Alam dunia ialah alam yang penuh pancaroba dan fitnah. Suatu alam yang tidak dijadikan sebagai satu perkara yang sia-sia, tetapi sebagai satu medan ujian buat manusia.
Malanglah lagi bagi mereka yang termakan dengan dakyah fitnah dunia ini dan beruntunglah bagi mereka yang mampu menjaga diri, menjaga tauhid dan keimanan kepada Allah. Anugerah syurga ataupun musibah neraka yang akan diberikan oleh Allah kepada kita berpandukan kepada keimanan, ketakwaan dan hidayah daripada Allah.
Allah swt berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang kafir daripada ahli kitab dan orang Musyrik akan ditempatkan di dalam neraka Jahanam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga 'Adn, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. Allah redha akan mereka dan merekapun redha akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang yang takut akan Tuhannya." (Surah al-Bayyinah 98: 6-8 )
Perbezaan yang cukup ketara antara orang kafir dengan orang yang beriman. Berhati-hatilah teman dalam menyelusuri kehidupan di dunia ini. Pohonlah hidayah daripada Allah. Raihlah rahmat daripada-Nya. Tiada Tuhan lain yang layak untuk disembah melainkan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan kedudukan hamba-hamba- Nya. Ingatlah, malaikat senantiasa berada di sekeliling kita.