Sesungguhnya, anak yang hebat bukan lahir daripada keturunan hebat. Tetapi anak yang hebat lahir daripada keturunan yang hebat menjaga pemakanannya. Belum tentu juga, orang yang hebat, melahirkan anak yang hebat. Ini terbukti apabila ramai ulama yang hebat, sangat menjaga pemakanan dan sumber makanan yang peroleh.
Kisah golongan tabiin seperti, Tsabit Bin Zuutha at- Taimiy al- Kufiy, iaitu ayah kepada Imam Abu Hanifah, wajar dijadikan iktibar dan pedoman buat semua. Kini, anak-anak lebih senang disogok dengan makanan segera kerana ia senang disediakan dan mudah didapati.
Di dalam satu riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Mardawaihi daripada Ibnu Abbas, seorang sahabat Rasulullah iaitu Saad bin Abu Waqash, meminta Baginda agar memohon kepada Allah supaya apa sahaja doa yang dipohon dikabulkan oleh Allah. Lalu, Nabi bersabda, maksudnya: "Wahai Saad, perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya.
Demi Tuhan yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan satu suapan yang haram dalam perutnya, maka tidaklah diterima amalnya selama empat puluh hari. Dan, barang siapa diantara hamba Allah yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka, api neraka lebih baginya."
"Hadis ini cukup menggerunkan. Ia menyeru agar kita menjauhi makanan yang haram dan sumber yang haram atau yang menimbulkan tanda-tanda syubhah. Seandainya kita mahu doa dimakbulkan, jagalah makanan yang disuap untuk diri dan keluarga."
Hadis tersebut juga wajar dijadikan iktibar buat orang-orang beriman agar menyelidik dan memperhalusi, jika selama ini doa kita tidak dimakbulkan Allah.
Perincikanlah di mana salah kita, pekerjaan dan makanan kita. Adakah kita berusaha dalam hidup ini hanya sekadar untuk memenuhi perut sahaja?
Bagaimana mungkin hati yang kotor akan dikabulkan doanya? Bagaimana mungkin perut yang terisi daripada makanan yang haram itu dapat menjelmakan peribadi yang soleh dan solehah?
Sama-samalah kita fikirkan...
~sumber majalah Iman.