Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Monday, 6 May 2019

SALAM RAMADHAN 1440H

Alhamdulillah.
Syaaban sudah pun melabuhkan tirainya di penghujung. Ramadhan pula menyelak jendelanya. Setelah setahun berlalu, maka bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini memunculkan dirinya. Menggamit-gamit para perindu dan pencintanya agar merangkul erat penuh mesra.

Bagaimana kita menyambut kedatangan Ramadhan? Gembira? Mengeluh? Tiada rasa apa-apa? Setiap orang pasti ada jawapannya yang tersendiri. Di kelompok manakah kita berada. Tepuk dada tanya iman di dalam dada.

Alhamdulillah.
Bagi perindu Ramadhan, kedatangan bulan ini menjadi satu peluang untuk menambah-nambah amal. Terlalu banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menceritakan kelebihan bulan ini.
Diantaranya:
Daripada Abu Hurairah ra, lagi bahawa Rasulullah saw bersabda:"Apabila sampai bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Namun ada juga yang menggusarkan saya. Keganjilan terhadap segelintir yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Sangat ganjil. Bagaimana mungkin seseorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Melihat puasa dari sudut adat semata-mata, tanpa melihat hubungkait dengan sifat kehambaan kepada Allah. Justeru, bagaimana puasa mereka itu. Tentunya kosong daripada roh tarbiah.

Oleh itu, madarasah Ramadhan yang menghasilkan taqwa hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya. Rasulullah saw telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan. "Berapa ramai orang yang berpuasa, tidaklah dirinya itu mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga." Moga kita tidak termasuk dalam golongan tersebut. Aamiin.

Salam Ramadhan 1440H. Semoga setiap amal kebaikan yang dilakukan mendapat ganjaran yang sebaiknya dan diterima oleh Allah. swt.

~abuikhwan

Tuesday, 15 May 2018

GERBANG RAMADHAN



Bahang kehangatannya kian terasa. Para pencinta ibadah pasti tidak sabar untuk menyambut dan meraikannya. Ramadhan terkandung di dalamnya rahmat, keberkatan, kebajikan, kesuburan dan keredhaan-Nya.

Allah s.w.t. Tuhan kita yang penuh dengan belas kasihan. Dia mempelbagaikan ibadah buat kita agar kita merasa seronok, gembira, tidak jemu. Bukan hanya solat sebagai ibadah, malahan berjalan ke masjid, menyantuni anak yatim, melayani si faqir, menyendiri di keheningan malam, menghulur sedikit lebihan buat si peminta. Begitu juga berlapar dan menahan diri daripada kebiasaan juga adalah ibadah. Lihat, berlapar juga satu ibadah. SubhanAllah.

Berpuasa natijahnya adalah untuk membuahkan taqwa, sebagaimana firman Allah s.w.t.:
"Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan  ke atas kamu berpuasa, sebagaimana ia telah difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu beroleh taqwa." [al-Baqarah: 183]


Demikianlah kasihnya Allah s.w.t. kepada kita semua. Dalam setahun diperuntukkan selama sebulan untuk kita menyuburkan bekalan taqwa. Bekalan untuk kesejahteraan kehidupan. Justeru, Ramadhan yang bertandang adalah peluang untuk menghasilkan taqwa, perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Bersama kita menyambut Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan keazaman yang setingginya untuk beribadah di dalamnya.
Allahu al- Musta'an.

~kembara mencari hamba.

Monday, 5 June 2017

HARAPAN RAMADHAN




Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat ku lalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah-Nya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak inginku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua.


Monday, 29 May 2017

RENUNGAN LAPAR DAN KENYANG, IKTIBAR RAMADHAN




Berpuasa, satu perkara yang simbolik pada kita adalah lapar dan dahaga. Melabuhkan tirai berbuka, kekenyangan mula merajai diri. Lapar, dahaga dan kenyang. Teringat kepada satu kata-kata,

Di dalam kita yang menahan lapar ini terdapat 10 kebaikan. Dan di dalam kita kekenyangan terdapat pula 10 kemudaratan.

Apakah ia? Mari kita renungi disebalik lapar dan kenyang pada bulan ramadhan ini. Semoga ianya menjadi satu renungan kepada kita.


LAPAR
Menjernihkan hati, mencerdaskan otak dan menerangi penglihatan hati.

KENYANG
Menyebabkan kebebalan, membuatkan hati buta.

LAPAR
Merasai kelazatan berzikir kerana hati lembut dan bercahaya.

KENYANG
Zikirnya hanya di lidah dan hati tidak merasa apa-apa, hatinya tertutup daripada cahaya Allah.

LAPAR
Menyebabkan hilang rasa angkuh dan ego. Disaat ini rasa kehambaannya pada Tuhan adalah memuncak, hatinya akan tenang.

KENYANG
Tidak merasa kebesaran Allah, rasa ketuanan akan memenuhi hati.

