Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Tuesday, 9 January 2018

TOLONG -MENOLONG MEMBAWA BERKAT...



Manusia sesungguhnya tidak boleh hidup bersendirian di muka bumi ini biarpun Allah memberikan faktor-faktor kesenangan dan kemewahan kepadanya. Ia amat bertentangan dengan sifat, potensi dan kebiasaan seseorang manusia. Seseorang individu memerlukan orang lain dan orang itu juga memerlukan individu lain, sehingga kehidupan berlaku dalam kitaran terbaik. Inilah yang disebut tolong menolong atau kerjasama.

Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar saling tolong menolong dan bekerjasama, dengan syarat mestilah atas dasar kebenaran dan ketakwaan dan melarang mereka tolong menolong dan bekerja sama dalam perkara yang haram dan pencabulan. Firmannya yang bermaksud:
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam [mengerjakan] kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." [Al-Maidah:2]

Oleh itu, tolong-menolong merupakan satu kewajipan setiap manusia. Sifat tolong menolong mampu menyelesaikan masalah orang lain. Jika kita memerlukan bantuan pula, tentu orang lain akan menolong kita. Dengan sifat tolong menolong, kita dapat membina hubungan baik sesama manusia. Tolong-menolong dapat memupuk rasa kasih sayang diantara jiran tetangga, kawan dan masyarakat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Orang-orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti stuktur binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain.: [HR.Muslim]

Melalui pertolongan kita, orang lain akan merasai kepuasan dan kebahagiaannya. Mereka merasakan kita wujud dan diperlukan oleh orang lain. Bantuan yang kita berikan sangat bermakna bagi mereka. Apabila kita memerlukan pertolongan daripada mereka suatu masa kelak, pasti mereka akan menghulurkan bantuan dengan rela hati.

Ungkapannya sangat jelas,bahawa Allah akan menolong selagi kita meringankan tulang untuk menolong orang lain. Mulakan dengan mencari mereka yang memerlukan pertolongan dan lakukan dengan baik. Benarlah firman Allah s.w.t. dalam hal ini yang bermaksud:
"Dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan." [Al-Hajj:77]

Kadang-kala kita merasa jengkel pada mereka yang mampu membantu, tetapi memilih untuk tidak melakukannya. Begitu ramai orang kaya yang tidak mahu membelanjakan sebahagian daripada harta kekayaannya untuk orang miskin, bahkan sebaliknya berlaku di mana orang kaya menggunakan kekayaannya untuk menindas orang miskin seperti memonopoli sesuatu perniagaan dan mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi. Akibatnya, orang miskin menjadi bertambah miskin manakala orang kaya bertambah kaya. Ramai juga orang bijak pandai yang tidak mahu mengajar ilmunya kepada orang yang jahil, sebaliknya mereka yang berilmu tinggi ini membohongi orang kampung demi untuk mencapai keuntungan peribadi.

Sebenarnya, kita menolong diri sendiri melalui pertolongan yang diberikan kepada orang lain. Kita tidak perlu ragu-ragu untuk menolong orang lain. Dengan membantu orang lain, hidup kita akan menjadi lebih jauh lebih bermakna dan jauh daripada rasa kekecewaan. TUHAN akan membalas kebaikan yang kita lakukan. Pertolongan yang diberikan tidak semestinya dengan harta dan wang ringgit, tetapi boleh juga dalam bentuk fikiran dan tenaga. Malah, kita juga boleh membantu dengan cara memohon doa kepada TUHAN.

~sumber.

Thursday, 16 November 2017

BICARA SAHABAT




LATIH MINDA MELUPAKAN KENANGAN PAHIT


Mengaku saja jika sering merasa sedih sebab banyak kali mengingati kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu. Mulai hari ini tekad untuk melupakan semua itu, selupa yang mungkin.

Bulatkan azam untuk memfokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, ilmu dan rakan-rakan.

Mungkin tidak dapat melupakan kesemua memori pahit sekali gus, tetapi lakukan sedikit demi sedikit dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tetapi ia boleh dipercepatkan dengan displin diri.



BUANG SIKAP RISAU


Ada dua kesan dari sikap risau. Pertama ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa dipinta. Kedua memberi kesan buruk pada kesihatan dari segi fizikal dan mental. Risau membuat selalu menjadi sedih dan kecewa, kekadang takut. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri dengan mengawali emosi.


 BELAJAR RAJIN BERSYUKUR


Ucap syukur pada semua yang kita ada. Misalnya ucap syukur kerana masih ada lima deria yang lengkap. Masih boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur. Dan ada kawan rapat yang memahami....

Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur itu meresap jauh  ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.



BELAJAR MENJADI PEMAAF

Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif ( takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tak puas hati, dendam, busuk hati)

Seterusnya meneutralkan gekombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda. Selalu rasa sedih dan kecewa kerana tidak memaafkan kesalahan diri sendiri di masa lalu ataupun tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

Mungkin juga sukar menerima hakikat perbuatan salah orang lain  terhadap diri kita yang membuat rasa sedih, kecewa dan geram. Belajarlah menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang dalam diri...

~ sumber


Friday, 10 November 2017

BERFIKIRAN POSITIF


Dapatkah kita berfikiran positif pada setiap masa dalam semua keadaan?
Jawapannya, tidak!


Saya memiliki sahabat yang sering berfikiran positif, sehingga adakalanya ia membuatkan saya tertanya-tanya. Adakah dia memang begitu? Maksud saya positif dalam semua perkara ? Atau dia sedang berdrama?

Dan saya juga memiliki kawan yang sering berfikiran negatif sehingga lihat tiada kesoronokan dalam kehidupannya. Mengapakah terjadi sebegitu?

Mungkin pada setiap manusia, ianya berbeza. Contohnya, dalam beberapa perkara kita boleh positif dan dalam beberapa perkara kita tidak boleh bersikap positif. Contohnya kita lebih berfikiran positif tentang anak-anak kita tapi tidak pada pasangan kita...

Mengapa kebanyakan pakar motivasi mahu kita berfikiran positif. Pada pendapat saya, sebab utama kerana ianya penting untuk kita menjadi tenang dan tidak stress dalam hidup. Orang yang berfikiran negatif akan rasa gelisah, takut dan selalu merungut. Perkara ini membawa kepada stress...

Saya menulisnya dengan senang tapi saya sendiri dalam beberapa keadaan berperang diri untuk memiliki pemikiran positif....

Seorang manusia yang melalui pelbagai cabaran hidup mungkin akan selalu berfikiran negatif. Memang betul cabaran akan menjadikan kita kebal dan matang, tetapi cabaran juga menjadikan seseorang itu pengalah dalam hidup.

Namun saya pasti dalam beberapa keadaan kira wajib berfikiran positif kerana kita sudah tiada pilihan.
Apakah keadaan itu?....Haaa.....

~  sumber jangkaulu.

Friday, 13 October 2017

PERANCANGAN ALLAH LEBIH BAIK...



Perjalanan hidup kita tidak seharusnya berpandukan apa yang terbentang di mata sahaja. Ia memerlukan perancangan agar kita dapat menempuh kehidupan ini dengan lebih tenang dan teratur. Biarkan apa yang dirancang itu mengikut kemampuan diri supaya lebih mudah dilaksanakan.

Perancangan amat penting sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan kesukaran atau kesenangan yang bakal ditempuh. Hidup tanpa perancangan, ibarat kapal layar yang sedang belayar di lautan tenang, kadang kala tetap juga boleh tersesat tanpa haluan. Apatah lagi jika laut bergelora, pastinya akan terumbang-ambing dipukul ombak.

Tanpa perancangan, hidup kita pasti penuh dengan ketidakpastian. Oleh itu, sebagai individu atau ketua keluarga, mahu tidak mahu, anda harus ada perancangan dan matlamat hidup. Meskipun sudah merancang hidup, jika bertembung dengan perancangan Allah, amggaplah itu kudrat lemah kita sebagai hamba-Nya. Ketentuan Allah lebih berkuasa. Maka, percayalah bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, Dia yang menentukan hala tuju hidup hamba-Nya, sungguhpun kita berusaha menggapai segala impian mengikut perancangan, tetapi Dia tetap penentu segala-galanya.

Yang pasti, janganlah bersedih bila apa yang kita rancang itu tidak menjadi kenyataan. Aturan Allah itu jauh lebih baik daripada apa yang kita rancang. Teruslah teguh berdiri mengharapkan rahmat-Nya. Redha dan terimalah setiap ketentuan Ilahi itu dengan hati yang terbuka dan yakinlah susunan Allah sentiasa yang terbaik untuk kita. Allah tidak akan mengatur sesuatu yang sia-sia, semuanya bersulam hikmah yang sangat halus dan hebat.

