meninggalkan kedai lalu menuju ke masjid berhampiran. Beberapa minit kemudian, peniaga itu kembali ke kedai dan menjalankan rutinnya seperti tadi.


Curiga dengan tindakan lelaki tua itu, peniaga lalu menyapanya. "Assalamualaikum. Ada apa-apa yang boleh saya tolong pak cik?"tanya peniaga itu.


"Waalaikumussalam. EH! Tidak ada apa-apa. Pak cik tidak mahu beli apa-apa, Cuma Pak cik nak tanya sesuatu," balas lelaki tua itu lalu menceritakan mimpinya.


"Begini pak cik, sebelum saya menjawab soalan boleh tak saya minta pak cik lakukan untuk saya?" tanya peniaga.

"Pak cik boleh lakukan apa saja,"  balas lelaki tua itu.

"Baiklah. Pak cik ambil piring yang berisi air ini. Dengan piring ini, Pak cik pergi ke hujung bangunan dan patah balik ke sini tanpa menumpahkan air dalam tempuh lima minit," arah peniaga itu.


Lalu, lelaki tua itu mengambil piring yang mengandungi piring  mengandungi air dan memulakan perjalanannya. Di pertengahan jalan, air dari piring itu tiba-tiba tertumpah sedikit. Lalu, cepat-cepat lelaki tua itu membetulkan kedudukan piring dan memperlahankan langkahnya sehingga tiba semula ke kedai itu.


"Nah! Ini piring tadi. Selamat. Sekarang, apa maksud mimpi pak cik itu?" tanya lelaki tua itu ingin tahu.

Lalu peniaga itu mengambil piring yang dihulurkan. "Sepanjang Pak cik ke hujung bangunan, berapa kali Pak cik ingat Allah?"

"Ingat Allah?" jerit lelaki tua terkejut.

"Pak cik tidak ingat langsung kepada Allah tadi. Pak cik cuma pastikan air supaya tidak tumpah dan tiba pada masanya," terang lelaki tua panjang lebar seraya menyesal dengan tindakannya itu. 

"Tapi saya sentiasa mengingati Allah sepanjang masa. Ketika saya berniaga, saya juga membawa 'air dalam piring'. Saya jujur, amanah dan adil dalam perniagaan. Saya tidak pernah lupa bahawa Allah sentiasa memerhatikan saya," terang peniaga itu.



Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...