LAPAR
Tidak melupai bala Allah. Orang yang berakal cerdas akan mengingati bala di Akhirat apabila melihat bala di dunia.

KENYANG
Menyebabkan seseorang itu melupakan kelaparan dan lupa bala Allah.

LAPAR
Mematahkan hawa nafsu terhadap segala bentuk maksiat kerana lapar akan melemahkan nafsu.

KENYANG
Mudah mengikut nafsu kerana kekenyangan adalah pintu kepada syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia.

LAPAR
Mudah untuk mendapat khusyuk dalam ibadah kerana pintu godaan syaitan tertutup.

KENYANG
Syaitan makan mengganggu ibadahnya menyebabkan ia tidak dapat menumpukan hatinya pada Allah.

LAPAR
Menjimatkan perbelanjaan dikala kegawatan ekonomi kerana dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap makanan.

KENYANG
Sudah tentunya memerlukan perbelanjaan untuk mendapatkan makan bagi tujuan ini sedang negara menghadapi krisis ekonomi yang hebat.

LAPAR
Menyemai rasa kasih sayang pada insan lain terutama fakir miskin dan anak yatim.

KENYANG
Tidak merasai kesusahan orang lain seterusnya menyebabkan hilang kasih sayang di hatinya.


Dalam sedang kita enak menikmati juadah yang lazat dan berkhasiat ketika sahur dan berbuka puasa, fikirkan sejenak. Adakah semua umat Islam dapat juga bersahur dan berbuka puasa sebagaimana kita yang bernasib baik ini? 
Kadang-kadang banyak makanan terbuang. Kadang-kadang kita merungut. Kadang-kadang kita terlupa bersyukur pada -Nya Yang Maha Pemberi Rezeki. Yang tidak putus-putus memberikan rezeki walau tanpa kita sedar.


Nun di sana anak kehilangan

Ibu dan ayah entah di mana

Nun di sana masih kedengaran

Tangisan insan yang kelaparan

Kesedihan melanda derita yang berpanjangan

Belas kasihan pengharapan

Dari redup mata yang lemah

Tak siapa dapat merasa di manakah belas kasihan

Ramadhan menginsafkan kita kesusahan mereka semua.

Ramadhan menyedarkan kita

Senang tak lama bahagia tak kekal

Ketenangan hanya pada-Nya, kembalilah kepada-Nya

Nun di sana masih ada jalan, putih peluang kebaikan

Sebulan di bulan Ramadhan


~sumber Jiwa hamba

Sunday, 28 May 2017

HAYATILAH KEINDAHAN RAMADHAN




Ramadhan adalah bulan yang ditunggu oleh setiap orang yang beriman. Bulan yang disebut oleh Rasulullah saw. sebagai 'bulan umatku', satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah keujudan manusia. Kaum Nabi terdahulu tidak pernah dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia. Kaum Nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadhan itu, mengandungi seribu rahmat malah menunggu-nunggu datangnya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah saw. maksudnya "Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadhan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka."
(Hadis riwayat Ibn Majah)


Sebagaimana pintu syurga dibuka pada Ramadhan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih sayang, kemaafan, hidayah dan pertunjuk juga terbuka. Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat.
Jalan ke syurga terbentang luas, hingga Rasulullah sendiri menjelaskan  dalam sabdanya : "Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah."


Ramadhan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia.
Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebis iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun. Justeru, kita dianjurkan meningkatkan keimanan. Keempat-empat kompenen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.


Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah selama ini, ketaatan kepada Rasulullah saw  serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri?
Rasulullah bersabda: "Sesiapa sahaja yang berpuasa pada Ramadhan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Ramadhan walaupun bulan kerehatan, ia buaknlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak memberekan sebarang pekerjaan.
Sepatutnya pada Ramadhan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat.
Ini kerana setiap tanggung jawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.


Selain daripada itu kefarduan puasa Ramadhan adalah untuk menjana suatu natijah peribadi terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah Taala.
dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah saw, telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu."


Ramadhan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah Taala dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu membezakan sesuatu yang hak dan batil.


Rasulullah saw,  yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: "Umatku diberikan oleh Allah setiap Ramadhan perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya: iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa."


Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada bulan Ramadhan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya  mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak. Puasa adalah satu ibadat tazkiyah al-nafs, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang.
Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur pada diri sendiri, bertanggung jawab, bertaqwa dan sabar.


Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini, mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang boleh dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu berpuasa maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama."
(Riwayat Bukhari)








TIPS MAKANAN UNTUK SAHUR KITA



Mudah berasa letih ketika berpuasa di bulan ramadhan? Keletihan tersebut mungkin disebabkan oleh faktor pemakanan. Ada beberapa makanan sihat bernutrisi tinggi yang untuk mengekal dan meningkatkan tenaga ketika berpuasa. Elok diambil ketika bersahur.


