Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, 15 April 2019

TARBIYAH KEHIDUPAN



Selagi Allah izinkan kita hidup, manfaatkanlah kehidupan ini. Jangan sampai dah nak mati nak minta hidup semula untuk beribadah kepada-Nya.

Semua orang layak jadi baik, jangan bantutkan niat orang lain yang nak berubah. Jangan jadi penyebab orang makin jauh dengan Allah.


Ketika kamu berada di jalur menuju Allah.
Maka berlarilah kencang.
Jika itu sulit bagimu
Maka tetaplah berlari
meskipun hanya berlari-lari kecil...
Bila kamu lelah berjalanlah.
Apabila semua itu tidak mampu kamu
lakukan
Tetaplah maju meski harus
merangkak
Namun jangan pernah sesekalipun
Berbalik arah atau berhenti....


Sunday, 19 August 2018

REDHA DALAM KETENTUAN ALLAH




Biarkanlah hari-hari berbuat semahunya
Berlapang dadalah jika takdir menimpa

Jangan berkeluh kesah atas musibah di malam hari
Tiada musibah yang kekal di muka bumi
Jadilah laki-laki tegar dalam menghadapi tragedi
Berlakulah pemaaf selalu menepati janji


Jika banyak aibmu di mata manusia
Sedang engkau berharap menutupinya
Bersembunyilah engkau di balik derma
Dengan derma aibmu tertutup semua


Jangan pernah terlihat lemah di depan musuhmu
Sungguh malapetaka jika musuh menertawaimu


Jangan berharap dari orang kikir kemurahan
Di neraka tiada air bagi orang yang kehausan
Rezekimu tidak berkurang kerana kerja wajar perlahan
Berlelah-lelah tidak menambah rezeki seseorang

Tiada kesedihan yang kekal tidak pula kebahagiaan
Tiada kesulitan yang abadi tidak pula kemudahan

Jika engkau berhati puas dan mudah menerima
Sungguh antara engkau dan raja dunia tiada beza

Barangsiapa kematian datang menjemputnya
Langit dan bumi tidak akan mampu melindunginya


Bumi Allah begitu lapang luas membentang
Namun seakan sempit kala ajal menjelang

Biarkanlah hari-hari ingkar janji setiap saat
Kematian tidak mungkin dicegah dengan ubat.


~Imam As-Syafiiee~


Thursday, 9 August 2018

JANGAN TERPESONA DENGAN DUNIA..



Dunia ini suatu masa nanti akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu akhirat sahaja yang kekal. Orang yang mengejar dunia itu mencari harta dunia dan mencari pangkat dan kedudukan sekiranya ia melupakan akhirat semasa ia mencarinya dan tidak peduli halal atau haram atau merampas hak orang lain sebenarnya ia sedang dikuasai oleh dunia dan akan hanyut dibawa arus kebinasaan. Tetapi sekiranya seseorang mencari harta di dunia ini dengan mengikut peraturan Allah s.w.t.  tidak melupakan kewajipan terhadap-Nya, tidak menipu, menindas, mengambil rasuah dan tidak mengambil hak orang lain maka harta itu akan membawa keberkatan dan disalurkan pula harta itu untuk zakat, sedekah jariah, infak di jalan Allah dan membantu fakir miskin maka harta itu sebagai alat yang membantunya mendapat keredhaan Allah dan akan menjadi saham akhirat.

Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah, "Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal ataupun haram." (H.R.Muslim)


Orang yang bijak adalah orang yang merasai bahawa hidup di dunia ini adalah sementara sahaja, ia tidak buru dunia siang malam hingga melupakan amal soleh, amal ibadah,  dan melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Sebab ia tahu suatu hari nanti ia akan mati dan meninggalkan dunia yang fana ini. Ia akan meninggalkan anak-anak, isteri-isteri, kenderaan, rumah, ladang pertanian, saham-saham dan gedung-gedung perniagaan. Bila mati yang dibawa bersama adalah amal soleh yang telah dikerjakan semasa di dunia dulu.


Jika seseorang itu masih memikirkan cara-cara untuk mendapatkan kebendaan dunia tanpa mendekatkan diri kepada Allah, melupakan solat dan zikir kepada-Nya, maka tidaklah ada makhluk Allah yang paling rugi adalah insan sepertinya kerana setiap apa yang Allah ciptakan itu baik tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang atau apa saja makhluk ciptaan Allah semuanya berzikir memuji kebesaran Allah. Jadi siapakah makhluk yang paling rugi? Tidak lain manusia itu sendiri.


Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu,[kebahagiaan] negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari [kenikmatan] duniawi dan berbuat baiklah kamu [kepada orang lain] sepertimana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di [muka] bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (QS al-Qasas: 77).


Ingatlah! Hiduplah cara Islam, cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, jangan mengikut cara lain selain dari Islam. Selain cara Islam semuanya adalah penipuan ke atas manusia. Orang yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam adalah mereka itu orang-orang yang tidak redha kepada apa yang telah Allah tetapkan. Dan bagi mereka yang tidak redha kepada perintah Allah maka sudah semestinya mereka itu merasa malu sebab masih memduduki di bumi Allah dan hendaklah mereka itu tidak memakan sesuatu pun yang keluar dari bumi Allah.


Sahabat yang dikasihi, janganlah tangguh lagi, segeralah bertaubat kepada Allah dan lakukanlah ketaatan kepada-Nya kerana ajal itu tidak ada tarikh atau masa yang tetap yang kita ketahui, semuanya menjadi rahsia Allah. Umur muda bukan dan tidak sekali-kali menjamin kita hidup hingga umur yang tua, maut itu adalah seperti telur dihujung tanduk.


Apabila sudah sampai saat dan masanya ajal, maka kita akan bertemu Allah di alam barzakh dan segala jawapan yang akan diberikan nanti adalah amalan yang kita kerjakan ketika di dunia ini. Jika banyak amalan yang baik maka amalan tersebut akan tolong memberi jawapan dan sebagai peguam bela, tetapi jika amalan keburukan yang banyak maka tidak ada siapa yang dapat membantunya dan terimalah balasan azab siksa kubur yang amat dahsyat.


Yang amat malang lagi selepas alam barzakh ada alam lain yang lebih dahsyat siksaan dan penderitaan yang akan ditanggung iaitu di Padang Mahsyar dan siksaan api neraka jahanam.

Allah s.w.t. menyifati dunia dengan firman-Nya, "....Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan [sementara] dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal." (QS Al-Mukmin: 39)

Oleh itu marilah kita muhasabah diri kita sendiri, ambilah dunia seadanya dan salurkanlah apa yang ada di dunia ini untuk akhirat dan perbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan kita untuk bertemu Allah s.w.t. nanti.

Wallahu'alam.

~Ustaz Abdul Razak.





Monday, 2 April 2018

SEMBILAN ORANG YANG TIDAK DAPAT MASUK SYURGA



Masuk syurga matlamat kita. Menjadi ahli syurga maknanya kita berjaya meraih redha-Nya. Lalu untuk itu kita berusaha menambah pahala sepanjang usia. Cuma jangan lupa semak diri sentiasa. Mana tahu dengan amalan kita rasa-rasa macam layak ke syurga. Padahal awal-awal diri kita ada dalam senarai hitam orang yang tidak masuk syurga...!

