Janganlah terlalu kecewa apabila dirundung malang. Memang sakit menerima sesuatu kegagalan, tetapi kita tidak boleh menyerah dan bersedih akibat kegagalan tersebut.
Berfikirlah secara positif. Kegagalan bukan bererti dunia telah tamat dan sedang menuju kehancuran, tetapi kegagalan adalah permulaan bagi sebuah kemenangan dan kejayaan apabila kita berjaya menepis segala perasaan negatif dan sanggup menerima dengan ikhlas.
Percayalah selagi umur masih bersisa, saat-saat kegembiraan dan kejayaan pasti akhirnya akan berpihak kepada kita.
Percayalah dalam kesulitan ada kemudahan, setiap kesakitan, ada penyembuhnya, dalam lapar ada kenyang, dalam dahaga ada kepuasan, setiap yang hilang pasti akan bertemu atau berganti dengan yang baru, setiap yang patah pasti akan tumbuh, dalam kesesatan ada petunjuknya, setiap kegagalan ada terang benderangnya.
Fajar akan mengusir kegelapan ini daripada puncak-puncak gunung, lembah-lembah bahkan dari lautan yang terbentang luas. Yakinlah, pertolongan akan datang kepada mereka yang tidak pernah berputus asa serta merta. Maka janganlah kita terlalu bersedih kerana hari ini mungkin kita berduka nestapa, tetapi esok lusa pasti kegembiraan akan bersama kita.
Yang lepas biarkan berlalu, kuburkan segala kenangan pahit agar ia menjadi baja yang berupaya menyuburkan semangat baru yang akhirnya akan menumbuhkan kegembiraan pada masa hadapan.
Walaupun hamparan padang pasir kontang terbentang luas saujana mata memandang di hadapan kita, namun nun jauh di sana disebaliknya pasti ada kebun subur yang penuh dedaunan hijau.
Setiap tangisan akan berakhir dengan senyuman, ketakutan akan berakhir dengan aman dan percayalah bahawa Allah akan sentiasa bersama mereka yang dalam kesulitan yang sering berdoa kepada-Nya. Penawar mujarab bagi semua kegagalan ialah kesabaran dan pantang menyerah dengan keadaan...