Tuesday, 9 January 2018

TOLONG -MENOLONG MEMBAWA BERKAT...



Manusia sesungguhnya tidak boleh hidup bersendirian di muka bumi ini biarpun Allah memberikan faktor-faktor kesenangan dan kemewahan kepadanya. Ia amat bertentangan dengan sifat, potensi dan kebiasaan seseorang manusia. Seseorang individu memerlukan orang lain dan orang itu juga memerlukan individu lain, sehingga kehidupan berlaku dalam kitaran terbaik. Inilah yang disebut tolong menolong atau kerjasama.

Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar saling tolong menolong dan bekerjasama, dengan syarat mestilah atas dasar kebenaran dan ketakwaan dan melarang mereka tolong menolong dan bekerja sama dalam perkara yang haram dan pencabulan. Firmannya yang bermaksud:
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam [mengerjakan] kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." [Al-Maidah:2]

Oleh itu, tolong-menolong merupakan satu kewajipan setiap manusia. Sifat tolong menolong mampu menyelesaikan masalah orang lain. Jika kita memerlukan bantuan pula, tentu orang lain akan menolong kita. Dengan sifat tolong menolong, kita dapat membina hubungan baik sesama manusia. Tolong-menolong dapat memupuk rasa kasih sayang diantara jiran tetangga, kawan dan masyarakat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Orang-orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti stuktur binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain.: [HR.Muslim]

Melalui pertolongan kita, orang lain akan merasai kepuasan dan kebahagiaannya. Mereka merasakan kita wujud dan diperlukan oleh orang lain. Bantuan yang kita berikan sangat bermakna bagi mereka. Apabila kita memerlukan pertolongan daripada mereka suatu masa kelak, pasti mereka akan menghulurkan bantuan dengan rela hati.

Ungkapannya sangat jelas,bahawa Allah akan menolong selagi kita meringankan tulang untuk menolong orang lain. Mulakan dengan mencari mereka yang memerlukan pertolongan dan lakukan dengan baik. Benarlah firman Allah s.w.t. dalam hal ini yang bermaksud:
"Dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan." [Al-Hajj:77]

Kadang-kala kita merasa jengkel pada mereka yang mampu membantu, tetapi memilih untuk tidak melakukannya. Begitu ramai orang kaya yang tidak mahu membelanjakan sebahagian daripada harta kekayaannya untuk orang miskin, bahkan sebaliknya berlaku di mana orang kaya menggunakan kekayaannya untuk menindas orang miskin seperti memonopoli sesuatu perniagaan dan mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi. Akibatnya, orang miskin menjadi bertambah miskin manakala orang kaya bertambah kaya. Ramai juga orang bijak pandai yang tidak mahu mengajar ilmunya kepada orang yang jahil, sebaliknya mereka yang berilmu tinggi ini membohongi orang kampung demi untuk mencapai keuntungan peribadi.

Sebenarnya, kita menolong diri sendiri melalui pertolongan yang diberikan kepada orang lain. Kita tidak perlu ragu-ragu untuk menolong orang lain. Dengan membantu orang lain, hidup kita akan menjadi lebih jauh lebih bermakna dan jauh daripada rasa kekecewaan. TUHAN akan membalas kebaikan yang kita lakukan. Pertolongan yang diberikan tidak semestinya dengan harta dan wang ringgit, tetapi boleh juga dalam bentuk fikiran dan tenaga. Malah, kita juga boleh membantu dengan cara memohon doa kepada TUHAN.

~sumber.

Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...