Wal'iyazubillah.


1.     PEMUTUS HUBUNGAN
"Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim" [Riwayat Muslim]


2.     PENGGUNJING
"Tidak masuk syurga si penggunjing." [Riwayat al-Bukhari]

Menggunjing itu termasuklah mengumpat, memfitnah, kata belakang dan menyebarkan cerita buruk tentang seseorang.


3.     SOMBONG
"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada dalam hatinya rasa takbur walaupun sebesar biji sawi." [Riwayat al-Tirmizi]


4.     MAKAN HARTA HARAM
"Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dengan harta haram." [Riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Hakim]


5.     MENYAKITI JIRAN
"Tidak masuk syurga sesiapa yang jirannya tidak aman daripada perangai buruknya." [Riwayat Muslim]


6.     PELAKU KASAR TERHADAP ORANG BAWAHAN
"Tidak masuk syurga orang pelaku buruk terhadap hambanya." [Riwayat al-Tirmizi, Ahmad]

Hamba pun sedemikian, inikan pula pembantu rumah, pekerja upahan atau pekerja bawahan yang merdeka.


7.     PEMINUM ARAK
"Tidak masuk syurga peminum arak, orang yang mempercayi tukang sihir dan pemutus hubungan."[Riwayat Ibn Hibban]


8.     KAHIN
"Tidak masuk syurga si kahin." [Riwayat al-Tabarani]

Kahin merangkumi tukang tilik, tukang sihir, bomoh , pawang dan sebagainya.

9.     PERCAYA BOMOH



JANGAN LUPA APA YANG ALLAH MURKA

Tidak kena caranya jika kita hanya beria-ia menambah pahala namun tetap tegar dengan tabiat dosa. Solat namun mengumpat. Naik haji namun mulut cepat mencaci. Setiap tahun umrah namun tetap pemarah. Berdoa namun bomoh berjumpa juga.

Hal ini kerana biar bergunung-gunung pahala, tetap tidak menjamin syurga. Rasulullah s.a.w. sudah memberitahu kita: "Tiada seorang pun antara kamu yang dimasukkan syurga kerana amalannya." [ Riwayat al-Bukhari]


INI PUN ALLAH SUKA

Sebaliknya kita hanya akan dapat masuk syurga dengan redha Allah. Walhal untuk Allah redha, kita kena melakukan dua perkara serentak; buat apa yang Allah suka dan jauhi apa yang Allah murka. Tidak boleh salah satu sahaja.

Bahkan tinggalkan dosa pun dapat pahala. "Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya.... Sesiapa berniat melakukan suatu keburukan tetapi tidak jadi melakukannya, Allah merekodkan untuknya satu pahala penuh." [Riwayat al-Bukhari]


~sumber Ezy-Dakwah


Thursday, 22 March 2018

ILMU ALLAH



Ilmu Allah adalah cahaya dan cahaya itu tidak akan masuk ke dalam hati yang melakukan maksiat.

Sepotong nasihat penuh makna dari kajian yang kudengarkan pagi tadi. Laa hawla wallaa quwwata illaa billaah. Sungguh yang selalu terus menerus diupayakan adalah taubat. Selalu, sebab kita tidak tahu dosa mana saja yang masih tertinggal dan belum kita mohonkan ampun pada Allah. Jangan letih berbuat baik. Jangan pernah merasa baik. Sebab kita tidak tahu kedudukan kita di sisi Allah sampai saatnya kita pulang.

Sungguh Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang...


Sunday, 4 February 2018

PILIHLAH TAKWA SEBAGAI SOLUSI SEGALA MASALAH!



MASALAH? Semua orang ada masalah selagi namanya manusia. Cuma bezanya kecil atau besar, berat atau ringan dan sukar atau mudah. Jangan bimbang, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Dan, jalan penyelesaian yang ditawarkan dalam Islam adalah dengan bertakwa.

Sebagaimana firman Allah, ".....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (at-Thalaq:2-3)


Surah at-Thalaq ayat dua hingga tiga atau yang dikenali oleh umat Islam sebagai ayat 1,000 dinar memang terkandung pengajaran mengenai pentingnya takwa kepada Allah. Di mana di dalam ayat tersebut menjelaskan janji Allah. Yang mana Allah akan memberikan jalan keluar daripada setiap cubaan dan janji Allah akan memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka, kesemuanya itu ditujukan bagi mereka yang bertakwa kepada Allah.


Menurut Imam al-Ghazali r.a., perkataan takwa yang terdapat di dalam al-Quran membawa tiga makna:

1.    Bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah) Antara firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 281, "Dan bertakwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah."


2.     Bermakna taat. Contohnya seperti yang terdapat dalam firman Allah, "Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar takwa (taat)." (Al-Imran:102)


3.     Bermaksud menyucikan hati daripada dosa-dosa. Contohnya dalam firman Allah, "Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan." (an-Nur:52)


Perkataan bertakwa dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat atau takut kerana kalimah-kalimah taat dan takut telah disebutkan dalam ayat sebelumnya. Jadi bertakwa dalam surah an-Nur ayat 52 bermaksud, menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah merupakan definasi kepada istilah takwa.

Berdasarkan pengertian yang dihuraikan, Imam al-Ghazali telah membuat kesimpulan bahawa tawka itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah bertakwa.


BUAH DARI TAKWA

Bermacam-macam kebaikan yang Allah janjikan di dalam al-Quran kepada mereka yang memiliki sifat takwa. Antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat takwa ialah: 

1.     SENTIASA DIPIMPIN OLEH ALLAH

Bagi hamba Allah bertakwa maka mereka akan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali melalui firman Allah, "Allah menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-orang yang bertakwa." [Al-Jasiyah: 19]


2.     TERLEPAS DARIPADA SEGALA KESUSAHAN DAN KESEMPITAN HIDUP

Orang bertakwa akan dapat terlepas daripada kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan bermaksud mereka sama sekali tidak pernah mendapat kesusahan atau tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan hidup tetapi terselamat dan terlepas satu demi satu masalah yang dihadapi. Semua ujian yang ditempuhi itu bersifat sementara sahaja. Selepas itu Allah akan melepaskan satu demi satu kesusahan daripada ujian itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan beriman kepada-Nya. Ini jelas sebagaimana di dalam firman Allah, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia daripada masalah kehidupan." [at-Thalaq:2]


3.     DIKURNIAKAN REZEKI OLEH ALLAH

Semenjak di dunia lagi hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya akan dikurniakan dan dilimpahi rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak dirancang. Yang mana rezeki yang dikurniakan tidak diketahui dari mana punca dan sumbernya. Ini jelas sebagaimana sambungan daripada ayat surah at-Thalaq ayat dua, "Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." [at-Thalaq:3]

Berdasarkan ayat itu, barang siapa yang bertakwa kepada Allah, maka rezekinya ada sekadar yang memenuhi keperluan hidup tanpa meminta-minta daripada orang lain. Yang mana keperluan kita tetap ada walaupun kita tidak berusaha dan tidak mempunyai pekerjaan kerana hamba yang bertakwa sentiasa mendapat jaminan daripada Allah. Imam al-Ghazali pernah berkata, "Sekalipun orang bertakwa itu tidak mempunyai pekerjaan, tetapi keperluan hidup tetap diperolehi."