Benarlah sebagaimana firman Allah;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." [Al-Baqarah: 216]


Setiap manusia bercita-cita untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Dalam kita membuat perancangan, tanpa kita sedar, Allah juga merancang seluruh kehidupan kita. Perancangan Allah itu terlalu hebat. Kadangkala hikmah disebaliknya tidak kita nampak. Ketika kita menyalahkan takdir di atas sesuatu perkara, Allah berikan kita sinar baru yang tidak pernah kita terfikir pun sepanjang hidup. Saat itu barulah kita sedar betapa indahnya perancangan Allah.

Percayalah, Allah tidak pernah terlepas pandang setiap hamba-Nya. Walaupun kita sering lalai dan ingkar dengan setiap suruhan-Nya, namun Allah tetap limpahkan kita dengan rezeki yang baik. Janganlah bersangka buruk terhadap Allah. Sentiasalah berdoa dan berusaha untuk mendapat yang terbaik dalam hidup kita. Adakalanya apa yang kita hajati itu lambat dimakbulkan oleh Allah. Mungkin Allah mahu gantikan dengan perkara yang lebih baik melalui jalan yang berbeza. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.




Monday, 28 August 2017

UNTUNGNYA HIDUP KAYA DAN BAHAGIA


Wang bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang. Hampir semua dalam hidup ini memerlukan wang, cuma satu perkara yang perlu diingat bahawa tidak semua yang diperlukan boleh didapati dengan wang, antaranya ialah kebahagiaan.



Bahagia tidak mudah diperolehi dan belum tentu akan tercapai melalui wang yang bertimbun-timbun. Berapa ramai para hartawan dan jutawan yang hidup menderita dan terseksa lantaran mencari bahagia yang tidak kunjung tiba. Dalam pada itu, masih ramai yang beranggapan, wang boleh menjadikan seseorang itu hidup bahagia. Dengan wang kita boleh mendapatkan apa saja yang kita impikan. Apabila semua yang dihajati telah diperolehi, maka tercapailah apa yang dinamakan bahagia.

Tetapi hakikat sebenarnya, harta dan kekayaan tidak menjamin kebahagiaan seseorang kerana kebahagiaan yang hakiki bukanlah terletak pada harta yang melimpah ruah, tetapi ia hanya akan dirasai oleh hati dan perasaan seseorang.





Miskin atau Kaya.

Kekayaan tidak menjamin seseorang untuk hidup bahagia, sepertimana kemiskinan juga tidak semestinya membawa seseorang itu hidup menderita dan sengsara. Ada orang yang kaya raya dan banyak harta, tetapi hidupnya dihimpit derita, resah dan gelisah sepanjang masa sedangkan keperluan hidupnya cukup untuk segala-galanya; kereta besar, rumah besar, isteri cantik dan lawa tapi hati tetap tidak merasa bahagia.


Untuk menjadi kaya, manusia sanggup melakukan apa saja. Mungkin disebabkan itulah ada yang sanggup melakukan apa saja demi wang. Tetapi bahagiakah nanti jika wang yang diperolehi itu adalah dari sumber yang tidak halal dan tidak berkat, akan bahagiakah hidup kita?

Kita tidak mahu menjadi seperti Abu Lahab yang dimurkai Tuhan,

Firman Allah dalam surah al-Masad yang bermaksud: "Binasalah kedua- dua belah tangan Abu Lahab dan sesesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat meolongnya. Dia akan menderita dalam bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api. Dilehernya ada sejenis tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut."








Kekayaan dan kebahagiaan kedua-duanya adalah penting dalam hidup. Ada orang yang hidup dalam serba kekurangan, miskin harta benda dan tidak punya banyak wang tetapi hidupnya bahagia, nyenyak tidurnya, sedap apa saja yang dimakannya, ini kerana dia redha dengan apa yang ada, sentiasa bersyukur di atas setiap apa yang diberi dan tidak pernah merungut dan menyalahkan takdir ilahi.




Walaupun miskin, dia tetap berusaha untuk meneruskan kehidupan dengan mencari rezeki yang halal dan berkat. Walaupun tidak pernah memiliki wang yang banyak dengan hasil kerja yang dilakukan, tetapi dia tetap berasa puas dengan hasil  yang diperolehi daripada kudrat dan tenaga sendiri dengan melakukan kerja yang halal.

Walaupun menempuh banyak dugaan dan cubaan, tetapi kesabaran dan ketabahan tetap tersemat di hatinya. Maka disebab itulah hidupnya bahagia walau tidak punya harta berjuta.

Orang yang banyak harta pula belum tentu hidupnya bahagia. Dia sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang dimilikinya. Ada saja yang kurang di matanya dan ada saja rungutannya. Orang yang sebegini langsung tidak bersyukur dengan apa yang telah menjadi miliknya. 




