Sunday, 7 May 2017

MAAFKAN SAHAJA....



Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah sifat pemaaf, iaitu lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Seorang yang pemaaf  suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menyimpan di dalam hatinya rasa marah dan ingin membalas dendam. Sifat pemaaf seperti ini adalah salah satu manifestasi yang lahir hasil daripada ciri-ciri ketaqwaan kepada Allah s.w.t.






MENGAPA SUKAR MEMAAFKAN....

Untuk memaafkan kesalahan orang lain, lebih-lebih lagi melibatkan maruah diri dan harta benda, memang sukar. Ini kerana manusia sentiasa didorong oleh perasaan dan hawa nafsu dalam setiap tindak tanduknya. 

Bayangkan apakah perasaan kita apabila harta benda kita dicuri atau maruah dan kehormatan keluarga kita dicabuli. Sudah tentu perasaan marah meluap-luap di dalam diri, ditambah dengan desakan nafsu supaya bertindak balas dilakukan untuk meredakan sifat marah.

Sikap marah yang sedia wujud pula akan sentiasa berusaha untuk menangkis jelmaan sifat pemaaf. Kedua-dua sifat pemarah dan pemaaf ini akan saling berlawanan untuk menguasai diri manusia. Syaitan pula  akan memainkan peranan menghasut dan menyalakan api kemarahan sehinggalah manusia akan bertukar daripada ciri-ciri insaniah kepada sifat haiwaniah yang berlawanan dengan sifat fitrah manusia.

Emosi dan keinginan nafsu mudah terpengaruh untuk melakukan tindakan-tindakan yang tidak selari dengan fitrah kemanusiaan. Apatah lagi apabila syaitan berjaya dalam hasutannya. Di sinilah pentingnya peranan taqwa dan iman dalam diri seorang insan untuk memupuk sifat pemaaf dalam diri.

Bagaimanakah caranya untuk memupuk sifat pemaaf ini?
Iman dan Taqwa  menjadi teras yang membentuk sifat pemaaf dalam diri seorang manusia. Tanpa iman dan taqwa manusia sukar membentuk dirinya ke arah sifat-sifat mahmudah seperti mana yang digalakkan oleh Allah dan RasulNya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah asy-Syura:43 yang bermaksud, "Dan (dalam pada itu ingatlah) sesiapa yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang lain terhadapnya) sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (untuk melakukannya) "



BAGAIMAN MEMAAFKAN..

Amalan memberi maaf mestilah disertai dengan KETULUSAN HATI dan BERLAPANG DADA, sehingga sedikit pun tidak meninggalkan sisa-sisa dendam atau keinginan untuk bertindak balas.
KIKIS PERASAAN EGO dan ingin bertindak balas yang sedia terpahat dalam hati, agar hati menjadi suci bersih sehingga terbinalah sahsiah insaniah yang sebenarnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Ketahuilah, dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia elok maka eloklah seluruh anggota tubuh badannya dan apabila ia telah rosak maka akan rosaklah seluruh tubuh badannya, ketahui ia adalah hati."

Allah s.w.t. berfirman dalam surah an-Nur: 22 yang bermaksud, " Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada kalangan kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah ke jalan Allah, dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan mereka itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Orang-orang yang berupaya menahan kemarahannya bererti ia telah memiliki dlalam dirinya sifat-sifat kemuliaan, kekuatan, keberanian dan keikhlasan yang sebenarnya.
Sebaliknya, orang-orang yang tidak mampu menahan marah atau yang sememangnya memiliki sifat suka marah adalah golongan manusia yang lemah.

Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud, " Bukanlah ORNAG YANG KUAT itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, akan tetapi orang yang kuat itu sebenarnya ialah ORANG YANG DAPAT MENGUASAI DIRINYA KETIKA MARAH."

Bayangkan jika semua orang bersifat pemaaf, alangkah bahagia dan amannya dunia ini. Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang pemaaf hatinya sentiasa tenang, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa berfikiran positif. Orang yang pemaaf tidak ada rasa dendam dan benci di dalam hati. Orang yang pemaaf juga sangat disenangi oleh keluarga, jiran, rakan dan masyarakat di sekelilingnya.  

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Sifat ini hanya membawa kepada perpecahan dan kerugian. Sebaliknya, jika sifat memaafkan diamalkan, nescaya kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain.


~sumber majalah iman.


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...