4.     PEKERJAAN SENTIASA DIPERMUDAHKAN

Usaha-usaha dan pekerjaan orang yang bertakwa itu sentiasa dipermudahkan oleh Allah. Ini sebagaimana daripada firman Allah, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, dipermudahkan Allah segala urusannya." [at-Thalaq:4]

Berdasarkan kepada firman Allah tersebut, menunjukkan bahawa Allah akan memberi jaminan kepada hamba-Nya yang bertakwa kepada-Nya. Yang mana pekerjaan dan usaha orang yang bertakwa itu akan sentiasa dipermudahkan jalannya. Mudah di sini bermaksud boleh jadi usahanya sedikit tetapi hasil dan natijahnya banyak.


5.     DIKURNIAKAN KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN

Maksud berkat adalah bertambah atau subur. Apabila dikatakan kehidupannya berkat, makna kehidupannya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan penuh dengan pahala serta kasih sayang Allah. Adapun jika memiliki harta maka hartanya akan berkat, iaitu harta yang tidak putus-putus dapat dislurkan kepada jalan kebajikan dan berpahala walaupun dia bukan terdiri daripada orang kaya sekalipun. Jika memiliki ilmu maka ilmunya akan berkat, iaitu ilmu yang dimilikinya itu bermanfaat dapat diamalkan dan disumbangkan kepada orang. Malah ilmu juga bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.

Adapun badan yang sihat dan berkat itu adalah memiliki tubuh badan yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan kebajikan. Dengan kesihatan badan yang dianugerahkan, ia digunakannya untuk berjuang pada jalan Allah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Memiliki masa yang berkat ialah masa yang Allah peruntukkan dapat digunakan dan dimanfaatkan kepada kebaikan sebaik mungkin.

Umurnya berkat,  kemungkinan umur yang panjang dan tidak melakukan perkara yang sia-sia sepanjang hidup. Walaupun umur tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepada kita akan menambahkan pahala dan dimanfaatkan dengan kebaikan. Rezeki yang berkat iaitu rezeki yang tidak putus-putus sekalipun bukan orang kaya dan jutawan, tetapi rezeki yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.

Manakala berkat pada anak-anak dan keturunan pula bermaksud memiliki anak-anak dan keturunan yang berjaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, malah yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isteri atau suami bermaksud memiliki seorang isteri atau seorang suami yang soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan juga akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran tetangga pula bermaksud, mendapat sahabat handai dan jiran tetanggga yang baik-baik serta menyenangkan hati kita  dan ramai pula yang membantu dalam perjuangan kita untuk menegakkan kebenaran.

Berkat pada seorang guru, iaitu kita mendapat seorang guru yang soleh dan baik hati yang dapat memimpin dan memandu kita selamat di dunia dan akhirat dan mencurahkan mutiara-mutiara ilmu.

Ini menunjukkan bahawa jika seorang hamba memiliki sifat-sifat takwa maka dia akan diberikan keberkatan daripada langit dan bumi. Keberkatan pada hartanya, kesihatan badannya, ilmunya, anak-anak dan keturunannya, isterinya, suaminya, pada sahabat handai dan jiran tetangga, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini jelas sebagaimana firman Allah, "Jikalau penduduk sebuah kampung ( atau sebuah negara) itu beriman dan bertakwa, Tuhan akan membukakan keberkatan daripada langit dan bumi." (al-'Araf:96)


6.     AMALAN SENTIASA DITERIMA ALLAH

Amalan orang yang bertakwa sentiasa diterima oleh Allah tidak kira amalan ibadat wajib mahupun yang sunat sekalipun. Ini jelas sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran, "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah s.w.t. ialah daripada orang yang bertakwa." [al-Maidah:27]

Berdasarkan firman Allah itu, menjelaskan bahawa Allah hanya menerima solat orang yang bertakwa. Allah tidak akan menerima solat orang yang sekadar bergelar di atas nama Islam semata-mata tetapi tidak bertakwa. Takwa adalah membuat kebaikan dan menjauhi perkara yang mungkar.


7.     AMALAN SENTIASA DIPERBAIKI

Sesungguhnya bagi hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya maka amalan-amalannya akan sentiasa perbaiki oleh Allah. Maksud amalan diperbaiki iaitu amalan sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada semasa ke semasa. Ini jelas melalui firman Allah yang mengingatkan kepada kita, "Wahai mereka yang beriman hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan memperbaiki amalan-amalan kamu..." [al-Ahzab: 70-71]

Berdasarkan firman Allah tersebut jelas menunjukkan bahawa orang-orang yang bertakwa amalannya sentiasa perbaiki dan diperkemaskan oleh Allah. Yang mana ibadat orang bertakwa sentiasa diperbaiki seperti sembahyangnya sentiasa diperbaiki oleh Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, zikirnya dan perjuangannya sentiasa diperkemaskan agar sentiasa indah di sisi Allah. Apa saja bentuk kebaikan dan kebajikan yang dikerjakan oleh orang yang bertakwa maka amalan mereka sentiasa dibaiki oleh Allah dari semasa ke semasa dan itulah janji dan jaminan Allah di dalam al-Quran.


8.     DOSA SENTIASA DIAMPUNKAN

Beruntungnya menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah kerana dosa-dosanya sentiasa diampunkan oleh Allah. Sebagaimana firman Allah, "Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu." [al-Ahzab:70-71]

Ayat di atas menunjukkan jelas bahawa orang bertakwa sahaja yang diampunkan dosa-dosanya oleh Allah.

Dapat disimpulkan bahawa inilah diantara kelebihan-kelebihan yang diperolehi oleh hamba-hamba yang bertakwa kepada Allah. Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang yang ada di dunia kerana ianya amat bernilai dianugerahkan oleh Allah. Dengan memiliki sifat-sifat ketakwaanlah ia boleh memandu manusia menuju kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat kelak. 

Semoga kita dikurniakan petunjuk, ketakwaan, kesejahteraan dan kekayaan. Allahumma Aameen. In shaa Allah.

~sumber majalah al-Islam.


Monday, 15 January 2018

KEMATIANNYA DITANGISI RSULULLAH



Nama beliau ialah Mus'ab bin Umair bin Hashim bin Abdul Manaf bin Abdul al-Dar bin Qushay bin Kilab al-Quraisyi. Beliau berketurunan bangsawan Quraisy dan datang daripada keluarga yang kaya. Beliau lahir 14 tahun selepas kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mus'ab bin Umair seorang anak yang sangat disayangi ibunya. Beliau dikenali dengan penampilannya yang kemas, pakaiannya diperbuat daripada kain yang mahal, rambutnya sentiasa bersikat rapi dan memakai wangian yang harum.

Suatu hari, beliau mendengar tentang Rasulullah s.a.w. yang mengajarkan 'agama baharu' di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Beliau menghadiri majlis ilmu tersebut dan mendengar alunan al-Quran yang dibacakan oleh Baginda.