Tidak kira miskin atau kaya, mewah atau tidak punya harta, yang penting kita semua berhak untuk mengecap nikmat bahagia. Alangkah indahnya jika kita menjadi hartawan yang dermawan. Kekayaan yang diperolehi secara sah dan diberkati Tuhan akan membawa keberkatan, menghadirkan segala kebaikan, menghapuskan segala keraguan, menghilangkan segala kerisauan, menambah peluang dan mengukuhkan iman dan taqwa kepada Tuahn Pencipta sekalian alam.




Berdoalah kepada Allah memohon agar berkenan melimpahkan  rezeki yang halal dan membawa keberkatan dalam hidup kita, keluarga kita dan dijauhkan daripada perkara-perkara yang subahat mahupun yang haram.....



Wednesday, 7 June 2017

PERSONALITI SUPER





SENYUM

Senyum itu sedekah. Senyum akan memberi gambaran pertama siapa kita sebenarnya. Senyumlah dengan orang yang kita temui di jalanan dan orang bawahan. Ikuti senyum yang manis dengan salam atau pertanyaan khabar. Jika ada masa dan sesuai, mulai beberapa pertanyaan mudah dengan cara yang mesra dan santai.




BERSIKAP PERAMAH

Semua orang akan berasa senang hati apabila diperlakukan dengan ramah. Keramahan membuat orang lain meresa diterima dan dihargai. Keramahan membuat orang merasa betah berada dekat anda. Mulailah berkomunikasi. Jangan tunggu orang lain memulai.





BUAT YANG ANDA SUKA JIKA ORANG BERBUAT KEPADA ANDA.

Perlakuan apa pun yang anda inginkan daripada orang lain yang dapat menyukakan hati, itulah yang harus anda lakukan terlebih dahulu. Anda harus kuat semangat untuk mengambil inisiatif memulainya. Misalnya bila ingin diperhatikan, mulailah memberi perhatian kepada orang lain. Bila ingin dihargai, mulailah dengan menghargai orang lain.





INGAT DAN PANGGIL NAMA DENGAN BETUL

Nama adalah milik berharga yang bersifat sangat peribadi. Umumnya orang tidak suka bila namanya disebut secara salah atau sebarangan. Kalau ragu, tanyalah bagaimana menulis dan melafazkan namanya dengan betul.





BANTU ORANG BERMASALAH

Bantulah, walaupun masalahnya kecil seumpama mengangkat barang atau mencari barang yang hilang Tawarkan perkhidmatan anda.





IKHLAS MEMBERI PUJIAN

Pujian itu seperti air segar yang mampu menghilangkan rasa haus. Kalau anda menghulurkan air segar kepada orang lain, anda berada  pada posisi yang strategik untuk disukai orang.
Bagaimana? Tajamkan pemerhatian untuk selalu melihat aspek baik orang lain. Lalu pujilah dengan tulus.







RASAKAN DIRINYA PENTING

Tunjukkan dengan sikap dan kata-kata bahawa anda menganggap orang lain itu sama penting. Misalnya jangan biarkan tetamu  menunggu lama, minta maaf bila bersalah dan tepati janji.





JADI PENDENGAR YANG BAIK

Bidalan melayu mengatakan, " Jika bercakap itu perak, maka berdiam itu emas." Maka pendengar yang baik lebih mulia daripada keduanya. Pendengar yang baik adalah peribadi yang disukai oleh semua orang. Berilah kesempatan kepada orang lain untuk berbicara. Dengar bersungguh-sungguh dan jangan menilai atau menasihatinya jika tidak diminta.





BERMURAH HATI

Anda tidak akan menjadi miskin kerana memberi dan tidak akan berkurangan kerana berbahagi. Pujangga mengatakan, "Orang yang murah hati berbuat baik pada dirinya sendiri." Dengan demikian kemurahan hati di satu sudut itu baik buat anda, dan di sudut lain berguna untuk orang lain. Lazimnya bersedekahlah walau hanya RM 1. Jangan memikirkan apa yang penerima akan buat dengan pemberian itu.






ELAKKAN MENGKRITIK DAN MENCELA

Lazimnya orang tidak suka bila kelemahannya diketahui oleh orang lain. Apalagi jika dimalukan. Jika berlaku, seolah-olah menyerang harga dirinya. Sudah tentu dia akan mempertahankan dirinya dengan tindakan defensif, malah akan menyerang balas dengan sikap kasar dan hilang rasa persahabatan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Cukuplah seseorang dikira berbuat keburukan jika dia merendahkan saudaranya sesama Muslim." [Riwayat Muslim]






SAYANGI DIRI SENDIRI

Menyayangi diri sendir bermakna menerima diri seadanya dan menyukai serta melakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Lawannya egois iaitu mementingkan diri sendiri. Semakin menyukai diri sendiri, semakin mudah menyukai orang lain dan semakin besar peluang untuk disukai orang. 

