Tuesday, 9 January 2018

RASA ITU KURNIAAN-NYA



Ada ketikanya orang yang memberi tidak menghulur cintanya sepenuh hati, kurang ikhlas dan mengharapkan imbal balik, lalu orang yang menerima turut merasai tempias yang sama. Kasih yang diterima dirasakan tidak murni...


SOAL RASA

Saya memahami, rasa tidak dicintai, dikasihi dan disayangi adalah satu bentuk kesakitan bagi hati, lebih-lebih lagi apabila ia wujud pada diri seseorang bergelar suami atau isteri.

Walau hakikatnya cinta telah diberi, kasih banyak dipamer dan ucapan sayang tidak pernah lekang dari bibir pasangan, namun yang menerima cinta, yang melihat kasih, dan yang mendengar lafaz ucapan tidak menikmati semua itu, lalu berterusan dalam kepedihan serta kekecewaan.

Lantaran itu, tiada yang lebih utama selain melihat refleksi rohani, yang padanya akan terungkai segala teka-teki diri. Saya menyakini, soal rasa,  iaitu kemampuan merasai apa yang diberi dan ditunjukkan oleh insan lain dari aspek kasih sayang, kemesraan, dan cinta merupakan satu bentuk rezeki dari Ilahi. Maka tidak boleh tidak, cara ia diperoleh dan diterima, banyak mencorak rasa yang terbit asbab daripada semua itu.

Mungkin benar, ada ketikanya orang yang memberi tidak menghulur cintanya sepenuh hati, kurang ikhlas dan mengharapkan imbal balik, lalu orang yang menerima turut merasai tempias yang sama. Kasih yang diterima dirasakan tidak murni.

Namun banyak masanya, orang yang menerima lebih perlu bermuhasabah diri jika kasih sayang dan cinta yang diberi, tidak dapat dinikmati. Barangkali, jiwanya sendiri telah dijangkiti penyakit hati kesan daripada maksiat yang dilakukannya.

Lalu, apa yang diberi dari hati yang tulus, tidak dapat ditadah oleh hati yang tidak mulus, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada peringatan dan pertunjuk-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." [Surah Taha 20:124]

Membaca ayat ini, kita dapat memahami bahawa maksiat serta keingkaran boleh menafikan rasa dikasihi, dicintai, dan disayangi dalam rumah tangga, antaranya meremehkan kebaikan pasangan, kagum  dengan kebaikan diri sendiri, termasuk juga merasa diri lebih baik daripada pasangan.
Jika ini berlaku, bagaimana cinta  yang ikhlas dapat membekas?


Kurniaan-Nya

Menyelamatkan sebuah hubungan lebih wajar diutamakan daripada mempertahankan sebuah keadaan lebih-lebih lagi jika melibatkan ikatan yang termateri atas nama Tuhan.

Ramai orang bimbang andai pasangan lebih dahulu bertemu Tuhan setelah sekian lama bersama melalui kehidupan. Tetapi ramai yang alpa bahawa kehilangan sebenar ialah tiada lagi tarikan kepada pasangan semasa hidup masih lagi berjalan. Itulah "kehilangan" sebelum kematian.

Cinta amat ajaib.
Dek kerana cinta, insan rela berkorban apa sahaja.
Cinta mengasyikkan jiwa. Jika tidak, masakan wujud kisah cinta Qais dan Laila.

Namun, sekian lama manusia mengejar cinta, ramai kecewa, duka dan hiba. Kerana mereka lupa bahawa semakin akrab dengan makhluk yang dicintainya, kian terserlah ketidaksempurnaannya. Melainkan yang bercinta dan mencintai kerana-Nya, maka kelebihan dan kekurangan menjadi wadah untuk bersinergi. Saling lengkap-melengkapi.

Menyayangi dan disayangi....
Sesungguhnya....rasa itu kurniaan-Nya.

~sumber dari majalah solusi.


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...