Apabila mendengar alunan al-Quran, jiwanya terasa tenang, lalu beliau mengambil keputusan menerima Islam. Ketika itu dakwah masih berada di peringkat rahsia. Justeru, Mus'ab mencari masa untuk menghadiri majlis Rasulullah s.a.w. secara diam-diam.

Namun, tindakannya menyertai umat Islam disedari oleh seorang Musyrik bernama Uthman bin Thalhah. Berita tentang Mus'ab  memeluk Islam segera dilaporkan kepada ibu beliau.


KEMEWAHAN MUS'AB DITARIK

Ibu Mus'ab seorang wanita yang tegas, penyembah bahala yang tegar. Apabila mengetahui puteranya telah meninggalkan sembahan bahala, dia amat marah dan berusaha mengajaknya kembali menyembah berhala,

Apabila semua pendekatan yang dibuatnya gagal, maka penganiayaan fizikal mula dikenakan kepada Mus'ab. Beliau tidak diberi makan dan minum serta dikurung oleh keluarganya. Namun semua usaha menemui jalan buntu kerana Mus'ab istiqamah dalam Islam. Mus'ab akhirnya dihalau keluar dari rumah sehelai sepinggang.

Para penduduk Mekah melihat Mus'ab seorang yang hebat dan bergaya kini tidak memiliki apa-apa kemewahan lagi. Semuanya demi mempertahankan akidah dan keimanannya.

Ali bin Ali Talib berkata, "Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah s.a.w. di masjid, kemudian muncul Mus'ab bin Umair dengan mengenakan kain burdah yang kasar dan bertampal. Ketika Rasulullah s.a.w. melihatnya, Baginda menangis kerana teringat akan kenikmatan yang Mus'ab dimiliki dahulu berbanding dengan keadaannya sekarang." [Riwayat Tirmizi]

Ketika tekanan kepada umat Islam semakin kuat, Mus'ab antara yang tidak terlepas daripada ujian ini. Rasulullah s.a.w. mengarahkan Mus'ab berhijrah ke Habsyah bersama beberapa orang sahabat lain. Beliau pernah kembali ke Mekah dan mengikuti rombongan kedua yang berhijrah ke Habsyah semula. Ketika itu tubuhnya kurus dan memakai pakaian yang bertampal.

Mus'ab seorang yang cergas dan memiliki ilmu pengetahuan yang mantap tentang Islam. Rasulullah s.a.w. telah memilih beliau untuk dihantar menjadi pendidik ke Madinah. Tugas beliau adalah berdakwah dan mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Tugas yang berat ini berjaya dilaksanakannya sebelum Baginda sampai ke Madinah. Penduduk Madinah menerima dengan senang hati dakwah Mus'ab.


TRAGEDI PERANG UHUD

Semasa perang Uhud, Mus'ab telah dipilih untuk membawa bendera Islam. Mus'ab tetap teguh memegang bendera Islam serta melaungkan kalimah agung untuk menarik perhatian musuh agar Rasulullah s.a.w. tidak menjadi sasaran mereka.

Laugan Mus'ab benar-benar menarik perhatian musuh bernama Ibn Qumaiah yang menyangka Mus'ab ialah Rasulullah s.a.w.. Ibn Qumaiah meluru pantas menunggang kudanya lalu menebas tangan Mus'ab hingga putus. Namun Mus'ab  tetap melaungkan ayat al-Quran yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul." [Surah Ali Imran 3:144]

Ibn Qumaiah menebas tangan Mus'ab yang satu lagi dan menikam dadanya dengan tombak sehingga akhirnya beliau gugur syahid. Rasulullah menyerahkan bendera kepada Ali bin Ali Talib.

Abu Hurairah menceritakan. "Setelah perang Uhud selesai, Rasulullah s.a.w. mencari para sahabatnya yang gugur. Ketika melihat jasad Mus'ab bin Umair yang syahid dengan keadaan yang menyedihkan, Baginda s.a.w. berhenti, lalu mendoakan kebaikan untuknya. Baginda membaca ayat al-Quran, daripada surah al-Ahzab ayat ke 23, maksudnya: "Antara orang mukmin ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah [janjinya]."


KAIN KAFANNYA SINGKAT

Kain kafan untuk menutup jasad Mus'ab tidak cukup panjang, apabila ditarik ke atas untuk menutupi kepalanya, maka terbukalah kedua-dua kakinya. Apabila ditutupkan  ke kakinya, terbukalah kepalanya. Rasulullah bersabda , "Tutupkanlah bahagian kepalanya dengan kain dan bahagian kakinya dengan rumput izkhir."

Rasulullah bersabda di hadapan para sahabat apabila melihat jasad Mus'ab, "Ketika di Makkah dahulu, tidak ada seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripada Mus'ab. Tetapi sekarang ini, rambutmu kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah."

Mus'ab wafat setelah 32 bulan Nabi berhijrah ke Madinah pada usia 40 tahun. Moga Allah s.w.t. meredai dan memuliakan Mus'ab.



TIDAK ADA YANG SAMA DENGAN MUS'AB

Al-Zubair bin al- Awwam mengatakan, "Suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk dengan para sahabat di masjid Quba, lalu muncul Mus'ab bin Umair dengan kain burdah yang tidak menutupi tubuhnya dengan sempurna.

Orang yang berada disekelilingnya menundukkan kepala. Kemudian dia mengucapkan salam. Mereka menjawab salamnya. Nabi s.a.w. memuji dan mengatakan perkara yang baik-baik tentangnya.

Lalu Baginda bersabda, "Sungguh aku melihat Mus'ab semasa bersama kedua-dua orang tuanya di Makkah, mereka memuliakannya dan memberinya pelbagai kemudahan dan kenikmatan. Tidak ada pemuda-pemuda Quraisy yang sama dengan dirinya. Kemudian, dia tinggalkan semuanya itu demi mencari reda Allah dan meolong Rasulnya..." [Riwayat al-Hakim]


Friday, 12 January 2018

JAGA MAKAN, JAGA KETURUNAN


                                      
                                      
Sesungguhnya, anak yang hebat bukan lahir daripada keturunan hebat. Tetapi anak yang hebat lahir daripada keturunan yang hebat menjaga pemakanannya. Belum tentu juga, orang yang hebat, melahirkan anak yang hebat. Ini terbukti apabila ramai ulama yang hebat, sangat menjaga pemakanan dan sumber makanan yang peroleh. 

Kisah golongan tabiin seperti, Tsabit Bin Zuutha at- Taimiy al- Kufiy, iaitu ayah kepada Imam Abu Hanifah, wajar dijadikan iktibar dan pedoman buat semua. Kini, anak-anak lebih senang disogok dengan makanan segera kerana ia senang disediakan dan mudah didapati.

Di dalam satu riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat Rasulullah iaitu Saad bin Abu Waqash, meminta Baginda agar memohon kepada Allah supaya apa sahaja doa yang dipohon dikabulkan oleh Allah. Lalu, Nabi bersabda, maksudnya: "Wahai Saad, perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. 

Demi Tuhan yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan satu suapan yang haram dalam perutnya, maka tidaklah diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan, barang siapa diantara hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka, api neraka lebih baginya."   