Dengan menerima dan menyukai, anda mudah menyesuaikan diri dengan orang lain, menerima mereka dengan segala kekurangan, bekerjasama dengan mereka dan menyukai mereka. Tanpa disedari anda memancarkan aura peribadi yang boleh membuatkan orang lain menyukai anda. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Tidak beriman salah seorang antara kamu hingga dia mencintai dirinya sendiri." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]


~sumber majalah solusi~





Friday, 2 June 2017

BE YOURSELF!....



Pernah tak mengalami satu perasaan RENDAH DIRI?
Memandang kehebatan dan kelebihan seseorang individu
yang menonjol serta berkeyakinan sekali....
Berbanding pada diri yang terasa
banyak kelemahannya...??

Bagi yang merasai perasaan sebegini
Mungkin petikan sedikit dari artikel ni dapat meredakan apa yang dirasa....



Kadang-kadang kita tidak perlu jadi yang terbaik.
Terbaik itu biasanya hanya dimiliki oleh seorang dua sahaja.
Jadi siapa pula nak jadi nombor tiga, empat dan seterusnya?
Maka dengan itu
Tidak perlu memaksa diri terlalu sangat untuk menjadi orang lain.
Terima sahaja keadaan kita seadanya.
Kita sebenarnya dicipta dengan banyak kelebihan. Orang lain boleh nampak pelbagai kelebihan
dan kehebatan kita. Kita sahaja yang terkadang selalu terlepas pandang.

Jadi, cuba untuk belajar terima keadaan kita seadanya.
Bangun pagi-pagi, cuba anda pandang ke cermin.
Jangan pandang pada luaran mata anda.
Tapi, cuba untuk pandang jauh ke dalam mata itu.
Pandanglah ke mata hati anda.



Cuba tengok segala kelebihan yang ada pada diri anda.
Kita hebat, kita ada macam-macam keistimewaan.
Mungkin tanpa kita sedari sebenarnya ramai orang yang amat mencemburui
kelebihan yang kita ada!
Dan mungkin kelebihan yang kita ada tu tidak semestinya dimiliki oleh semua orang.
Allah bagi setiap hambanya itu dengan kelebihan-kelebihan yang memang khusus untuk mereka.
Setiap orang ada keistimewaannya...!!
Jadi, mulai sekarang,
belajarlah untuk terima anda seadanya.

ASAL KITA IKHLAS, ASAL KITA JUJUR,
IN SHAA ALLAH.....ALLAH AKAN PASTI BUKAKAN JALAN BUAT KITA.

Buang sifat rendah diri,
jadilah kita manusia terbilang.




~Artikel dari: Dr Ezairy M. Salih~


.....pstt..!!!
....motivasikan diri.......




Friday, 5 May 2017

TERIMA KETENTUAN ILAHI..



Setiap manusia bercita-cita untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Dalam kita membuat perancangan tanpa kita sedar, Allah juga merancang seluruh kehidupan kita. Perancangan Allah itu terlalu hebat. Kadang kala hikmah disebaliknya tidak kita nampak.

Ketika kita menyalahkan takdir diatas sesuatu perkara, Allah berikan kita sinar baru yang tidak pernah kita terfikir pun sepanjang hidup. Saat itu barulah kita sedar betapa indahnya perancangan Allah.

Tanpa perancangan hidup kita pasti penuh dengan ketidakpastian. Oleh itu, sebagai individu atau ketua keluarga, mahu tidak mahu, harus ada perancangan dan matlamat hidup. Meskipun sudah merancang hidup, jika bertembung dengan perancangan Allah, anggaplah itu kudrat lemah kita sebagai hambaNya. Ketentuan Allah lebih berkuasa. 

Maka percayalah bahawa Allah adalah sebai-baik perancang, Dia yang menentukan hala tuju hidup hambaNya, sungguh pun kita berusaha menggapai segala impian mengikut perancangan, tetapi Dia tetap penentu segala-galanya.

Yang pasti janganlah bersedih bila apa yang kita rancang itu tidak menjadi kenyataan. Aturan Allah itu jauh lebih baik daripada apa yang kita rancang. Teruslah teguh berdiri mengharapkan rahmatNya. Redha dan terimalah setiap ketentuan Ilahi itu dengan hati yang terbuka dan yakinlah susunan Allah sentiasa yang terbaik untuk kita.

