Pernahkah terlintas difikiran bahawa kehidupan harian kita kurang bermakna. Hidup terasa kosong dan tidak ada apa-apa yang harus dicari dan direbut. Nikmat masa yang ada hanya perkara biasa dan ia dibiarkan berlalu begitu saja.
Berilah makna pada kehidupan ini. Rasakan bahawa kehadiran kita di muka bumi ini merupakan anugaerah besar daripada Pencipta. Setiap tindak-tanduk, pada setiap saat adalah amal-amal yang bermakna.
Secara semulajadi kehidupan seseorang itu adalah jangka masa yang Allah s.w.t. berikan kepadanya. Ia bermula dari nafas awal hingga ke nafas akhir. Antara nafas pertama dan nafas terakhir itu merupakan tempoh hidup seseorang di atas muka bumi ini.
Berapa jarak masa antara dua nafas itu tidak diketahui, tetapi jarak masa itu adalah usia seseorang di atas muka bumi. Usia itu ketentuan Allah s.w.t. yang patut dihargai kerana kehidupan merupakan anugerah.
Kita sedar bahawa ukuran kejayaan dalam hidup ditentukan oleh bagaimana individu memanfaatkan sensori tubuh bermula dari nafas pertama hingga ke nafas terakhir. Dengan kata lain deria tubuh sedar dengan setiap gerak geri yang dilakukan dalam kehidupan ini.
Pada setiap saat atau setiap nafas, individu sedar dengan apa yang dia lakukan adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan bermakna untuk dirinya dan diri orang lain di sekitarnya....