"Hadis ini cukup menggerunkan. Ia menyeru agar kita menjauhi makanan yang haram dan sumber yang haram atau yang menimbulkan tanda-tanda syubhah. Seandainya kita mahu doa dimakbulkan, jagalah makanan yang disuap untuk diri dan keluarga."

Hadis tersebut juga wajar dijadikan iktibar buat orang-orang beriman agar menyelidik dan memperhalusi, jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan Allah.
Perincikanlah di mana salah kita, pekerjaan dan makanan kita. Adakah kita berusaha dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut sahaja?

Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya? Bagaimana mungkin perut yang terisi daripada makanan yang haram itu dapat menjelmakan peribadi yang soleh dan solehah?
Sama-samalah kita fikirkan...


~sumber majalah Iman.
            

Monday, 11 December 2017

KASIH BAPA



Suatu ketika Umar al-Khattab dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, "Apakah perihalnya kamu ini?" Perempuan itu menjawab, "Yang aku dukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku." Umar al-Khattab teruja dengan kejadian itu lalu berkata, "Wahai sahabat lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya." Perempuan itu membalas, "Tidak ya Amir al-Mu'minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah  orang tua ini akan mati?"


Sesungguhnya bila kamu berbakti kepada kedua ibu bapamu tidak akan dapat menandingi kehebatan kasih sayang mereka pada kamu. Kasih sayang yang mereka limpahkan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Sedangkan kamu berbakti kepada mereka dan mengharapkan balasan, samada ganjaran di dunia atau akhirat dan tidak kurang juga yang menanti-nanti kematian mereka.






"Siapa yang suka untuk dipanjangkan umur dan ditambahkan rezeki, maka berbaktilah kepada ibu bapa dan sambunglah silaturrahm dengan kerabat." [HR Imam Ahmad]



Nabi s.a.w.bersabda, "Kehinaan bagi  sesiapa yang memiliki kedua ibu bapanya yang tua  salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga." [HR Muslim]


Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w.  maksudnya: "Janganlah kamu membenci bapa-bapa kamu." Sesiapa yang membenci bapanya bererti dia kafir." (HR Muslim)




Saturday, 18 November 2017

RAHSIA MENJEMPUT REZEKI



Istighfar paling kurang 100 kali dan jika banyak masalah bacalah 1000 sehari atau lebih pun tak mengapa. In shaa Allah akan terbuka jalan penyelesaian pada masalah itu. Istighfar membuka segala simpulan. Apa saja yang berlaku di dalam hidup kitalah puncanya. Tuhan tidak menzalimi sebaliknya kita yang menzalimi diri sendiri. Istighfar adalah konsep zero minda iaitu kosongkan jiwa hanya ada Dia. Bila ada Dia di dalam hidup ini maka semua masalah akan tidak ada apa-apa. Hanya Dia yang mengaturkan semua masalah, Serahkan kepada Allah semuanya. Buat secara istiqamah.


Jika ada masalah atau mahu mendapat rezeki agar diberi jalan untuk dipermudahkan. Buat selawat selama 10 hari sebanyak 1000 kali sehari. Dengan niat khusus. Tapi jangan lupa solat fardu.


Buat solat taubat bermula dari titik untuk berubah, buat setiap malam. Kemudian buat solat tahajud kerana di situ banyak keistimewaan yang dijanjikan.


Buat solat Duha jangan putus. Solat Duha memang hebat sangat peranannya, rezeki melimpah ruah. Keberkatan datang, tapi jangan buat untuk mendapatkan duit tetapi untuk mendapat keberkatan dan kasih sayang Allah. Kunci dunia adalah kasih sayang.  Jika ada kasih sayang yang baik daripada Allah maka Allah akan beri apa saja yang Dia mahu.


Jaga dan sayangi ibu bapa macam mereka adalah raja di dalam hidup kita walaupun ibu bapa kita tidak menyukai kita. Buatlah apa saja yang boleh untuk menyayangi ibu bapa kita. Orang yang berjaya adalah orang yang menyayangi ibu bapa mereka...

~ Dr Azizan Osman


Thursday, 9 November 2017

KESUSAHAN HIDUP TANDA KERINDUAN ALLAH



Hidup dalam dunia yang penuh kemewahan dan semua yang ada di dalamnya berlumba-lumba pada hari ini sering menghanyutkan kita dengan seribu macam perkara. Hari-hari yang dilalui, dipenuhi dengan jadual dan aktiviti untuk mencapai apa yang dihajatkan oleh hati. Ingin mengejar itu dan ini.


Hati dan fikiran fokus kepada hal-hal dunia sehinggakan masa untuk kita berhubung mesra dengan Allah s.w.t., berkhalwat dengan Allah s.w.t. sudah hampir tiada. Kalau ada pun, berapa ramaikah daripada kita yang tergolong dari orang-orang yang sedaya upaya yang mencuri masanya untuk berhubungan 'heart to Rabb' dengan Dia?


Yang parahnya adalah, dalam satu hari yang dilalui itu, ada manusia yang langsung tidak mengingati Tuhannya dek kesibukan yang mengikat diri. Dan Allah Ta'ala, punya cara yang tersendiri untuk menyedarkan ! Dan hanya selepas itu, manusia yang tersedar.


ALLAH PUNYA CARANYA SENDIRI

Dia Yang Maha Menyayang, Maha Mengingati dan Maha Mengasihi kepada semua hamba-Nya.

Apabila kita menyayangi seseorang, mesti timbul rasa rindu bila berjauhan, dan rasa rindu untuk berhubung serta bermesra, bergurau senda dengannya. Begitulah juga tamsilan, halnya dengan kerinduan Allah Ta'ala terhadap hamba-Nya.


Tapi, cara manusia dan cara Allah Ta'ala memanggil, menyeru dan berhubung dengan hamba yang dikasihi-Nya sangat luar biasa. Tidak sama seperti cara manusia. Allah Ta'ala punya caranya sendiri. Tapi sayang, dek kerana lemahnya iman yang ada, sangat sedikit daripada manusia (termasuk saya) yang sedar dan faham akan cara Allah menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan mendampingi-Nya.


Musibah dan masalah dalam kehidupan itu sebenarnya merupakan panggilan-panggilan Allah supaya manusia berhubung dengan-Nya. Manusia sering lupa untuk mengingati Allah Ta'ala. Sering !


Bagaimana mahu berhubung dengan Allah Ta'ala ?

Allah Ta'ala menyeru dan memanggil manusia untuk menghampiri -Nya dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan, supaya dengan itu, manusia boleh tersedar dan lembut hatinya untuk kembali kepada-Nya berdoa, mengadu dan meluahkan masalah dalam hidup.


Ini soal  pergantungan manusia sebagai seorang hamba kepada Tuhan-Nya.

Allah Ta'ala yang menurunkan bala bencana dan Allah Ta'ala jugalah yang akan mengangkat kesemua bala bencana itu kembali daripada kita.

Pernah terfikir tidak, kenapa diri sendiri ditimpa musibah secara tiba-tiba, padahal beberapa minit atau beberapa jam sebelumnya hati lapang dan gembira dan tersenyum tawa dengan hati yang riang?
Mengapa Allah Ta'ala turunkan suatu masalah yang menghimpit jiwa secara tiba-tiba tanpa sebarang alamat?