Allah tidak akan mengatur sesuatu yang sia-sia, semuanya bersulam hikmah yang sangat halus dan hebat.
Benarlah sebagaimana firman Allah;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah:216 )




Tuesday, 2 May 2017

KU MOHON




Lagu...Shiela Majid




...BERARAK MENDUNG KELABU....

















Takdir berkehendak sesukanya. Mau baik atau tidak yang penting bagaimana penerimaan kita.....

Apa pun yang terjadi, berikut hadir alasan yang sebenarnya sama sekali bukan misteri. Jangan banyak tanya kenapa, Allah lebih tahu segalanya. Jangan mengeluh terlalu banyak...kamu boleh muak, orang lain  apa lagi.....



Tuesday, 28 March 2017

BUKAN MUDAH CAPAI KEJAYAAN...


Hidup ini memang penuh dengan perjuangan. Jika kita ingin berjaya dan menjadi manusia yang sukses maka kita perlu melalui proses-proses yang menyakitkan agar kejayaan dapat diperoleh daripada hasil usaha sendiri.

Dari kecil kita jatuh bangun penuh kepayahan. Sejak kecil kita sering sakit terhantuk dan tersadung kerana kaki kita yang masih lembik. Namun tanpa kita sedari dengan kesusahan dan kepayahan itulah akhirnya kita berjaya berdiri tegak dan berjalan sendiri.





Bukan senang untuk berjaya, tetapi itu tidak mustahil. Itu fitrah alam yang saling berkait rapat. Sebab itu kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan.
Dan untuk mendapatkan sesuatu memerlukan banyak pengorbanan dan sudah tentu pengorbanan itu memeritkan...akar bagi sesuatu pembelajaran amat pahit rasanya tetapi buah yang diperolehi amat manis.





Bak kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi dengan tangisan dan diakhiri dengan tangisan. Begitu jugalah dengan kehidupan kita yang penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Seorang bayi dilhirkan ke dunia bersama tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi tangisan dan akhirnya , dia akan mati dan dihantar ke kubur dengantangisan juga.





Ada juga yang berpendapat bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah. Tetapi sebagai seorang Islam, kita tidak boleh mempunyai pendirian seperti itu. Jika kita mengutuk hidup, bererti kita mengutuk Penciptanya. Sedangkan Allah tidak mencipta kehidupan untuk menderita.

Hakikatnya kita diciptakan untuk menikmati hidup dan pulang ke akhirat untuk merasa kenikmatan yang abadi. Tetapi kita perlu berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita.




Sikap diri merupakan tunjang kepada kejayaan sendiri. Sikap yang baik mengelakkan diri kita daripada terus berserah dan bertawakal semata-mata. Rasa bertanggung jawab terhadap tugas membuatkan seseorang itu berusaha sendiri dengan kebolehan yang dimiliki dan akhirnya memohon pertolongan daripada Allah.

Sifat  kebergantungan pada diri sendiri perlu ada dalam diri dan masyarakat kerana sikap seperti itu membawa kepada kemajuan sesuatu bangsa.




~ sumber motivasi kehidupan.


Tuesday, 21 March 2017

JANGAN MUDAH KECEWA



Janganlah terlalu kecewa apabila dirundung malang. Memang sakit menerima sesuatu kegagalan, tetapi kita tidak boleh menyerah dan bersedih akibat kegagalan tersebut.

Berfikirlah secara positif. Kegagalan bukan bererti dunia telah tamat dan sedang menuju kehancuran, tetapi kegagalan adalah permulaan bagi sebuah kemenangan dan kejayaan apabila kita berjaya menepis segala perasaan negatif dan sanggup menerima dengan ikhlas.

Percayalah selagi umur masih bersisa, saat-saat kegembiraan dan kejayaan pasti akhirnya akan berpihak kepada kita.

Percayalah dalam kesulitan ada kemudahan, setiap kesakitan, ada penyembuhnya, dalam lapar ada kenyang, dalam dahaga ada kepuasan, setiap yang hilang pasti akan bertemu atau berganti dengan yang baru, setiap yang patah pasti akan tumbuh, dalam kesesatan ada petunjuknya, setiap kegagalan ada terang benderangnya.

Fajar akan mengusir kegelapan ini daripada puncak-puncak gunung, lembah-lembah bahkan dari lautan yang terbentang luas. Yakinlah, pertolongan akan datang kepada mereka yang tidak pernah berputus asa serta merta. Maka janganlah kita terlalu bersedih kerana hari ini mungkin kita berduka nestapa, tetapi esok lusa pasti kegembiraan akan bersama kita.

