Pen jika digunakan untuk menulis, maka itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Namun sebaliknya, jika pen digunakan untuk mencucuk orang, maka itu zalim kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.
Begitulah juga dengan internet. Apabila berbincang mengenainya, kita selalu dimomokkan dengan pelbagai persepsi negatif. Internet banyak mudarat, berbanding manfaat. Tentunya kenyataan itu berat sebelah kerana manfaat sedia terhidang andai kita dapat menyalurkannya pada jalan yang betul.
Banyak dosa berpunca dari lidah. Namun seiring dengan perkembangan teknologi, tangan telah mengambil tempat lidah.. Mengumpat, berkata dusta, menfitnah, lucah dan maki hamun serta banyak lagi, segala-galanya mudah di hujung jari.
Lebih teruk lagi sehingga ada ucapan dan tulisan berani yang membawa kepada syirik dan murtad. Misalnya mempersendakan sunnah Nabi dengan mengatakan perkara tersebut kuno, menolak syariat Allah kononnya tidak sesuai dengan masyarakat kini dan sebagainya.
Difikir-fikir, dengan lidah (tangan ) juga boleh menjadi sumber pahala. menyebarkan kebaikan, menyuburkan kasih sayang dan menanam rasa cintakan ilmu. Semua ini boleh dilakukan semudah di hujung jari. Asal sahaja kreatif, tentu boleh menarik minat orang muda untuk mendekati Islam. Bayangkan orang yang didakwah ibarat seperti orang yang putus harap dan berada di tepi gaung. Bila-bila saja dia akan terjun.
Namun dai yang kreatif akan menggunakan ruang dan peluang sehingga orang tadi membatalkan hasratnya. Maka, manfaatkan ruang media sosial yang ada sebagai saham akhirat. Biar ada kebaikan yang ditiru dan dikenang meskipun kita telah tiada.
Diri manusia menjadi gelanggang dosa dan pahala. Fikiran dan anggota dan anggota badan menjadi pintunya. Namun fikiran dan anggota badan, dikawal oleh hati. Hati yang subur dengan iman akan sentiasa berhati-hati saat menggunakan internet. Mereka sentiasa memikirkan nasib yang bakal ditanggung. Begin with the end of mind.
Ingat satu saat, apabila mulut tidak mampu berkata dan tangan menjadi saksi atas perbuatan kita. Moga -moga tangan mampu menjawab seakan begini, "Aku bersaksi tuan aku menggunakan Internet untuk menyebarkan Islam."
Ketika itu hari pembalasan sudah tiba!!
~sumber majalah solusi