Firman Allah s.w.t., "Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta." [Al-Baqarah:10] Daripada ayat ini dan ayat-ayat lain, kita tahu bahawa:
~ Seperti juga penyakit yang menyerang tubuh, hati manusia juga boleh berpenyakit. Berbeza dengan penyakit fizikal tubuh yang kesakitannya dirasai di dunia, penyakit spiritual di hati dirasai peritnya apabila mendapat seksaan di neraka.
~ Orang yang beriman hendaklah mengawasi tanda-tanda penyakit spiritual hati seperti cemburu, dendam, kebencian, cinta dunia dan sebagainya kerana ia boleh membawa kerosakan.
~ Mengekalkan dosa, termasuk dosa-dosa kecil dan kelalaian melakukan ibadah dan zikir boleh menyebabkan penyakit hati.
~ Berhati-hatilah agar hati yang berpenyakit akan lebih berpenyakit dengan izin Allah, jika seseorang itu tidak berusaha menyucikannya.
~ Orang yang mempunyai hati bersih tanpa penyakit akan diberi sesuatu yang lebih baik oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Anfaal:70: "Hai Nabi, katakanlah kepada tawanan-tawanan yang ada di tanganmu: 'Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu,nescaya Dia akan memberikan kepadamu yang lebih baik daripada apa yang telah diambil darimu dan Dia akan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'"
~ Penawar penyakit hati adalah al-Quran. Firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus: 57, "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit [yang berada] dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman."
Sama-samalah kita menjaga hati agar bersih serta sihat, dan tidak membiarkan dihinggapi penyakit yang menyebabkan kita lupa dan jauh daripada-Nya....Aamiin.
* PENYAKIT HATI mempunyai dua kategori utama menurut Ibnu Qayyim: PENYAKIT WAHAM [syak wasangka atau keraguan] dan PENYAKIT NAFSU.