Yang lepas biarkan berlalu, kuburkan segala kenangan pahit agar ia menjadi baja yang berupaya menyuburkan semangat baru yang akhirnya akan menumbuhkan kegembiraan pada masa hadapan.




Walaupun hamparan padang pasir kontang terbentang luas saujana mata memandang di hadapan kita, namun nun jauh di sana disebaliknya pasti ada kebun subur yang penuh dedaunan hijau.

Setiap tangisan akan berakhir dengan senyuman, ketakutan akan berakhir dengan aman dan percayalah bahawa Allah akan sentiasa bersama mereka yang dalam kesulitan yang sering berdoa kepada-Nya. Penawar mujarab bagi semua kegagalan ialah kesabaran dan pantang menyerah dengan keadaan...








Sunday, 19 March 2017

TAPAK SULAIMAN



Suatu hari, seorang tua berjalan-jalan di tepi pantai yang terdapat beribu-ribu tapak sulaiman terdampar di situ. Dari kejauhan dia melihat seorang budak bersungguh-sungguh melemparkan tapak-tapak sulaiman itu kembali ke laut semula. Orang tua itu menghampirinya dengan pelbagai persoalan lalu bertanya kepada budak itu, "Apa yang sedang anak lakukan?"

Budak itu menjawab, "Saya sedang mencampakkan tapak sulaiman ini ke dalam laut. Air pasang akan berakhir dan sudah mula surut. Kalau saya tak campak tapak sulaiman ini ke lautan, tentu semuanya akan mati."

"Anak..." lelaki itu memanggil., "Tidakkah kamu sedar bahawa pantai ini begitu luas beribu-ribu batu dan terdapat beribu-ribu tapak sulaiman yang terdampar di atasnya? Mampukah anak melontarkan kesemuanya sekali?"

Selepas mendengar kenyataan itu, dengan penuh hormat anak itu menundukkan badannya lalu mengambil tapak sulaiman yang lain dan mencampakkannya ke lautan. Kemudian dia melontarkan senyuman kepada lelaki tua tersebut dan menjawab, "Pakcik, walaupun saya tak mampu mencampakkan semuanya ke lautan, tetapi sekurang-kurangnya saya mampu membantu beberapa ekor daripadanya untuk terus hidup."






Memang lumrah manusia, sering sahaja ingin mencapai sesuatu yang besar, tetapi tidak sedar bahawa yang besar itu biasanya dimulai dengan sesuatu yang kecil.
Kita biasa mendengar pepatah Inggeris, "A journey of thousand miles begins with the first step."

Demikian jugalah dengan cita-cita dan keinginan kita untuk berjaya dan berubah menjadi lebih baik.
Semua hasrat dan cita-cita kita hanya akan menjadi angan-angan jika tidak dimulai dengan langkah pertama.

Orang yang berjaya sering menjadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan. Mereka akan membuat refleksi dan penilaian semula, seterusnya memulakan langkah lain untuk menggapai kejayaan. Mereka tidak gentar dengan kegagalan dan akan terus melangkah...

Walaupun jatuh bangun kita dahulu meninggalkan parut, tetapi percayalah, setiap kejayaan menuntut pengorbanan.






~sumber buku motivasi kehidupan.


Saturday, 18 March 2017

BERFIKIRLAH POSITIF...



Sebagai manusia, kita pasti pernah mengalami hal yang buruk, dihina, trauma masa lalu, kegagalan berulang, sindiran rakan-rakan, tradisi dan adat menyebabkan kita terpenjara dalam kotak yang tidak mendewasakan kita.

Malah, kita sering mempercayai mentah-mentah apa sahaja yang diperkatakan dan dimomok-momokkan tanpa berfikir sama ada perkara yang diperkatakan itu benar ataupun tidak. Lebih buruk lagi, apabila kita memilih untuk mempercayai kata-kata mereka berbanding diri sendiri.



Teruslah berusaha untuk mencapai segala aspirasi positif yang ingin dicapai. Penat lelah memang biasa berlaku, tetapi jika kita sudah sampai di puncak, semua pengorbanan itu akan terbayar.
Hakikatnya, kehidupan kita akan menjadi lebih baik sekiranya kita memilih cara hidup kita sendiri bukan dengan cara yang dipilih oleh orang lain untuk kita.






Friday, 17 March 2017

JANGAN SUKA MENILAI ORANG....



