Friday, 17 November 2017

MAAFKAN KESALAHAN INSAN



Hidup kita tidak lari daripada melalui ujian. Salah satunya ialah ujian perasaan. Kadang kita gembira, kadang ada sedih sehingga menyesak dada. Kadang timbul marah sampaikan tiada apa yang boleh mententeramkan kita. Uniknya Allah menciptakan manusia, sempurna bukan hanya pada fizikal, bahkan dikurniakan roh yang tidak kelihatan tetapi menyimpan pelbagai perasaan.

Kau tahu sahabat, baru-baru ini aku sempat mendengar perkongsian berkenaan sifat marah. marah tidak semuanya buruk. Marah kerana Allah dituntut agama. Hal ini kerana tanpa perasaan marah, manusia akan menjadi dayus.

Namun perasaan marah yang tidak terkawal, hasilnya adalah permusuhan. Lantaran itu, Islam menganjurkan sikap memaafkan. Memilih untuk memaafkan sebenarnya menyelesaikan dua perkara serentak. Pertama, dia menyelesaikan kemelut antara dia dengan musuhnya. Kedua, dia memadamkan api kemarahan yang sedang membakar hatinya.

Teliti kisah ini....

Suatu hari Anas bin Malik  r.a. bersama Rasulullah s.a.w.  dan para sahabat duduk bersama. Tiba-tiba mereka melihat Rasulullah s.a.w. tersenyum sehingga menampakkan giginya. Hairan dengan gelagat Rasulullah s.a.w. , Anas bertanya:

"Apa yang menyebabkan Tuan tersenyum?"

Rasulullah s.a.w. bercerita: "Ada dua orang umatku di akhirat, kedua-duanya merangkak di hadapan Allah s.w.t. melibatkan satu kes yang minta diselesaikan. Seorang daripadanya merayu kepada Allah: 'Orang ini menzalimiku semasa di dunia dahulu.'

Allah memerintahkan orang yang zalim membayar ganti rugi kepada lelaki yang seorang lagi. Namun malangnya, orang yang berbuat zalim berkata: Dengan apa boleh aku bayar, tiada satu kebaikan yang tinggal padaku. Semuanya habis dituntut oleh orang lain.'

Ketika itu, orang yang dizalimi meminta agar orang yang zalim tersebut mengambil kejahatan dan dosa yang ada pada dirinya.
Saat itulah Rsulullah s.a.w. menitiskan air mata. peristiwa di mahkamah Allah tersebut begitu menyayat hati Baginda.

Lelaki yang melakukan kezaliman ingin membayar tuntutan tersebut , tetapi malangnya dia sudah tidak memiliki  apa-apa untuk dilangsaikan, jelas Rasulullah s.a.w. kepada Anas.

Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, maksudnya: "Suatu hari yang sangat dasyat, sehingga sampai ke suatu peringkat manusia mencari orang lain untuk memikul dosanya."

Di dunia, manusia sombong "memikul" dosa orang lain, walaupun hakikatnya dosa sendiri pun dia tidak akan mampu memikulnya.

Bayangkan betapa gawatnya suasana di padang Masyar nanti. Betapa kita berlumba untuk masuk ke syurga, namun sebab tidak memaafkan, kita tertangguh untuk dihisab, tertangguh untuk meniti titan sirat....

Ketika dua orang lelaki sedang berbalah tentang dosa yang perlu dipikul oleh salah seorang daripada mereka, Allah memperlihatkan sebuah mahligai indah di dalam syurga.
Allah berfirman kepada lelaki yang menuntut keadilan, "Tidakkah engkau melihat mahligai itu?"
"Ya , aku nampak sebuah mahligai yang dibuat daripada emas di dalam sebuah taman daripada perak. Untuk siapakah mahligai tersebut?" katanya.
"Mahligai tersebut untuk sesiapa sahaja yang sanggup membayar harganya."
"Jika begitu, mustahil bagiku untuk memilikinya kerana aku tidak mempunyai apa-apa untuk membayar."
"Namun engkau berpeluang."
"Bagaimana?"
"Sekiranya engkau memaafkan rakanmu dan tidak menuntutnya agar dia memikul dosamu."

Lelaki tadi akhirnya memaafkan segala kezaliman lelaki yang pernah menzaliminya semasa di dunia dahulu. Kemudian, Allah memerintahkan malaikat membawa orang tersebut ke dalam mahligai bersama-sama rakannya tadi. Inilah menyebabkan Rasulullah s.a.w. tersenyum.

Nah, begitu cerita Rasulullah s.a.w. kepada Anas bin Malik tentang dua orang lelaki di padang mahsyar. Satu kemaafan dapat menyelamatkan diri daripada sengsara di mahsyar.


Merendah diri suatu sifat terpuji, namun tidak bermaksud menghina diri. Menghina diri bukan daripada ajaran Islam kerana orang beriman tinggi darjatnya di sisi Tuhan. Aku berdoa agar kita bersama tergolong dalam kalangan orang beriman yang sedia memaafkan kesalahan insan.


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...