Friday, 18 August 2017

MEMBUAT PERSIAPAN....



Alhamdulillah. Ketika ini kita dihidupkan oleh Allah s.w.t., tinggal di bumi milik-Nya. Kita berjalan dengan bebasnya. Kita diberi rezeki yang melimpah, makanan, minuman, udara dan sebagainya.

Tiba saat yang telah ditentukan. Kita akan dikembalikan semula kepada-Nya. Samada suka atau tidak, sedar atau lalai, ia pasti akan berlaku. Selepas itu kita akan menuju ke negeri abadi, syurga atau neraka. Kita memilihnya semasa di dunia ini melalui amal dan tindakan.





Sesungguhnya perjalanan selepas ini amat jauh, maka banyak bekalan perlu dibawa. Kekurangan bekalan amat menyulitkan perjalanan kita. Mengingatkan hal demikian, maka wajiblah bagi kita menginsafi diri, menyiapkan diri bagi hari yang amat besar itu. Persiapan menghadapi kematian, persiapan bertemu dengan Tuhan.


Sememangnya dalam menjalani kehidupan ini, kita sering lupa matlamat hidup ini. Kita sangkakan dunia ini adalah tempat bersenang-lenang, tempat beristirahat. Hakikatnya dunia tempat mencari bekal untuk menuju alam abadi.


Justeru, Allah s.w.t. dengan sifat kasih sayang telah menghantar peringatan kepada kita agar tidak melupakan saat-saat itu, agar kita tidak terpedaya dengan keduniaan, sehingga kita tidak bersiap untuk bertemu dengan-Nya.


Diceritakan Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya memberitahu sebelum mengambil nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. malaikat segera menjawab, Allah telah menghantar peringatan demi peringatan.....

Rambut yang hitam menjadi putih.

Badan yang gagah beransur menjadi lemah.

Selera yang terbuka mula menguncup.

Gigi sudah banyak yang gugur.

Mata yang terang mulai kabur.

Kulit yang tegang semakin kendur.


Allah s.w.t. berfirman : "Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan di masukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa ) kehidupan di dunia ini ( meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya ), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." ( Ali -Imraan : 185 )


Oleh itu, awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.


~sumber kembara mencari hamba

Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...