Maka, itulah sebenarnya  maksud dan perancangan Allah Ta'ala. pada setiap waktu dan ketika menanti-nanti manusia yakni hamba-Nya meluangkan masa untuk bersama-Nya. Setiap kali Allah Ta'ala menyeru dan memanggil manusia melalui kesusahan-kesusahan hidup itu, Allah mahu manusia menyahut panggilan-Nya dengan berusaha merapat padaNya melalui solat, doa dan munajat.


Ujian kesusahan, kedukaan dalam kehidupan itu bukanlah tanda Allah Ta'ala itu zalim. Tetapi kerana zalimnya manusia terhadap diri sendirilah yang menyebabkan Allah Ta'ala dengan sifat-Nya Yang Maha Pengasih menyedarkan manusia dari lamunan duniawi.

Itu adalah tanda kasih dan sayang-Nya.


Saya sendiri, dan anda yang membaca, tidakkah berasa kecut jiwa untuk mahu  tunduk terhadap Allah?

Dia, Allah Ta'ala Tuhan kita sentiasa ada untuk menjaga kita. Maka jagalah Dia dalam urusan kehidupanmu.

Semoga Allah merahmati.

~sumber jiwa hamba


RIAK TAKABBUR



Ujian Ahli Ilmu dan Ahli Ibadah


Orang Islam jika bukan termasuk dalam golongan Ahli Ilmu, maka hendaklah dia memastikan dirinya dalam golongan Ahli Ibadah.

Alangkah baiknya jika dia tergolong dalam kedua-duanya golongan tersebut. Jika tidak termasuk dalam salah satu dalam golongan ini, maka dia termasuk dalam golongan yang sangat rugi.

Namun, setiap golongan ini diuji dengan ujian.
Seorang ulama berkata:
"Ramai orang punya kaitan dengan ilmu ( ulama, penuntut ilmu dan seumpamanya ) diuji dengan sombong. Sebagaimana Ahli Ibadah ramai yang diuji dengan syirik."

Oleh sebab itu, kerosakan ilmu adalah sombong. Manakala kerosakan ibadah adalah riya. Mereka inilah yang dihalang daripada Hakikat Ilmu. [Rad  Ala Syazili m.s.207]

Jauhkan diri daripada sombong dan syirik. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita sebagai Ahli Ilmu dan Ahli Ibadah yang sebenar.

~Dr Abu Anas Madani

Monday, 6 November 2017

TANGISAN RASULULLAH S.A.W.



Abdullah bin Asy-Syikhir berkata;

"Aku mengunjungi Rasulullah s.a.w. semasa Baginda sedang solat, terdengar tangisan Baginda yang berbunyi seperti air yang sedang menggelegak."

Satu hari apabila Sayyidina Abdullah bin Mas'ud ra  diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk membaca al-Quran di hadapan Baginda. Lalu apabila bacaan beliau sampai pada ayat Surah An-Nisa yang bermaksud:

"....dan Kami datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini "

Aku melihat kedua-dua mata Rasulullah s.a.w. basah oleh air mata.

Rasulullah s.a.w. mencium Sayyidina Uthman bin Mazh'un yang sudah meninggal sambil menangis."

Banyak lagi hadis-hadis lain yang menceritakan bahawa betapa Rasulullah s.a.w. mencintai umatnya Baginda sehingga dituliskan bab khas untuk *Tangisan Baginda oleh Imam Tirmizi r.a. dalam Kitabnya Syamail Muhammadiah.

Sudah begini pun kita masih belum merindu Baginda s.a.w. Setiap malam tangisannya Baginda s.a.w. hanya untuk Ummah. Sedangkan setiap saat terkadang kita masih leka berbuat maksiat.

Ya Allah, Engkau himpunkanlah kami bersama Baginda s.a.w. di Firdaus Tertinggi dan kurniakanlah Taufiq dan Hidayahmu kepada kami untuk perkara tersebut. Aamiin.


~Ustaz Khairulnizam B. Abdul Ghani
Mudir ArRasyid



Friday, 27 October 2017

KENAL NABI


LEMAH LEMBUT TERHADAP WANITA.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. memiliki seorang penunggang unta yang bagus suaranya. Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepadanya, "Wahai Anjasyah, janganlah kau pecahkan botol kaca." Maksudnya para wanita yang sedang dia bawa menaiki unta. (Riwayat Muslim)


CATATAN


1.  Rasulullah s.a.w. sangat cermat apabila berinteraksi dengan kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak. Baginda melarang umat Islam untuk menyakiti apatah lagi menzalimi mereka. Dalam peperangan pun, kaum wanita tidak dibenarkan dibunuh tanpa sebarang sebab.


2.  Nabi mengibaratkan wanita seperti kaca-kaca yang sifatnya rapuh dan mudah pecah. Wanita sinonim dengan sifatnya yang lembut, sensitif, serta lemah sifatnya berbanding lelaki. Oleh itu, Baginda menasihati orang lelaki untuk menjaga serta melindungi golongan wanita sebaik-baiknya.


3.  Baginda sangat prihatin terhadap kaum wanita baik dalam urusan dunia mahupun akhirat. Baginda akan meluangkan masa untuk mengajar ilmu agama kepada isteri dan kaum wanita lainnya.
Sedaya upaya Baginda membentuk para wanita menjadi golongan yang dipandang mulia, berilmu dan solehah.


4.  Rasulullah s.a.w. sering membela wanita yang lemah. Sebahagian besar isteri Baginda ialah janda yang kesusahan. Tidak pernah sekalipun Baginda mengasari atau mencederakan isterinya walaupun ketika dalam keadaan marah.



Tuesday, 3 October 2017

...DITINGGAL...JANGAN..!


Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia kafir yang nyata."

Seksaan dan azab bagi orang yang lalai serta meninggalkan solat seperti sabda Rasulullah saw: 

"Siapa meringan dan melalaikan solat lima waktu yang difardukan ke atasnya, akan menerima seksaan atau azab Allah dengan 15 azab."

Enam daripada seksaan itu diterima di dunia, tiga ketika hampir ajalnya, tiga ketika berada di dalam kubur dan tiga lagi ketika berjumpa Allah pada hari kiamat.


Sahabat bertanya:

"Ya Rasulullah, apakah seksaan ketika di dunia?


Jawab Baginda:


1. Hilang berkat umurnya.

2. Hilang keberkatan rezekinya (rezekinya terbuang sia-sia, walaupun kaya tetapi kekayaan itu menjadi laknat ke atasnya)

3. Dihilangkan Allah tanda soleh pada mukanya.

4. Tidak diakui masuk golongan Islam (zahirnya saja Islam tetapi batinnya munafik, malah dia termasuk golongan munafik).

5. Segala amal baiknya ( sedekah dan sebagainya) tidak diberi ganjaran.

6.  Doanya ditolak Allah.


Hadis riwayat Ibnu Abbas, katanya:

"Aku dengar Rasulullah saw bersabda: "Bermula orang meninggal solat itu, bukanlah dia dari golongan Islam. Allah tidak terima tauhid dan imannya dan tidak ada faedah sedekah, puasa dan syahadatnya."


