Monday, 28 August 2017

UNTUNGNYA HIDUP KAYA DAN BAHAGIA


Wang bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang. Hampir semua dalam hidup ini memerlukan wang, cuma satu perkara yang perlu diingat bahawa tidak semua yang diperlukan boleh didapati dengan wang, antaranya ialah kebahagiaan.



Bahagia tidak mudah diperolehi dan belum tentu akan tercapai melalui wang yang bertimbun-timbun. Berapa ramai para hartawan dan jutawan yang hidup menderita dan terseksa lantaran mencari bahagia yang tidak kunjung tiba. Dalam pada itu, masih ramai yang beranggapan, wang boleh menjadikan seseorang itu hidup bahagia. Dengan wang kita boleh mendapatkan apa saja yang kita impikan. Apabila semua yang dihajati telah diperolehi, maka tercapailah apa yang dinamakan bahagia.

Tetapi hakikat sebenarnya, harta dan kekayaan tidak menjamin kebahagiaan seseorang kerana kebahagiaan yang hakiki bukanlah terletak pada harta yang melimpah ruah, tetapi ia hanya akan dirasai oleh hati dan perasaan seseorang.





Miskin atau Kaya.

Kekayaan tidak menjamin seseorang untuk hidup bahagia, sepertimana kemiskinan juga tidak semestinya membawa seseorang itu hidup menderita dan sengsara. Ada orang yang kaya raya dan banyak harta, tetapi hidupnya dihimpit derita, resah dan gelisah sepanjang masa sedangkan keperluan hidupnya cukup untuk segala-galanya; kereta besar, rumah besar, isteri cantik dan lawa tapi hati tetap tidak merasa bahagia.


Untuk menjadi kaya, manusia sanggup melakukan apa saja. Mungkin disebabkan itulah ada yang sanggup melakukan apa saja demi wang. Tetapi bahagiakah nanti jika wang yang diperolehi itu adalah dari sumber yang tidak halal dan tidak berkat, akan bahagiakah hidup kita?

Kita tidak mahu menjadi seperti Abu Lahab yang dimurkai Tuhan,

Firman Allah dalam surah al-Masad yang bermaksud: "Binasalah kedua- dua belah tangan Abu Lahab dan sesesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat meolongnya. Dia akan menderita dalam bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api. Dilehernya ada sejenis tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut."








Kekayaan dan kebahagiaan kedua-duanya adalah penting dalam hidup. Ada orang yang hidup dalam serba kekurangan, miskin harta benda dan tidak punya banyak wang tetapi hidupnya bahagia, nyenyak tidurnya, sedap apa saja yang dimakannya, ini kerana dia redha dengan apa yang ada, sentiasa bersyukur di atas setiap apa yang diberi dan tidak pernah merungut dan menyalahkan takdir ilahi.




Walaupun miskin, dia tetap berusaha untuk meneruskan kehidupan dengan mencari rezeki yang halal dan berkat. Walaupun tidak pernah memiliki wang yang banyak dengan hasil kerja yang dilakukan, tetapi dia tetap berasa puas dengan hasil  yang diperolehi daripada kudrat dan tenaga sendiri dengan melakukan kerja yang halal.

Walaupun menempuh banyak dugaan dan cubaan, tetapi kesabaran dan ketabahan tetap tersemat di hatinya. Maka disebab itulah hidupnya bahagia walau tidak punya harta berjuta.

Orang yang banyak harta pula belum tentu hidupnya bahagia. Dia sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang dimilikinya. Ada saja yang kurang di matanya dan ada saja rungutannya. Orang yang sebegini langsung tidak bersyukur dengan apa yang telah menjadi miliknya. 




Tidak kira miskin atau kaya, mewah atau tidak punya harta, yang penting kita semua berhak untuk mengecap nikmat bahagia. Alangkah indahnya jika kita menjadi hartawan yang dermawan. Kekayaan yang diperolehi secara sah dan diberkati Tuhan akan membawa keberkatan, menghadirkan segala kebaikan, menghapuskan segala keraguan, menghilangkan segala kerisauan, menambah peluang dan mengukuhkan iman dan taqwa kepada Tuahn Pencipta sekalian alam.




Berdoalah kepada Allah memohon agar berkenan melimpahkan  rezeki yang halal dan membawa keberkatan dalam hidup kita, keluarga kita dan dijauhkan daripada perkara-perkara yang subahat mahupun yang haram.....



Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...