Media kita sering menyorot kegemilangan bangsa Melayu lampau. Tujuannya bukan semata-mata mahu mengimbau sejarah silam yang telah berlalu. Tetapi kita mahu membuktikan dengan keyakinan yang mantap di dada bahawa bangsa Melayu sebenarnya sebuah bangsa besar yang pernah mencipta sejarah membangunkan tamadun dunia. Jika itu halnya, mengapa dunia hari ini tidak mampu mengembalikan semula kegemilangan dan keagungan bangsa Melayu itu?
Bangsa Melayu sebenarnya suatu kelompok yang besar. Melayu pernah mencapai kegemilangan wilayah dan kerajaan. Melayu bangsa yang hebat. Melayu pernah menjadi kuasa yang disegani dan digeruni. Sebab itu kita perlu menghidupkan semula jiwa orang Melayu supaya mampu mencetuskan semangat untuk ikut bersaing. Mampu membangkitkan impian kita untuk kembali menjadi besar seperti dahulu.
Tetapi kekerapan melihat ke belakang ini juga boleh mendepankan orang Melayu dengan masalah lain. Mereka mungkin akan lupa pada apa yang ada di hadapan. Mereka mudah lupa landasan tempat mereka berpijak. Dengan perkataan lain, Melayu mudah lupa diri. Orang yang lupa diri tidak kenal akan diri sendiri. Apabila tidak kenal diri sendiri, jangan hairanlah jika kita mudah kehilangan sasaran dan arah tujuan.
Jati Diri Orang Cina
Cuba tanya asal keturunan seorang bangsa Melayu. Kebanyakannya cuma tahu salasilah keluarga sehingga ke tahap moyang sahaja. Jarang yang tahu lebih daripada itu. Malah bagi anak-anak Melayu generasi siber ini, ada yang sudah tidak tahu nama daruk dan neneknya sendiri!
Sebaliknya kebanyakan kaum Cina mempunyai rekod susur galur salasilah yang teratur. Jika mereka tidak menyimpannya secara peribadi, persatuan-persatuan yang mewakili nasab mereka akan melakukannya.
Seorang budak lelaki Cina mungkin boleh bercerita dengan baik bagaimana moyangnya dahulu meninggalkan Kwantong di negeri China menaiki kapal layar yang sarat dengan ribuan penumpang berpindah bersama kepingan duit syiling dipoket masing-masing. Tetapi jangan terkejut jika ramai budak Melayu tidak tahu bagaimana bapanya datang merantau ke ibu kota 20 atau 30 tahun dahulu!
Bangsa Gypsy yang Hilang Nageri
Jangan jadi suatu hari nanti bangsa Melayu seperti bangsa Gypsy yang berasal dari benua India Utara, namun pada hari ini tercampak ke seluruh dunia tanpa negeri. Lelaki Gypsy yang menari-nari di jalanan di Eropah menggambarkan lagenda keperwiraan nenek moyang mereka.
Tariannya diiringi gendang perang yang penuh bersemangat tetapi kaum Gypsy sendiri yang menonton terlupa bahawa mereka ialah bangsa yang tidak lagi mempunyai negeri!
Duhai bangsaku!!
Sikap bangsa Melayu kurang cenderung mengintrospeksi ke dalam diri. Tidak mengambil berat tentang susur galau keluarga adalah gambaran terhadap tidak wujudnya perasaan menghargai keluarga sendiri. Orang yang tidak menghargai keluarga sendiri jarang sekali boleh diharap untuk menghargai bangsanya kerana bangsa bermula daripada keluarga!
~ Dato' Haji Muhammad Zakaria.
Penasihat Jabatan Penerbitan Telaga Biru.