Kemudian bertanya lagi sahabat:

"Ya Rasulullah saw, apa pula seksaan yang akan diterimanya ketika hampir ajalnya?"





Jawab Baginda:

1. Adalah mati dalam kehinaan iaitu, rohnya dicabut dengan kasar dan tidak ada belas kasihan.

2. Matinya juga dalam kelaparan, bukan kerana tiada makanan, tapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tapi tidak dapat makan sesuatu kerana sakit ketika roh akan keluar.

3. Matinya juga dalam kehausan, malah jika diberi minum air dari semua lautan di dunia ini tidaklah memberi apa-apa kesan pada dahaganya ketika sakaratul maut.



Sahabat bertanya lagi:

"Ya Rasulullah saw, apa pula seksaan di dalam kuburnya?"





Rasulullah saw bersabda:

"Disempitkan Allah kuburnya, digelapkan Allah kuburnya, dan akan diperintahkan Allah beberapa malaikat menyeksanya hingga hari kiamat tanpa henti."


Ada riwayat menyatakan, orang yang meninggalkan solat, akan Allah hantarkan kepadanya seekor ular besar bernama Suja'ul akra', yang matanya daripada api, mempunyai tangan dan berkuku besi, dengan membawa alat pemukul dari besi berat.


Ia akan berkata, kepada si mati dengan suaranya bagai halilintar: "Aku disuruh oleh Allah memukul engkau sebab meninggalkan solat dari Subuh hingga Zuhur, kemudian dari Zuhur ke Asar, dari Asar ke Maghrib dan dari Maghrib ke Isyak hingga Subuh."


Lalu Suja'ul akra' terus memukul mayat orang yang meninggal solat dan setiap kali dipukul, mayat itu terbenam ke dalam bumi beberapa ratus hasta.

Kemudian dikeluarkan mayat itu dengan kuku besinya lantas ditanya lagi dan dipukul lagi hingga hari kiamat.



Sahabat bertanya lagi:

"Ya Rasulullah saw, bagaimanakah keadaan orang yang meninggalkan solat ketika di depan Allah?"





Jawab Baginda:

"Ketika bertemu Allah pada hari kiamat kelak, datang malaikat menyeksanya dengan rantai panjang. Rantai itu diikat ke leher orang yang meninggalkan solat serta dimasukkan ke mulutnya dan dikeluarkan melalui duburnya. Kemudian rantai itu ditarik dan disentap."


"Malaikat yang menghelanya berteriak: Inilah balasan bagi orang meninggalkan solat yang difardukan. Kemudian orang itu ditarik serta dilemparkan ke neraka bernama Saqar."

Kedua, ketika berjumpa Allah orang yang tidak menunaikan solat tidak akan mendapat keampunan Allah.

Ketiga, Ketika dibangunkan semula pada hari kebangkitan, Allah tidak menaruh rahmat dan belas kasihan kepadanya.


Firman Allah bermaksud:

"Mereka yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsu kepada kejahatan, maka tetaplah mereka jatuh ke dalam satu telaga api neraka." (Surah Maryam, ayat 59).





...Sesungguhnya solat itu tiang agama....
Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan.....


~cetusan minda.








Wednesday, 20 September 2017

TAUBAT SEORANG WANITA PENZINA



Imam Muslim dalam sahihnya, dan juga para penulis kitab sunnah telah meriwayatkan sebuah kisah taubat yang paling mengagumkan yang diketahui oleh manusia. Pada suatu hari Rasulullah saw duduk di dalam masjid, sementara para sahabat duduk mengelilingi beliau. Beliau mengajar, mendidik dan  mensucikan (hati) mereka.


Tiba-tiba datang seorang wanita berhijab masuk melalui pintu masjid. Melihat wanita itu Rasulullah saw pun diam, dan begitu juga para sahabat beliau. Wanita tersebut menghadap dengan perlahan, dia berjalan dengan penuh  gentar dan takut, dia lemparkan segenap penilaian dan pertimbangan manusia, dia lupakan aib dan keburukan, tidak takut kepada manusia, atau mata manusia dan apa yang akan dikatakan oleh manusia.


Dia menghadap untuk mencari kematian, kematian lebih ringan, jika disertai oleh pengampunan dan penghapusan dosa. Menjadi ringan setelah kematian tersebut terdapat keredhaan dan penerimaan dari sisi Allah. Dia berjalan sampai kepada Rasulullah saw. kemudian dia berdiri di hadapan beliau dan mengkhabarkan kepada beliau bahawa dia telah berzina.



Dia berkata, "Wahai Rasulullah, aku telah melakukan (maksiat yang mewajibkan adanya) hukuman had (atasku), maka sucikanlah aku!"


Apa yang diperbuat oleh Rasulullah saw.? Apakah beliau meminta persaksian dari para sahabat atas wanita tersebut? Tidak, bahkan merahlah wajah beliau hingga hampir-hampir menitiskan darah. Kemudian beliau mengarahkan wajah beliau ke arah kanan, dan diam, seakan-akan beliau tidak mendengar sesuatu. Rasulullah berusaha agar wanita ini mencabut perkataannya, akan tetapi wanita tersebut adalah wanita yang istimewa, wanita yang solehah, wanita yang keimanannya telah tersusuk di dalam hatinya. Maka Nabi bersabda kepadanya, "Pergilah, sehingga engkau melahirkannya."


Berlalu bulan demi bulan, dia mengandung puteranya selama sembilan bulan, kemudian dia melahirkannya. Maka pada hari pertama nifasnya, dia pun datang dengan membawa anaknya yang telah diselimuti kain dan berkata, "Wahai Rasulullah, sucikanlah aku dari dosa zina, inilah dia, aku telah melahirkannya, maka sucikanlah aku wahai Rasulullah!"


Maka Nabi pun melihat kepada anak wanita tersebut, sementara hati beliau tercabik-cabik kerana merasakan sakit dan sedih, dikeranakan beliau menghidupkan kasih sayang terhadap orang yang berbuat maksiat, rahmat kepada burung, dan menyayangi haiwan.


Sebahagian ahli ilmu berkata, "Bahkan beliau, memberikan rahmat hingga kepada orang kafir. Allah berfirman tentang beliau, "Dan tidaklah aku utus kamu Muhammad, kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta. "Siapa yang akan menyusui bayi tersebut jika ibunya mati? Siapakah yang akan mengurusi keperluannya jika had (hukuman) ditegakkan atas ibunya? Maka Nabi bersabda, "Pulanglah, susuilah dia, maka jika engkau telah menyempurnakannya, kembalilah kepadaku."


Maka wanita itu pun pergi ke rumah keluarganya, dia susui anaknya, dan tidaklah bertambah keimanannya di dalam hatinya kecuali keteguhan, seperti teguhnya gunung. Tahun pun bergilir berganti tahun. Kemudian wanita itu datang membawa anaknya yang sedang memegang roti. Dia berkata: "Wahai Rasulullah, aku telah menyempurnakannya, memberinya susu, maka sucikanlah aku."


Dia dan keadaannya sunnguh sangat menakjubkan! Iman yang bagaimanakah yang membuatnya berbuat demikian. Tiga tahun lebih atau kurang, yang demikian tidaklah menambahnya kecuali kekuatan iman.


