Monday, 15 January 2018

KEMATIANNYA DITANGISI RSULULLAH



Nama beliau ialah Mus'ab bin Umair bin Hashim bin Abdul Manaf bin Abdul al-Dar bin Qushay bin Kilab al-Quraisyi. Beliau berketurunan bangsawan Quraisy dan datang daripada keluarga yang kaya. Beliau lahir 14 tahun selepas kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mus'ab bin Umair seorang anak yang sangat disayangi ibunya. Beliau dikenali dengan penampilannya yang kemas, pakaiannya diperbuat daripada kain yang mahal, rambutnya sentiasa bersikat rapi dan memakai wangian yang harum.

Suatu hari, beliau mendengar tentang Rasulullah s.a.w. yang mengajarkan 'agama baharu' di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Beliau menghadiri majlis ilmu tersebut dan mendengar alunan al-Quran yang dibacakan oleh Baginda.

Apabila mendengar alunan al-Quran, jiwanya terasa tenang, lalu beliau mengambil keputusan menerima Islam. Ketika itu dakwah masih berada di peringkat rahsia. Justeru, Mus'ab mencari masa untuk menghadiri majlis Rasulullah s.a.w. secara diam-diam.

Namun, tindakannya menyertai umat Islam disedari oleh seorang Musyrik bernama Uthman bin Thalhah. Berita tentang Mus'ab  memeluk Islam segera dilaporkan kepada ibu beliau.


KEMEWAHAN MUS'AB DITARIK

Ibu Mus'ab seorang wanita yang tegas, penyembah bahala yang tegar. Apabila mengetahui puteranya telah meninggalkan sembahan bahala, dia amat marah dan berusaha mengajaknya kembali menyembah berhala,

Apabila semua pendekatan yang dibuatnya gagal, maka penganiayaan fizikal mula dikenakan kepada Mus'ab. Beliau tidak diberi makan dan minum serta dikurung oleh keluarganya. Namun semua usaha menemui jalan buntu kerana Mus'ab istiqamah dalam Islam. Mus'ab akhirnya dihalau keluar dari rumah sehelai sepinggang.

Para penduduk Mekah melihat Mus'ab seorang yang hebat dan bergaya kini tidak memiliki apa-apa kemewahan lagi. Semuanya demi mempertahankan akidah dan keimanannya.

Ali bin Ali Talib berkata, "Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah s.a.w. di masjid, kemudian muncul Mus'ab bin Umair dengan mengenakan kain burdah yang kasar dan bertampal. Ketika Rasulullah s.a.w. melihatnya, Baginda menangis kerana teringat akan kenikmatan yang Mus'ab dimiliki dahulu berbanding dengan keadaannya sekarang." [Riwayat Tirmizi]

Ketika tekanan kepada umat Islam semakin kuat, Mus'ab antara yang tidak terlepas daripada ujian ini. Rasulullah s.a.w. mengarahkan Mus'ab berhijrah ke Habsyah bersama beberapa orang sahabat lain. Beliau pernah kembali ke Mekah dan mengikuti rombongan kedua yang berhijrah ke Habsyah semula. Ketika itu tubuhnya kurus dan memakai pakaian yang bertampal.

Mus'ab seorang yang cergas dan memiliki ilmu pengetahuan yang mantap tentang Islam. Rasulullah s.a.w. telah memilih beliau untuk dihantar menjadi pendidik ke Madinah. Tugas beliau adalah berdakwah dan mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Tugas yang berat ini berjaya dilaksanakannya sebelum Baginda sampai ke Madinah. Penduduk Madinah menerima dengan senang hati dakwah Mus'ab.


TRAGEDI PERANG UHUD

Semasa perang Uhud, Mus'ab telah dipilih untuk membawa bendera Islam. Mus'ab tetap teguh memegang bendera Islam serta melaungkan kalimah agung untuk menarik perhatian musuh agar Rasulullah s.a.w. tidak menjadi sasaran mereka.

Laugan Mus'ab benar-benar menarik perhatian musuh bernama Ibn Qumaiah yang menyangka Mus'ab ialah Rasulullah s.a.w.. Ibn Qumaiah meluru pantas menunggang kudanya lalu menebas tangan Mus'ab hingga putus. Namun Mus'ab  tetap melaungkan ayat al-Quran yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul." [Surah Ali Imran 3:144]

Ibn Qumaiah menebas tangan Mus'ab yang satu lagi dan menikam dadanya dengan tombak sehingga akhirnya beliau gugur syahid. Rasulullah menyerahkan bendera kepada Ali bin Ali Talib.

Abu Hurairah menceritakan. "Setelah perang Uhud selesai, Rasulullah s.a.w. mencari para sahabatnya yang gugur. Ketika melihat jasad Mus'ab bin Umair yang syahid dengan keadaan yang menyedihkan, Baginda s.a.w. berhenti, lalu mendoakan kebaikan untuknya. Baginda membaca ayat al-Quran, daripada surah al-Ahzab ayat ke 23, maksudnya: "Antara orang mukmin ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah [janjinya]."


KAIN KAFANNYA SINGKAT

Kain kafan untuk menutup jasad Mus'ab tidak cukup panjang, apabila ditarik ke atas untuk menutupi kepalanya, maka terbukalah kedua-dua kakinya. Apabila ditutupkan  ke kakinya, terbukalah kepalanya. Rasulullah bersabda , "Tutupkanlah bahagian kepalanya dengan kain dan bahagian kakinya dengan rumput izkhir."

Rasulullah bersabda di hadapan para sahabat apabila melihat jasad Mus'ab, "Ketika di Makkah dahulu, tidak ada seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripada Mus'ab. Tetapi sekarang ini, rambutmu kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah."

Mus'ab wafat setelah 32 bulan Nabi berhijrah ke Madinah pada usia 40 tahun. Moga Allah s.w.t. meredai dan memuliakan Mus'ab.



TIDAK ADA YANG SAMA DENGAN MUS'AB

Al-Zubair bin al- Awwam mengatakan, "Suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk dengan para sahabat di masjid Quba, lalu muncul Mus'ab bin Umair dengan kain burdah yang tidak menutupi tubuhnya dengan sempurna.

Orang yang berada disekelilingnya menundukkan kepala. Kemudian dia mengucapkan salam. Mereka menjawab salamnya. Nabi s.a.w. memuji dan mengatakan perkara yang baik-baik tentangnya.

Lalu Baginda bersabda, "Sungguh aku melihat Mus'ab semasa bersama kedua-dua orang tuanya di Makkah, mereka memuliakannya dan memberinya pelbagai kemudahan dan kenikmatan. Tidak ada pemuda-pemuda Quraisy yang sama dengan dirinya. Kemudian, dia tinggalkan semuanya itu demi mencari reda Allah dan meolong Rasulnya..." [Riwayat al-Hakim]


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...