Menghadapi kehidupan yang pasti diakhiri dengan kematian. Bakal menjengah, tanpa diketahui waktunya. Walaupun begitu, sebelum kematian menjengah, setiap insan pasti akan bertemu dengan suatu yang amat mengerikan dan menyakitkan.
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: "Datanglah sakaratulmaut dengan membawa kebenaran yang telah dijanjikan. Inilah perkara yang engkau selalu lari daripadanya." [Surah Qaf 50:19]
Apakah sakaratulmaut?
Kesakitan, kedahsyatan, tekanan serta himpitan akibat kematian yang akan dihadapi setiap yang bernyawa.
Kematian yang benar, kesakitan sakarat yang benar. Bahkan, Nabi s.a.w. juga turut tidak terkecuali daripada menghadapi saat penuh cemas ini.
Diriwayatkan oleh ummulmukminin, Sayidatina Aisyah r.ha, ketika Nabi dalam keadaan sakaratulmaut, Baginda berada di ribaan beliau. Di sisi Baginda s.a.w. terdapat sebuah bekas yang mengandungi air. Nabi mencelupkan tangan ke dalam bekas tersebut, lalu diusap ke wajahnya, seraya berkata, maksudnya: "Lailahaillallah. Sesungguhnya kematian didahului dengan sakaratulmaut." [Riwayat al-Bukhari]
PERUMPAMAAN SAKIT SAKARATULMAUT
Kesakitan yang digambarkan oleh Rasulullah dalam beberapa riwayat, wajar untuk kita mengambil tahu serta membayangkan kesakitan saat sakaratulmaut tersebut.
Kesakitan sakaratulmaut digambarkan dengan pelbagai perumpamaan. Antaranya:
a. "Sakitnya sakaratulmaut seperti tusukan tiga ratus pedang." [Riwayat al-Tirmizi]
b. "Kematian yang paling ringan ibarat sebatang pohon berduri yang melekat padanya kain sutera. Apakah boleh mengambil batang pohon berduri itu tanpa mengoyakkan kain sutera tersebut?" [Riwayat al-Bukhari]
c. Athar: "Sakaratulmaut ibarat pohon berduri yang dimasukkan ke dalam perut seseorang. Lalu seorang lelaki menarik pohon berduri dengan sekuat-kuatnya sehingga ranting berduri tersebut membawa kesemua bahagian tubuh yang tersangkut padanya dan meninggalkan apa-apa yang tersisa." [Riwayat Kaab al-Ahbar]
d. Imam al-Ghazali menerusi kitabnya yang masyhur menukilkan: Sakaratulmaut lebih dasyat daripada hirisan pedang, lebih tajam daripada mata gunting dan gergaji. Jika satu urat sahaja ditarik dari tubuh manusia, nescaya dia akan menjerit kesakitan. Lalu, bagaimana pula jika yang ditarik dari tubuh itu ruhnya, tidak ditarik daripada satu urat sahaja, tetapi semua urat.
Kemudian, setiap anggota tubuhnya akan mati secara bertahap. Kakinya terasa dingin, lalu kedua-dua betisnya, kemudian kedua-dua pahanya. Setiap anggota tubuh merasakan sakarat dan kepedihan sehingga ke kerongkongnya.
Saat itu, terputuslah pandangannya dari dunia dan kelurganya, tertutup pintu taubatnya dan penyesalan mula berlegar dalam fikirannya." [Ihya Ulumuddin]
Hanya membaca dan mendengar sahaja mampu membuat kita mengetap bibir dan membayangkan kesakitan sakaratulmaut. Apatah lagi saat kita benar-benar merasainya.
SAMPAI SAAT BERTEMU TUHAN
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: "Sedarlah apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkongan. Dan [orang yang hadir di sisinya heboh] berkata : "Siapakah yang dapat mengubatinya?" Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan. Betis akan bertaut satu sama lain [lantaran kesakitan menghadapi maut]. Kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa [untuk menerima balasan] ." [Surah al-Qiyamah 75: 26-30]
Ketika nyawa mula berada di kerongkong, badan mulai terasa sesak. Kesakitan di bahagian pinggul mula memberat. Saat itu, hadirin yang datang menziarahi pesakit mula berkeluh-kesah.
"Panggilkan doktor, panggilkan dukun, bomoh, pawang."
Masing-masing mula bergegas, gawat dalam keadaan demikian. Tetapi, tidak bagi diri yang sedang dituju oleh malaikat pencabut nyawa.
Perasaan mula mendesah, mengakui bahawa saatnya untuk bertemu Rabbul Jalil telah datang. Gegak-gempita di ruangan matanya, mula dibayangkan dan ditayangkan kembali seluruh kehidupannya. Kesalahan, kepiluan, kesakitan, kegembiraan dalam noda dan dusta. Air jernih meleleh di tepi mata, kepiluan dan kesakitan sedang memberati tubuih yang sudah kaku.
Perasaan takut mula menjelma.
"Bagaimana hal pengakhiranku? Bagaimana kehidupan aku selepas ini? Apa akan jadi pada keluargaku? Apa akan jadi pada isteri dan anak-anakku?
Berkira-kira terhadap penentuan yang akan berlaku selepas ini. Kedahsyatan, kesakitan dan tayangan bersilih berganti. Badan semakin terbujur kaku, warna kulit sudah mulai pucat dan kehitaman, kesakitan berterusan dirasai sehinggalah saat roh keluar menerusi mulutnya.
Dalam keadaan demikian, hanya ada dua keadaan yang akan berlaku. Keadaan apabila Allah memberi rahmat kepada para kekasih-Nya, dan satu keadaan lagi, Allah memperlihatkan keagungan-Nya dan kekuasaan-Nya.
~ Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani