Kadang-kadang kita memikirkan tujuan kita bekerja hanyalah untuk mengumpul harta dan wang berjuta-juta ringgit. Namun, sedarkah anda kebahagiaan itu bukan hanya terletak pada nilai harta yang dimiliki sahaja?
Di mana sebenarnya letak kebahagiaan itu? Kalaulah kebahagiaan itu sesuatu yang sangat berharga, lalu di mana kebahagiaan itu boleh diperoleh? Ramai yang keliru dalam usaha mencarinya. Akhirnya, umpama pencari mutiara di dasar laut, badan penat, hati hampa, tangan kosong tanpa membawa sebarang hasil.
Orang yang sakit menyangkakan bahagia itu terletak pada kesihatan. Orang miskin pula menyangka bahagia itu terletak pada kekayaan. Rakyat jelata menyangkakan kebahagiaan itu terletak pada kekuasaan dan banyak lagi sangkaan lain mengenai letaknya kebahagiaan itu.
Kesenangan dan kebahagiaan sebenarnya ada pada diri sendiri, bergantung pada kesihatan jiwa. Menurut Imam Qurthubi, kehidupan yang baik adalah keadaan ketenteraman hati dan jiwa, rasa cukup di atas pemberian Allah, merasakan kelazatan ibadah, kesenangan hati dan lapang dada.
"Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, [kerana] sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir [untuk mendapat azab akhirat pula]." (At-Taubah: 55 )
Harta yang banyak bukanlah penjamin kebahagiaan dan juga bukan syarat utama untuk mencapai kebahagiaan. Bahkan kadang-kadang, harta yang banyak boleh membawa kepada kesengsaraan di dunia dan akhirat.
Walaupun kebahagiaan itu sesuatu yang abstrak, itu tidak bermakna kita mesti meninggalkan segala kebendaan. Bukankah Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan bahawa diantara tanda-tanda manusia yang bahagia ialah mereka yang memiliki wanita solehah, rumah yang selesa, dan kenderaan yang baik? Yang penting , jangan sampai kebendaan melalaikan kita daripada mengingati Allah. Barangkali inilah, sebabnya mengapa Allah mendahulukan akhirat daripada dunia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagiamu [keperluan dan bekalanmu] dari dunia." (Al-Qasas: 77)