Berpuasa, satu perkara yang simbolik pada kita adalah lapar dan dahaga. Melabuhkan tirai berbuka, kekenyangan mula merajai diri. Lapar, dahaga dan kenyang. Teringat kepada satu kata-kata,
Di dalam kita yang menahan lapar ini terdapat 10 kebaikan. Dan di dalam kita kekenyangan terdapat pula 10 kemudaratan.
Apakah ia? Mari kita renungi disebalik lapar dan kenyang pada bulan ramadhan ini. Semoga ianya menjadi satu renungan kepada kita.
LAPAR
Menjernihkan hati, mencerdaskan otak dan menerangi penglihatan hati.
KENYANG
Menyebabkan kebebalan, membuatkan hati buta.
LAPAR
Merasai kelazatan berzikir kerana hati lembut dan bercahaya.
KENYANG
Zikirnya hanya di lidah dan hati tidak merasa apa-apa, hatinya tertutup daripada cahaya Allah.
LAPAR
Menyebabkan hilang rasa angkuh dan ego. Disaat ini rasa kehambaannya pada Tuhan adalah memuncak, hatinya akan tenang.
KENYANG
Tidak merasa kebesaran Allah, rasa ketuanan akan memenuhi hati.
LAPAR
Tidak melupai bala Allah. Orang yang berakal cerdas akan mengingati bala di Akhirat apabila melihat bala di dunia.
KENYANG
Menyebabkan seseorang itu melupakan kelaparan dan lupa bala Allah.
LAPAR
Mematahkan hawa nafsu terhadap segala bentuk maksiat kerana lapar akan melemahkan nafsu.
KENYANG
Mudah mengikut nafsu kerana kekenyangan adalah pintu kepada syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia.
LAPAR
Mudah untuk mendapat khusyuk dalam ibadah kerana pintu godaan syaitan tertutup.
KENYANG
Syaitan makan mengganggu ibadahnya menyebabkan ia tidak dapat menumpukan hatinya pada Allah.
LAPAR
Menjimatkan perbelanjaan dikala kegawatan ekonomi kerana dapat mengurangkan perbelanjaan terhadap makanan.
KENYANG
Sudah tentunya memerlukan perbelanjaan untuk mendapatkan makan bagi tujuan ini sedang negara menghadapi krisis ekonomi yang hebat.
LAPAR
Menyemai rasa kasih sayang pada insan lain terutama fakir miskin dan anak yatim.
KENYANG
Tidak merasai kesusahan orang lain seterusnya menyebabkan hilang kasih sayang di hatinya.
Dalam sedang kita enak menikmati juadah yang lazat dan berkhasiat ketika sahur dan berbuka puasa, fikirkan sejenak. Adakah semua umat Islam dapat juga bersahur dan berbuka puasa sebagaimana kita yang bernasib baik ini?
Kadang-kadang banyak makanan terbuang. Kadang-kadang kita merungut. Kadang-kadang kita terlupa bersyukur pada -Nya Yang Maha Pemberi Rezeki. Yang tidak putus-putus memberikan rezeki walau tanpa kita sedar.
Nun di sana anak kehilangan
Ibu dan ayah entah di mana
Nun di sana masih kedengaran
Tangisan insan yang kelaparan
Kesedihan melanda derita yang berpanjangan
Belas kasihan pengharapan
Dari redup mata yang lemah
Tak siapa dapat merasa di manakah belas kasihan
Ramadhan menginsafkan kita kesusahan mereka semua.
Ramadhan menyedarkan kita
Senang tak lama bahagia tak kekal
Ketenangan hanya pada-Nya, kembalilah kepada-Nya
Nun di sana masih ada jalan, putih peluang kebaikan
Sebulan di bulan Ramadhan
~sumber Jiwa hamba