Monday, 8 January 2018

TANYA SAMA HATI



BERDEPAN BAHANA PERPISAHAN

Tentu saja kita masih ingat bagaimana sirah merakamkan kesedihan Rasulullah sewaktu "Am al-Huzn atau tahun dukacita. Dua individu kesayangan Baginda diambil Allah pada tahun yang sama.
Sungguh, Rasulullah sangat terkesan dengan pemergian bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri kesayangan Baginda, Sayidatina Khadijah. Baginda menangis. Baginda benar-benar berdukacita.

Nah, mari kita perhatikan indahnya cara Allah memujuk Baginda.

Allah tidak menurunkan wahyu memaksa Baginda melupakan kedua-dua kesayangan tersebut. Allah juga tidak menempelak kesedihan Baginda kerana Allah yang mencipta manusia dan tahu setiap inci belok hatinya. Tiada paksaan dalam mengendalikan perasaan. Sebaliknya Allah mengajar Rasulullah move on dengan cara mengalih perhatian.

Maka, berlakulah peristiwa terulung dalam sirah iaitu Israk Mikraj. Masya Allah. Sungguh ia suatu perjalanan terindah dari Masjidilaqsa seterusnya naik ke langit bertemu Allah. Semuanya berlaku dalam tempuh satu malam sahaja. Sangat menakjubkan!. Sangat banyak ibarah yang boleh kita keluarkan!. 

Salah satunya ialah tentang cara Allah memujuk Rasulullah. Menerusi peristiwa inilah  Allah membantu Rasulullah agar tidak terus melayan kesedihan dengan mengembalikan fokus kepada tujuan penciptaan.

Untuk apa manusia dicipta?  Untuk menjadi khalifah, menyembah Allah dan memakmurkan bumi-Nya dengan jiwa hamba. Untuk berbakti. Bukan untuk menjadi hamba kepada emosi.

Menerusi Israk Mikraj juga turunnya satu tuntutan dalam pensyariatan. Allah mengajar Rasulullah satu ibadah yang pastinya berjaya mententeramkan jiwa. Solat. Ya, Rasulullah diangkat ke langit untuk menerima satu perintah penting untuk memupuk hati berjiwa hamba. Ia juga satu kaedah penting dalam memujuk duka lara. Inilah yang dinyatakan menerusi surah al-Baqarah ayat 153, maksudnya:
"Wahai orang yang beriman! Mohonlah pertolongan [kepada Allah] dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang yang sabar."


IBRAH DARIPADA SIRAH

Sekarang mari tanya pada hati. Apa yang mampu kita belajar menerusi sirah tahun dukacita dan Israk Mikraj ini?

Pertama, perpisahan dengan orang yang dikasihi ialah perkara biasa. Semua orang akan melaluinya. Persiapkan mental dan jiwa kita. Bersedia!

Kedua, kesedihan yang melanda disebabkan perpisahan, juga ialah perkara biasa. Jangan kata orang kuat agama saja, bahkan Rasulullah turut berdukacita dan menitiskan air mata setiap kali berdepan kehilangan orang penting dalam hidup Baginda.


Namun apa yang perlu kita fahami ialah, kesedihan tidak boleh terlalu dilayan. Perlu bijak mengalih perhatian. Jika kita melihat seseorang bersedih kerana kehilangan. jangan dibiarkan. Alih perhatiannya seperti Allah mengalihkan perhatian Rasulullah. Ingatkannya kembali kepada tanggungjawab sebagai seorang khalifah. Hidup mesti diteruskan. Nyawa ialah amanah!

Ketiga, perlu ingatkan diri kita Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya. Dia menghantar ujian sebagai luka, namun Dia jugalah yang menyembuhkannya. Bagaimana? Apa yang perlu dilakukan pada saat kesedihan menghentak perasaan? Allahuakbar. Allah telah pun mengajar kita agar mencari kekuatan dengan solat. Maka, solat!


JANGAN IKAT SIMPUL MATI

Cinta, Kasih, Sayang. Ia jalinan perasaan yang cukup indah. Namun awas! Ia juga merupakan sejenis perasaan yang boleh membunuh kewarasan. Ibarat gula. Manisnya berguna jika diambil dalam kuantiti yang sedikit. Namun jika banyak, hanya menghimpun penyakit!

Rasa sayang kepada sesama makhluk, itu biasa. Cinta juga memang sewajarnya ada. Namun kita harus faham, persoalan hati dan kasih sayang kita kepada makhluk tidak boleh sama sekali diikat simpul mati. Bersedialah untuk meleraikannya apabila masa itu tiba.

Hakikatnya untuk ke syurga, kita perlu kembalikan semula fokus kita kepada pemilik ikatan kasih dan cinta kita-Allah. Kita milik Allah. Hati kita seharusnya telah benar-benar memahami hakikat itu. Justeru fokuslah kepada apa mahu-Nya. Fokus kepada sesuatu yang lebih utama- tugas kita sebagai seorang hamba.


Fokus syurga! Kita mahu bertemu dengan Allah di situ. Kita mahu berkampung semula dengan orang yang kita sayang di situ. Justeru, dalam meneruskan kehidupan, ikat simpul mati segala hajat itu!

"Sekuat mana pun iman dan pengetahuan agama seseorang, kehilangan orang tersayang pasti akan meninggalkan kesan!"

~Bonda Nor.

Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...