*  Yogurt

Yogurt mengandungi gula alami, protein dan pro biotik. Makan 250 ml yogurt sehari boleh memberikan tenaga tambahan dengan cepat. Ia bukan sahaja makanan yang baik dan berkhasiat untuk sistem percernaan malah boleh mencegah bau mulut dan boleh mengelakkan rasa cepat mengantuk ketika berpuasa.


*  Oatmeal


Semangkuk kecil oatmeal dicampur dengan susu atau air akan memberikan tenaga pada tubuh dengan cepat. Kandungan karbohidrat dan serat yang terdapat di dalamnya juga mampu memberi rasa kenyang dengan lebih lama.



*  Air atau jus


Dehidrasi adalah salah satu penyebab utama kelelahan. Minum segelas air  atau jus buah segar yang memberi asupan vitamin C, A dan B1 boleh mencegah dehidrasi. Pastikan kita mengambil air yang mencukupi iaitu 8 hingga 10 gelas air sehari walaupun berpuasa.



*  Kekacang


Segenggam kekacang dari pelbagai jenis mampu membekalkan tenaga untuk kekal cergas sepanjang hari kerana ia berasal dari protein dan karbohidrat yang kompleks. Malah ia kaya dengan serat, vitamin dan mineral yang mencukupi untuk kekal cergas sepanjang berpuasa.



*  Makanan kaya zat besi


Zat besi merupakan salah satu nutrisi penting yang membantu mengatasi keletihan. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia yang menjadi penyebab utama  keletihan mental dan otot. Biasanya bayam adalah pilihan yang baik untuk mendapatkan kandungan zat besi yang mencukupi.


*  Kismis


Kismis adalah jenis buah-buahan kering yang berkhasiat di bumi ini. ia tidak mengandungi kolestrol atau lemak serta rendah kandungan garam. Ia membekal tubuh badan dengan banyak vitamin dan mineral yang penting seperti zat besi, potassium, magnesium, kalsium dan vitamin B1, B3, dan B6. Serta zat besi untuk pembinaan darah bagi pengangkutan oksigen ke otak dan ke seluruh badan.
Kismis juga merupakan serat yang baik dan kaya dengan agen antioksida (anti penuaan). Ia mengandungi fruktosa (sejenis gula ringkas yang asli) yang dapat dihadamkan dengan cepat untuk tenaga segera. Ia sangat sesuai terutama bagi mereka yang menggunakan banyak tenaga untuk berfikir seperti guru dan pelajar.


*  Kurma Ajwa


Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma Ajwa adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sum-sum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan untuk membuktikan bahawa kurma Ajwa antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.


Prof Madya Aslah juga berkata, buar kurma mampu memanaskan badan dan merangsang kesihatan wanita hamil dan anak yang dikandungnya. Memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga tambahan.


Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah swt  menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.


~sumber jiwa hamba.




RENUNGAN RAMADHAN
















Ubadah bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan.
di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya denagn keberkatan,
menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di 
atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga
mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat.
Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan daripada kamu.
Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia
yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.




Thursday, 25 May 2017

RAMADHAN YANG DINANTI



Menanti-nanti ketibaan bulan Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan keriangan serta sentiasa mengharapkan agar dapat melaksanakan ibadah puasa dan ibadat-ibadat lain sepanjang Ramadhan kali ini dengan baik dan diterima oleh Allah swt.

"Tirai Ramadhan akan dibuka,
Cahaya kemuliaannya semakin bersinar di hati insani,
Yang setia menanti janji Ilahi,
Hiasilah cahaya itu dengan taqwa dan ibadah,
Agar hidup diberkati-Nya"


Renungan Sejenak.

  1. Ada yang bersungguh-sungguh dalam beramal dan ada yang lalai dan alpa.
  2. Berpuasa hanya sebagai adat bukannya ibadah. Faktor iman dan mengharapkan keredhaan daripada Allah tidak menjadi pendorong utama kepada ibadah puasa.
  3. Berpuasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menghalang dari melakukan perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu, berkata lucah dan sebagainya.
  4. Meninggalkan makan sahur, sedangkan banyak hadis yang menyatakan tentang kelebihannya. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggalnya solat subuh.
  5. Ibadah solat fardu dan solat sunat hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja.
  6. Bersungguh mengerjakan solat sunat Terawih dan Witir serta meninggalkan solat fardu lain.
  7. Bersungguh dalam perlaksanaan ibadah di bulan Ramadhan termasuk membaca al-Quran untuk diri sendiri tetapi mengabaikan penglibatan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah.

Sesungguhnya
Kian berlabuh tirai Syaaban
Lambaian Ramadhan kian dinanti,
Luhur hati ikhlas amalan,
Semoga segala ibadat Allah berkati...

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak







Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...