Sering kali kita menilai orang lain dengan hanya membaca atau mendengar daripada sumber-sumber lain tanpa kita sedari bahawa apa yang kita baca dan dengar itu belum tentu hakikatnya.
Kita tidak mungkin mengenali seseorang dengan hanya melihatnya sahaja. Kita hanya akan mengenalinya jika kita benar-benar memahaminya. 

Samalah dengan kehidupan kita. Kebanyakan daripada kita suka menilai orang lain melalui apa yang dilihat. Apakah hanya dengan melihat apa yang dia katakan atau lakukan, kita boleh terus membuat penilaian?
Tanyakan pada diri kita sendiri, sampai bila agaknya kita punya waktu untuk menyayangi?
Ingat, jangan menilai orang lain sebelum kita menilai diri sendiri. Tanya diri kita dahulu, adakah aku layak menilai orang lain?






Menilai orang lain melalui hati. Mungkin itulah kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan perkara itu.
Bukan mudah menilai seseorang melalui hati. Kita sering tersalah menilai seseorang melalui pertolongan atau mungkin perlakuan baik yang ditunjukkan di hadapan kita.

Setiap manusia dianugerahkan mata, ia itu pancaindera utama yang sangat berkesan. Pandangan mata mampu menutup pandangan hati dalam menilai seseorang. Itulah kuasa mata. Sering kita membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan penampilan, tutur kata dan juga personaliti mereka.

" Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujurat:12)





Sebagai manusia biasa, sukar untuk kita mengenali hati budi orang lain. Oleh kerana itulah, timbul sikap kepura-puraan dan hipokrit. Sikap itu mengambarkan penilaian kita terhadap seseorang berdasarkan luarannya, bukan isi hatinya. Kita langsung tidak memberikan ruang kepada diri untuk meneliti seseorang dengan mata hati terutamanya apabila seseorang yang sering menghulurkan bantuan kepada kita mengambil berat akan hal kita. Sudah tentu pertolongan yang diberikan ikhlas.
Lebih-lebih lagi pertolongan diberikan secara berterusan dan kerap.

Tetapi jika satu waktu yang lain, orang yang sama membantu kita itu melakukan kesilapan kecil walaupun sekali, maka sudah tiada lagi kebaikan dalam dirinya. Walaupun mungkin kesilapan itu terlalu kecil.

Alangkah baiknya jika kita dapat menilai orang lain melalui hati kita. Dalam erti kata lain, lihat kebaikan yang ada pada dirinya.Bukan dengan cara menafikan kebaikan yang pernah dilakukannya sebelum itu. Jika kita meletakkan persepsi sebegitu, kita sukar untuk memaafkan orang lain.
Bahkan kita sebenarnya menutup terus ruang dan peluang untuk orang mengubah dirinya. Kita semua sama melainkan dalam perkara amal dan taqwa.



~sumber dari buku motivasi kehidupan.


Thursday, 16 March 2017

KEJUJURAN...



Dalam hubungan cinta mengapa sering berlaku putus cinta? Jawapannya mudah. Selagi tiada nilai kejujuran dalam percintaan, bercintalah dengan sesiapa pun pasti perpisahan jua yang kunjung tiba.
Kalaulah sampan yang kecil pun perlu diikat dengan tali, mengapa cinta yang besar nilainya tidak diikat dengan tali kejujuran?

Janganlah risau dan gusar andainya orang yang kita cintai bersikap jujur dengan kita. Sejauh mana pun terpisah dengannya, jika jujur pengikat janjinya, pasti dia akan terus menyintai dan setia.
Sekiranya berlaku masalah dalam perhubungan, bercerita dan berkongsilah denganya.

Ceritakan hal yang sebenar agar tidak timbul salah faham di kemudian hari. Berkata benar dengan pasangan akan menguatkan lagi kepercayaan dalam diri masing-masing.

Pendek kata, kejujuran sangat penting dalam setiap hal yang kita lakukan. Oleh itu, berhati-hatilah dalam segala tindakan yang kita lakukan kerana apa yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti kita akan menuainya sendiri.

Jika menanam amanah, maka akan menuai kepercayaan, jika kita menanam kebaikan, maka kita akan menuai persahabatan. Jika ingin menanam tawaduk ( kerendahan hati ), maka akan menuaikan penghormatan.

Jika menanam rasa hormat, maka akan menuai kemuliaan. Jika menanam kesungguhan, maka akan menuai kejayaan. Jika menanam keimanan, maka akan menuai ketenangan dan jika menanam kebohongan, maka akan menuai bencana....



Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...