Thursday, 11 January 2018

SIMPAN AIBMU BAIK-BAIK



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap umatku dimaafkan dosanya kecuali al-mujahirin, orang yang menampakkan aibnya. Sesungguhnya antara mereka ialah seseorang yang melakukan dosa maksiat pada waktu malam, kemudian Allah telah menutup aibnya.

Lalu apabila tiba waktu pagi, dia berkata, "Wahai polan, sesungguhnya aku telah melakukan itu dan ini, "sedangkan Allah telah menutup aibnya, dan dia pula  membuka aibnya yang telah Allah tutup pada waktu siang."
[Riwayat Al-Bukhari]



Antara perkara yang ditekankan syariat Islam adalah menutup keburukan dan aib. Tujuan pensyariatan ini agar keburukan yang lebih besar tidak tersebar dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjaga keharmonian umat.

Aib orang lain yang kita ketahui, tidak boleh diceritakan kepada orang lain tanpa sebab yang mendesak. Betapa pentingnya menutup aib sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:
"Tidaklah seseorang menutup aib seorang hamba yang lain melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat nanti."[Riwayat Muslim]

Membuka aib orang pun dilarang, maka membuka aib sendiri lebih berganda dosanya.


DOSA BESAR TANPA SEDAR

Ramai yang tidak sedar menceritakan aib sendiri termasuk dosa besar. Bagi mereka, perbuatan ini perkara biasa yang dianggap sekadar berkongsi pengalaman. Tidak kurang juga ada yang merasa megah dan bangga kerana mampu melakukan dosa yang orang lain tidak lakukan.

Al-mujahirin ialah gelaran yang disebut oleh Nabi s.a.w. kepada mereka yang membuka aib sendiri. Imam al-Nawawi dalam al- Majmu' mengatakan, mereka ialah orang yang menzahirkan maksiat yang dilakukan oleh mereka tanpa keperluan yang mendesak, sedangkan Allah telah menutup aibnya daripada pengetahuan orang lain.

Betapa teruknya perbuatan ini. Sudahlah melakukan dosa dan tidak bertaubat, malah diceritakan pula maksiatnya kepada orang lain tanpa rasa bersalah langsung. Walhal, Allah menutup dosa yang dilakukannya agar dia bertaubat dan terjaga nama baiknya disisi masyarakat. Betapa tidak mengenang budinya perilaku al-mujahirin ini.

Dosa yang dibuat baik secara terang-terangan atau sembunyi semuanya dalam pengetahuan Allah. Apabila dosa yang dilakukannya tidak diketahui orang lain, itu sebahagian daripada rahmat Allah kepada hamba-Nya. Betapa banyak kebaikan kita yang diketahui orang ramai hari ini adalah berkat rahmat Allah menutup aib dan keburukan kita daripada pandangan manusia.


TUTUP AIBMU, ALLAH TUTUP KESALAHANMU.

Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w. lalu berkata, "Wahai Rasulullah, aku telah melakukan dosa. Aku bermesra-mesraan dengan seorang gadis di pinggir kota Madinah. Aku telah bermesra dengannya namun kami tidak bersetubuh. Maka hukumlah aku dengan apa sahaja hukuman yang engkau mahu."

Umar al-Khattab yang ketika itu berada bersama Nabi berkata, "Kalaulah engkau tutup aibmu tentu Allah akan menutup kesalahanmu itu."

Rasulullah s.a.w. hanya diam saat mendengar ucapan Umar al-Khattab. Tidak membantah sedikit pun. Lelaki tadi kemudian bangun lalu pergi meninggalkan mereka berdua. Rasulullah s.a.w. kemudian menyuruh seseorang memanggil lelaki itu kembali  menghadap Baginda.

Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah kepadanya, "Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang [pagi dan petang], dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebaikan [terutama sembahyang] menghapuskan kejahatan yang engkau lakukan. Perintah-perintah Allah yang demikian menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat." [Surah Hud 11:114]
Maka para sahabat yang berada di sisi Rasulullah bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah ini khusus untuk dirinya sahaja?"
Baginda menjawab,"Bahkan untuk seluruh manusia." [Riwayat Muslim]




RESOLUSI:

1.   Menunduk aib sendiri termasuk perbuatan baik dan berpahala sedangkan membuka aib sendiri termasuk dalam dosa- dosa besar yang sangat dimurkai Allah s.w.t.

2.   Apabila Allah menutup dosa kita, gunakan kesempatan itu untuk bertaubat dan kembali melakukan kebaikan bagi menghapuskan kesalahan yang pernah kita buat.


3.   Solat antara penghapus dosa yang mujarab. Jagalah solat kita sebaik-baiknya khususnya solat lima waktu. Jika tertinggal, gantilah solat. Usahalah untuk melakukan solat sunat bagi menampung kekurangan solat fardu. Solat bukan sahaja amalan pertama dihisab di akhirat bahkan penghapus dosa. Semakin banyak dosa kita, semakin perlu kita mendirikan solat.


4.   Belajar untuk mengawal diri daripada membuka aib sendiri. Betapa besarnya rahmat Allah ketika Dia menutup keburukan kita daripada pandangan orang lain. Berhati-hati menulis di laman sosial dengan niat 'memberi pelajaran kepada orang lain.' Jangan terlalu galak menulis memberi motivasi hingga membuka pekung di dada sendiri, menyebar dosa sendiri serta mengundang murka Ilahi.



~sumber .



Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...