Wednesday, 23 August 2017

BERDOA DAN TERUS BERDOA



Di setiap detik, teruslah berdoa dan mengingati Tuhan agar impian menjadi kenyataan. Namun apakah kesemua doa kita dimakbulkan sebagaimana yang kita kehendaki.


Tuhan memakbulkan doa kita dengan tiga cara iaitu apabila Allah menyatakan  ya, maka kita akan mendapat apa sahaja yang kita minta. Apabila Allah menyatakan tidak, mungkin kita akan memperolehi yang jauh lebih sesuai untuk kita. Apabila Allah membisikkan tunggu, kita mungkin akan mendapat yang  terbaik sesuai dengan kehendak-Nya.


Bersyukurlah kita kita kepada Allah yang telah mengurniakan hati yang bersih sehingga kita dapat menyingkap segala hikmah di sebalik kejadian yang kita rasa dan kita saksikan.


Apa pun takdir Allah kepada kita, Allah tidak pernah sesekali menzalimi makhluk-makhluk-Nya. Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, maka dia telah membina ikatan yang kuat kepada-Nya.


Apakah rahsia agar kita sering mengharapkan nikmat-Nya dan apakah rahsia yang dapat mengundang nikmat-Nya itu?  Rahsianya ialah kita harus bersyukur atas nikmat yang diterima walaupun kecil. Jangan kita lepaskan nikmat yang besar dengan tidak mensyukuri nikmat yang kecil.


Usah kita risau dengan nikmat yang belum ada, tetapi risaulah dengan nikmat yang ada, tetapi tidak disyukuri. Sesungguhnya, nikmat Allah seperti rezeki sungguh luas dan banyak tetapi semuanya adalah rahsia Allah.


Allah telah memberi jaminan kepada setiap makhluk-Nya. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini sudah dilengkapi rezeki masing-masing. Rasulullah s.a.w. bersabda:

" Allah telah menetapkan takdir semua makhluk sejak 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. " ( HR Muslim )

Oleh itu, selayaknya kita tidak perlu cemas mengenai rezeki kerana Dia sudah pun memberi jaminan kepada kita. Persoalan rezeki sudah diatur oleh Allah. Perkara penting yang perlu dilakukan ialah kita sempurnakan ikhtiar, doa dan tawakal kepada-Nya, pasti akan dikurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.


Sebagai hamba Allah, kita hendaklah bersangka baik dengan Allah. Meyakini bahawa Allah sentiasa melimpah ruahkan rahmat-Nya, mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan yang Dia redhai. Apabila Allah redha kepada kita, maka kita akan dapat merasakan betapa Allah itu dekat dan tidak jauh daripada kita.


Sebenarnya, kita yang sering menjauhkan diri daripada Allah. Bila doa kita tidak dimakbulkan, kita akan bertanya di mana Allah? Sikap dan akhlak menusia terhadap Allah sendiri menyebabkan insan hilang pedoman, merasakan diri dilupakan dan seolah-olah tiada tempat untuk mengadu dan meluahkan rintihannya. Sedangkan tempat untuk mengadu dan merintih sentaiasa terbuka di sisi Allah.


Manusia lebih rela ke sana sini memohon bantuan bagi sesuatu pekerjaaan atau urusannya terhadap sesama makhluk sehingga lupa untuk memohon bantuan dan bertawakal kepada Allah. Bersusah payah kita berjumpa orang lain untuk mengadu rasa hati dan derita dan kita lupa untuk mengadu kepada Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-hamba-Nya dengan penuh rahmat.


Firman Allah;

" Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu ( wahai Muhammad ) tentang AKU, ( maka jawablah ) sesungguhnya AKU ini dekat, AKU menjawab seruan orang yang berdoa kepada-KU apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menjawab seruan KU (menunaikan perintah-KU ) dan beriman kepada-KU, supaya mereka selalu berada di atas petunjuk." ( Al-Baqarah: 186 )


Jika TUHAN sudah takdirkan sesuatu untuk kita, maka yakinlah bahawa sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya dan yakinlah bahawa penghujungnya nanti akan membawa kebaikan kepada kita juga. Mungkin hasilnya tidak dapat kita lihat dalam masa terdekat, tetapi lambat-laun kita akan sedar juga dan ketika itu, barulah kita insaf bahawa kita pernah mempersoalkan ketentuan TUHAN.


Segeralah beristighfar memohon keampunan di atas keterlanjuran kita. Hikmah sesuatu perkara itu susah untuk kita tentukan. Yang penting kita harus redha. Setelah berusaha dengan pelbagai cara dan keputusan yang kita terima tidak seperti yang kita harap-harapkan, maka lebih elok kita redha dan berserah. Yakinlah itu yang terbaik untuk kita yang telah Allah tentukan. In sha Allah, ALLAH akan memberi ganjaran yang kita tidak pernah terfikir kerana hikmah itu adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat.








Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...