Sering kali kita menilai orang lain dengan hanya membaca atau mendengar daripada sumber-sumber lain tanpa kita sedari bahawa apa yang kita baca dan dengar itu belum tentu hakikatnya.
Kita tidak mungkin mengenali seseorang dengan hanya melihatnya sahaja. Kita hanya akan mengenalinya jika kita benar-benar memahaminya.
Samalah dengan kehidupan kita. Kebanyakan daripada kita suka menilai orang lain melalui apa yang dilihat. Apakah hanya dengan melihat apa yang dia katakan atau lakukan, kita boleh terus membuat penilaian?
Tanyakan pada diri kita sendiri, sampai bila agaknya kita punya waktu untuk menyayangi?
Ingat, jangan menilai orang lain sebelum kita menilai diri sendiri. Tanya diri kita dahulu, adakah aku layak menilai orang lain?
Menilai orang lain melalui hati. Mungkin itulah kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan perkara itu.
Bukan mudah menilai seseorang melalui hati. Kita sering tersalah menilai seseorang melalui pertolongan atau mungkin perlakuan baik yang ditunjukkan di hadapan kita.
Setiap manusia dianugerahkan mata, ia itu pancaindera utama yang sangat berkesan. Pandangan mata mampu menutup pandangan hati dalam menilai seseorang. Itulah kuasa mata. Sering kita membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan penampilan, tutur kata dan juga personaliti mereka.
" Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Hujurat:12)
Sebagai manusia biasa, sukar untuk kita mengenali hati budi orang lain. Oleh kerana itulah, timbul sikap kepura-puraan dan hipokrit. Sikap itu mengambarkan penilaian kita terhadap seseorang berdasarkan luarannya, bukan isi hatinya. Kita langsung tidak memberikan ruang kepada diri untuk meneliti seseorang dengan mata hati terutamanya apabila seseorang yang sering menghulurkan bantuan kepada kita mengambil berat akan hal kita. Sudah tentu pertolongan yang diberikan ikhlas.
Lebih-lebih lagi pertolongan diberikan secara berterusan dan kerap.
Tetapi jika satu waktu yang lain, orang yang sama membantu kita itu melakukan kesilapan kecil walaupun sekali, maka sudah tiada lagi kebaikan dalam dirinya. Walaupun mungkin kesilapan itu terlalu kecil.
Alangkah baiknya jika kita dapat menilai orang lain melalui hati kita. Dalam erti kata lain, lihat kebaikan yang ada pada dirinya.Bukan dengan cara menafikan kebaikan yang pernah dilakukannya sebelum itu. Jika kita meletakkan persepsi sebegitu, kita sukar untuk memaafkan orang lain.
Bahkan kita sebenarnya menutup terus ruang dan peluang untuk orang mengubah dirinya. Kita semua sama melainkan dalam perkara amal dan taqwa.
~sumber dari buku motivasi kehidupan.