UMPAMA BURUNG MEMPEROLEH REZEKI
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab, bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sekiranya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya kamu dikurniakan rezeki, iaitu ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan perut kosong dan kembali pada waktu petang dalam keadaan kekenyangan." [ Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban ]
Dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. telah memberikan suatu kiasan kepada orang yang mempunyai sifat tawakal yang tinggi iaitu mereka yang mengetahui dengan penuh keyakinan bahawa segala sesuatu itu ditentukan oleh Allah, lalu ia berusaha mencari rezeki dan menyerahkan urusan hidupnya pada Allah.
Golongan sebegini diumpamakan oleh Nabi s.a.w. seperti burung yang dikurniakan rezeki tatkala keluar pada waktu pagi dalam keadaan perut kosong dan balik pada waktu petang dalam keadaan kekenyangan.
USAH SALAH FAHAM
Tugas manusia ialah berusaha dan mencari rezeki, namun ketentuan kepada perolehan rezeki tidak terletak pada tangan manusia, sebaliknya ditentukan oleh Allah. Oleh yang demikian, sifat tawakal bukanlah bermaksud menyerah segala urusan kepada Allah tanpa sebarang usaha.
Sebaliknya tawakal ialah penyerahan segala natijah kepada ketentuan Allah setelah usaha bersungguh -sungguh dilakukan.
Hal itu samalah juga seperti burung yang terbang mencari makanan. Ia berusaha bersungguh-sungguh, hasilnya, burung itu pun dikurniakan rezeki oleh Allah.
Imam Ahmad berkata, hadis Nabi s.a.w. yang menyentuh isu tawakal itu tidaklah bermaksud meninggalkan usaha dan ikhtiar, akan tetapi tawakal tersebut merujuk kepada usaha yang berterusan untuk mencari rezeki seumpama burung yang berusaha mencari makanan.
PANDANGAN ULAMA
Imam al-Ghazali telah menyatakan bahawa ada dalam kalangan manusia yang menyangka bahawa maksud tawakal itu adalah dengan meninggalkan usaha dan ikhtiar lalu membiarkan diri tanpa sebarang usaha. Beliau menyifatkan golongan seumpama ini ialah golongan yang jahil dan melakukan perkara haram menurut pandangan hukum syarak.
Syarak telah memuji golongan bertawakal, lalu bagaimanakah golongan yang salah faham terhadap konsep tawakal boleh mendapat kedudukan di sisi agama, sedangkan mereka melakukan perkara yang dilarang dalam agama.
Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi pula menyatakan bahawa tawakal itu tempatnya di hati, manakala segala aktiviti luaran iaitu dengan usaha yang dilakukan tidaklah dinafikan sifat tawakal yang ada dalam hati.
Setelah seorang hamba meyakini bahawa segala rezeki yang diperoleh merupakan suatu ketentuan Ilahi, maka apabila dia menghadapi kesukaran, maka itulah takdir Ilahi, dan begitu juga apabila dipermudahkan segala urusan, juga merupakan ketentuan daripada Yang Maha Esa.
KEDUDUKAN TAWAKAL
Seorang muslim tidak memandang tawakal kepada Allah sebagai suatu perkara keperluan semata-mata, bahkan ia merupakan perkara fardu dalam kehidupan dunia dan kehidupan beragama.
Sekiranya menghadapi sebarang kesulitan dalam hidup, ia akan segera kembali kepada Allah, lalu hatinya akan menjadi tenang dan dapat menerima segala ketentuan Ilahi terhadap dirinya.
Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman tidak boleh memisahkan dirinya daripada bertawakal kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." ( Surah al-Maidah 5:23 )
Tawakal merupakan separuh daripada agama, bahkan ia merupakan perkara yang wajib dan salah satu asas dalam keimanan. Para ulama telah menyatakan bahawa tawakal kepada Allah merupakan antara sebesar-besar perkara wajib seumpama sifat ikhlas kepada Allah yang juga merupakan perkara wajib.
Hakikat Tawakal ialah kesungguhan menyandarkan hati kepada Allah dalam mendapatkan maslahah dan menolak kemudaratan dalam sebarang urusan dunia dan akhirat. Tawakal juga merupakan salah satu asas tauhid ketuhanan sebagaimana yang telah dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud:
"Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan." (Surah al-Fatihah 1:5 )
Begitu juga firman Allah dalam surah Hud ayat 123 yang bermaksud:
"Dan bertwakallah kepada-Nya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan."
~Dr Mohd Sukki Othman.
( Pensyarah kanan di UPM dan juga dikenali sebagai Ustaz Shauqi )