Nabi mengambil anaknya, seakan-akan beliau membelah hati wanita tersebut dari antara kedua lambungnya. Akan tetapi ini adalah perintah Allah, keadilan langit, kebenaran yang dengannya kehidupan akan tegak.


Nabi bersabda, "Siapa yang mengkafil (mengurusi)  anak ini, maka dia adalah temanku di syurga seperti ini...." Kemudian beliau memerintahkan agar wanita tersebut direjam (dilempari dengan batu hingga mati )


Maka manusia pun berkumpul, dan merejamnya. Memancutlah darah dari kepala wanita tersebut mengenai Khalid bin Walid, maka dia pun mencacinya pada jarak pendengaran Nabi. Maka beliau bersabda kepadanya, "Tenang wahai Khalid, demi Allah, dia telah bertaubat dengan pertaubatan yang seandainya penarik pajak bertaubat dengannya pastilah akan diterima darinya."


Dalam sebuah riwayat bahawa Nabi memerintahkan agar wanita itu direjam, kemudian beliau mensolatinya. Maka berkatalah Umar, "Anda mensolatinya wahai Nabi Allah, sungguh dia telah berzina." "Maka beliau bersabda, "Sungguh dia telah bertaubat dengan satu taubat, seandainya taubatnya itu dibahagikan kepada 70 orang dari penduduk Madinah, maka taubat itu akan mencukupinya. Apakah engkau mendapati sebauh taubat yang lebih utama dari pengorbanan dirinya untuk Allah?" (HR Ahmad)


Sesungguhnya ini adalah rasa takut kepada Allah. Sesungguhnya ini adalah perasaan takut yang terus menerus berada pada diri wanita mukminah tersebut saat dia terjerumus ke dalam jerat-jerat syaitan, dia menjawab jerat-jerat tersebut pada saat lemah. Ya , dia telah berbuat dosa, akan tetapi dia berdiri dari dosanya dengan hati yang dipenuhi oleh iman, dan jiwa yang digerakkan oleh panasnya maksiat. Ya, dia telah berdosa, akan tetapi telah berdiri pada hatinya tempat pengagungan terhadap Dzat yang dia bermaksiat kepada-Nya. Sesungguhnya ini adalah taubat sejati wahai hamba-hamba Allah, Ya, ini taubat Nasuha wahai hamba-hamba Allah.


Wallahu'alam...


Sikap sabar dalam mengahdapi semua persoalan hidup adalah satu anugerah dari Allah, tidak semua orang mendapat anugerah tersebut. Jika ada sifat sabar dalam dirimu, maka bersyukurlah kepada yang memberi kesabaran pada dirimu iaitu Allah swt.


~perjalanan yang singkat.







Friday, 18 August 2017

MEMBUAT PERSIAPAN....



Alhamdulillah. Ketika ini kita dihidupkan oleh Allah s.w.t., tinggal di bumi milik-Nya. Kita berjalan dengan bebasnya. Kita diberi rezeki yang melimpah, makanan, minuman, udara dan sebagainya.

Tiba saat yang telah ditentukan. Kita akan dikembalikan semula kepada-Nya. Samada suka atau tidak, sedar atau lalai, ia pasti akan berlaku. Selepas itu kita akan menuju ke negeri abadi, syurga atau neraka. Kita memilihnya semasa di dunia ini melalui amal dan tindakan.





Sesungguhnya perjalanan selepas ini amat jauh, maka banyak bekalan perlu dibawa. Kekurangan bekalan amat menyulitkan perjalanan kita. Mengingatkan hal demikian, maka wajiblah bagi kita menginsafi diri, menyiapkan diri bagi hari yang amat besar itu. Persiapan menghadapi kematian, persiapan bertemu dengan Tuhan.


Sememangnya dalam menjalani kehidupan ini, kita sering lupa matlamat hidup ini. Kita sangkakan dunia ini adalah tempat bersenang-lenang, tempat beristirahat. Hakikatnya dunia tempat mencari bekal untuk menuju alam abadi.


Justeru, Allah s.w.t. dengan sifat kasih sayang telah menghantar peringatan kepada kita agar tidak melupakan saat-saat itu, agar kita tidak terpedaya dengan keduniaan, sehingga kita tidak bersiap untuk bertemu dengan-Nya.


Diceritakan Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya memberitahu sebelum mengambil nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. malaikat segera menjawab, Allah telah menghantar peringatan demi peringatan.....

Rambut yang hitam menjadi putih.

Badan yang gagah beransur menjadi lemah.

Selera yang terbuka mula menguncup.

Gigi sudah banyak yang gugur.

Mata yang terang mulai kabur.

Kulit yang tegang semakin kendur.


Allah s.w.t. berfirman : "Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan di masukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa ) kehidupan di dunia ini ( meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya ), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." ( Ali -Imraan : 185 )


Oleh itu, awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.


~sumber kembara mencari hamba

Thursday, 17 August 2017

HARGA DIRI



Berkata Imam al-Harits al- Muhasibi Rahimahullahu Taala :

"Orang yang benar ialah orang yang tidak peduli dengan runtuhnya harga dirinya pada pandangan
makhluk asal ia dapat membaikkan hatinya.

Dan ia tidak suka terhadap penglihatan manusia terhadap amalan-amalannya yang baik. Dan ia tidak benci bahawa manusia mengetahui apa jua yang jahat dari perbuatannya.

Kerana kebencian terhadap perkara tersebut adalah sebagai bukti bahawa ia menghendaki suatu yang lebih daripada harga dirinya yang sebenar. Maka hal yang seperti ini bukan termasuk di dalam ikhlasnya para shiddiqin. "






Tuesday, 1 August 2017

SEMBUNYIKAN




Ketahuilah wahai saudaraku sekelian
bahawa ikhlas itu tidak bisa terwujud dalm hati seorang hamba jika ia hanya
mengharapkan pujian semata. Biar pun ibadahnya kelihatan hebat pada pandangan
manusia namun disisi Allah ianya hanya sia-sia belaka.


Allah berfirman yang bermaksud: "Dan kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan,
lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai." (Surah al-Furqan:23).


Oleh kerana itu sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau 
menyembunyikan keburukan-keburukanmu, dan janganlah engkau kagum dengan
amalan-amalanmu, sesungguhnya engkau tidak tahu apakah engkau termasuk
orang yang celaka (masuk neraka) atau orang yang bahagia (masuk syurga).


Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman,
"Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal
sedangkan Aku disekutukan dengan selain 'Ku nescaya Aku tinggalkan dia
dengansekutunya." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Ikhlas itu pada amalan hati kita yang tiada siapa pun yang mengetahuinya.
melainkan ia menjadi rahsia antara seorang hamba dan Tuhannya.


Rasulullah saw bersabda, "Barang siapa yang meninggalkan dunia dengan
membawa keikhlasan kerana Allah sahaja, ia tidak menyekutukan Allah,
melaksanakan solat, menunaikan zakat, maka ia telah meninggalkan dunia
dengan membawa redha Allah." (HR Bukhari dan Muslim)


Diantara tanda keikhlasan adalah jika engkau suka sembunyikan
kebaikanmu dan tidak suka menyembunyikan kesalahanmu.

~Syed Quthub~



Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...