TIP IBU BAPA.
Seorang ibu anak satu teruja saat dimasukkan ke dalam satu group Whatsapp ibu bapa. Dalam group tersebut, ramai ibu bapa yang berkongsi input berkenaaan dengan tip keibubapaan. Boleh dikatakan rata-rata mereka lebih senior kerana mempunyai lebih seorang anak. Ada juga yang anaknya sudah besar-besar. Sudah bersekolah rendah dan menengah.
Kadangkala ada juga yang berkongsi tentang seminar keibubapaan, termasuk juga pendidikan bentuk bermain sambil belajar yang kelihatan begitu praktikal. Semua ini membuatkan ibu muda tadi semakin teruja.
Bersungguh dia mengajak agar suaminya menyertai seminar yang dijalankan sana sini. Bersungguh juga dia menyediakan bahan bantu mengajar untuk anaknya yang seorang itu. Hari demi hari, ibu tadi rajin mengulang baca input dari group tadi.
Namun hari demi hari, anaknya semakin menjauhinya. Lebih rapat dan manja dengan si ayah lagi. Nasihat dan kata-kata si ibu tidak diendahkan si anak. Entah di mana silapnya.
Suatu hari, sedang ibu leka menatal [scroll] telefon bimbitnya, si anak sekitar umur 2 tahun menghampiri. Dengan pelatnya, si anak berkata: "Ibu, letaklah telefon tu. Main dengan adik."
PENGAJARAN.
Kita tidak perlu ilmu yang banyak. Sebaliknya, terus kepada praktikal dengan ilmu yang sudah ada. Dan kadangkala ilmu yang kita cari di tempat yang jauh, rupa-rupanya ada di depan mata.
TIGA PERMINTAAN.
Hari itu seperti biasa Bella ke sawah. Sedang dia sibuk bekerja, tiba -tiba dia ternampak seekor ikan berenang di dalam paya sawah. Dia cepat-cepat menangkap ikan tersebut. Untung-untung boleh digoreng dan boleh dijadikan santapan tengah hari. Alangkah terkejutnya Bella, apabila ikan tersebut boleh bercakap.
"Lepaskan aku. Aku janji akan tunaikan tiga permintaanmu. Namun setiap satu permintaan, suamimu turut akan mendapat yang sama dengan 10 kali ganda."
Bella bersetuju.
"Pertama, aku mahukan harta sebanyak harta Qarun."
Ikan tadi mengingatkan lagi sebelum bersetuju, "Baik, tetapi suamimu akan memperoleh harta 10 kali ganda lebih banyak daripadamu."
"Tak mengapa, aku terima,"
"Kedua?"
"Kedua, aku mahu wajah yang cantik setara dengan ratu cantik dunia."
"Baik, tetapi ingat, suamimu akan menjadi 10 kali ganda lebih tampan daripadamu."
Bella mengangguk sahaja sambil bibirnya menguntum senyuman. Senyuman yang bukan biasa-biasa.
"Baik, yang ketiga?"
"Dan yang ketiga, aku mahu dikenakan sakit jantung yang terkawal."
PENGAJARAN.
Ada sebabnya, kenikmatan dunia diselang-selikan dengan ujian hidup. Ramai manusia menjadi tamak, lupa pasangan dan keluarga ketika diuji dengan kesenangan. Apatah lagi lupa kepada Pemberi nikmat sebenar.