HAMPIRKAN DIRI KEPADA ALLAH
Perbanyakkan amalan sujud iaitu solat, sama ada yang fardu mahupun yang sunat lebi-lebih lagi solat tahajud, bermunajat dan kurangkan aktiviti keduniaan yang melalaikan. Dengan kekuatan taqwa dan iman secara tak langsung akan terbinalah ciri-ciri insaniah yang memiliki sifat-sifat mahmudah yang terpuji, dianataranya sifat pemaaf.
TARBIAH BERTERUSAN AGAR JIWA DAN HATI TENANG
Sifat pemaaf boleh dipupuk bermula dengan perkara kecil yang boleh mendatangkan marah. Jika terdetik perasaan marah, berfikirlah terlebih dahulu dan muhasabah diri. Sekiranya kita dapat berfikir secara rasional, api kemarahan pasti akan reda, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan hasil didikan ibadah yang dilakukan secara berterusan.
Sabda Rasulullah s.a.w. , " Marah itu daripada syaitan, syaitan dijadikan daripada api, air boleh memadamkan api." Maksudnya apabila seseorang itu marah, kelihatan merah matanya, merah itu adalah api. Dan api yang menyala itu dapat dipadamkan dengan, berwuduk dan solat.
MAAFKAN SEBELUM TIDUR
Para ulama menyarankan, sebaik-baiknya sebelum tidur kita maafkan terlebih dahulu kesalahan orang lain terhadap diri kita sepanjang hari itu dengan doa dan harapan semoga orang lain juga turut terbuka hatinya untuk memaafkan kesalahan kita.
Sesungguhnya kesalahan dengan Allah itu lebih mudah untuk kita memohon keampunan kerana memang sifat Allah Maha Pengampun, tetapi kesalahan sesama manusia susah untuk diselesaikan.