Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda: " Wahai orang-orang yang mengakui diri telah Islam dengan lidah, tetapi tidak meresap iman ke dalam hati, janganlah kamu menyakiti hati orang Islam lain, dan janganlah mengintip keaiban mereka, kerana sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mendedahkan keaibannya. Sesiapa yang didedahkan keaiban ( keburukan) nya, akan terdedahlah dia walaupun dalam perut kenderaannya."
Berpandukan hadis ini maka kita disedarkan bahawa akan ada dikalangan umat Islam yang hanya mengaku diri mereka Islam, tetapi malangnya, sifat dan akhlak mereka tidak menggambarkan ciri-ciri orang Islam yang sejati. Lantaran itulah, Rasulullah saw tujukan nasihat ini kepada orang-orang sedemikian.
Golongan yang mengaku Islam tetapi tidak menghayati cara hidup Islam jika dibiarkan akan merosakkan Islam di mata masyarakat seluruhnya.
Sebab itulah pelbagai tanggapan diutarakan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam seperti :
Islam agama mengajar keganasan, Islam agama kemunduran, agama yang prejudis terhadap wanita, dan sebagainya.
Sebab itu, adalah penting bagi kita memastikan segala tingkah laku dan tutur kata kita agar tidak terkeluar dari batas-batas yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam. Atas asas inilah maka Rasulullah saw mengingatkan kita agar jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang boleh menyakiti saudara Islam yang lain, tidak kira dengan tutur kata atau perbuatan. Ini kerana perbuatan sedemikian adalah kerja orang yang Islamnya hanya di bibir sahaja bukan di hati.
Hadis ini juga melarang kita memalukan orang lain dengan cara mencari-cari keaiban dan keburukan mereka. Sekiranya maklumat yang didapati itu digunakan untuk menasihati orang tersebut secara diam -diam, maka itu dibenarkan. Tetapi jika untuk memalukan orang tersebut di khalayak, maka amat ditegah dan dibenci oleh Islam.
Islam memberi amaran, jika seseorang membuka keaiban dan keburukan orang lain, mala lambat laun, rahsia sendiri akan terbongkar dan terdedah. Ini kerana apabila Allah swt membuka keaiban seseorang sebagai balasan perbuatannya, maka tidak ada sesuatu yang dapat menghalangnya, sekalipun dia berada di bilik kebal atau di dalam hutan belantara.
Oleh sebab itu janganlah kita sekali-kali tergerak hati untuk mencari-cari keburukan orang lain. Kita perlulah menyayangi saudara seagama sebagaimana kita menyayangi diri sendiri, hinggakan jika kita mengaibkan mereka, adalah seolah-olah kita mengaibkan diri sendiri....
~ sumber dari majalah al islam.