Sunday, 28 May 2017

HAYATILAH KEINDAHAN RAMADHAN




Ramadhan adalah bulan yang ditunggu oleh setiap orang yang beriman. Bulan yang disebut oleh Rasulullah saw. sebagai 'bulan umatku', satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah keujudan manusia. Kaum Nabi terdahulu tidak pernah dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia. Kaum Nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadhan itu, mengandungi seribu rahmat malah menunggu-nunggu datangnya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah saw. maksudnya "Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadhan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka."
(Hadis riwayat Ibn Majah)


Sebagaimana pintu syurga dibuka pada Ramadhan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih sayang, kemaafan, hidayah dan pertunjuk juga terbuka. Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat.
Jalan ke syurga terbentang luas, hingga Rasulullah sendiri menjelaskan  dalam sabdanya : "Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah."


Ramadhan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia.
Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebis iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun. Justeru, kita dianjurkan meningkatkan keimanan. Keempat-empat kompenen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.


Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah selama ini, ketaatan kepada Rasulullah saw  serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri?
Rasulullah bersabda: "Sesiapa sahaja yang berpuasa pada Ramadhan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Ramadhan walaupun bulan kerehatan, ia buaknlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak memberekan sebarang pekerjaan.
Sepatutnya pada Ramadhan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat.
Ini kerana setiap tanggung jawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.


Selain daripada itu kefarduan puasa Ramadhan adalah untuk menjana suatu natijah peribadi terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah Taala.
dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah saw, telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu."


Ramadhan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah Taala dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu membezakan sesuatu yang hak dan batil.


Rasulullah saw,  yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: "Umatku diberikan oleh Allah setiap Ramadhan perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya: iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa."


Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa setiap hari pada bulan Ramadhan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya  mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak. Puasa adalah satu ibadat tazkiyah al-nafs, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang.
Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur pada diri sendiri, bertanggung jawab, bertaqwa dan sabar.


Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini, mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang boleh dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu berpuasa maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama."
(Riwayat Bukhari)








Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...