Sunday, 4 February 2018

PILIHLAH TAKWA SEBAGAI SOLUSI SEGALA MASALAH!



MASALAH? Semua orang ada masalah selagi namanya manusia. Cuma bezanya kecil atau besar, berat atau ringan dan sukar atau mudah. Jangan bimbang, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Dan, jalan penyelesaian yang ditawarkan dalam Islam adalah dengan bertakwa.

Sebagaimana firman Allah, ".....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (at-Thalaq:2-3)


Surah at-Thalaq ayat dua hingga tiga atau yang dikenali oleh umat Islam sebagai ayat 1,000 dinar memang terkandung pengajaran mengenai pentingnya takwa kepada Allah. Di mana di dalam ayat tersebut menjelaskan janji Allah. Yang mana Allah akan memberikan jalan keluar daripada setiap cubaan dan janji Allah akan memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka, kesemuanya itu ditujukan bagi mereka yang bertakwa kepada Allah.


Menurut Imam al-Ghazali r.a., perkataan takwa yang terdapat di dalam al-Quran membawa tiga makna:

1.    Bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah) Antara firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 281, "Dan bertakwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah."


2.     Bermakna taat. Contohnya seperti yang terdapat dalam firman Allah, "Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar takwa (taat)." (Al-Imran:102)


3.     Bermaksud menyucikan hati daripada dosa-dosa. Contohnya dalam firman Allah, "Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan." (an-Nur:52)


Perkataan bertakwa dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat atau takut kerana kalimah-kalimah taat dan takut telah disebutkan dalam ayat sebelumnya. Jadi bertakwa dalam surah an-Nur ayat 52 bermaksud, menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah merupakan definasi kepada istilah takwa.

Berdasarkan pengertian yang dihuraikan, Imam al-Ghazali telah membuat kesimpulan bahawa tawka itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah bertakwa.


BUAH DARI TAKWA

Bermacam-macam kebaikan yang Allah janjikan di dalam al-Quran kepada mereka yang memiliki sifat takwa. Antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat takwa ialah: 

1.     SENTIASA DIPIMPIN OLEH ALLAH

Bagi hamba Allah bertakwa maka mereka akan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali melalui firman Allah, "Allah menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-orang yang bertakwa." [Al-Jasiyah: 19]


2.     TERLEPAS DARIPADA SEGALA KESUSAHAN DAN KESEMPITAN HIDUP

Orang bertakwa akan dapat terlepas daripada kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan bermaksud mereka sama sekali tidak pernah mendapat kesusahan atau tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan hidup tetapi terselamat dan terlepas satu demi satu masalah yang dihadapi. Semua ujian yang ditempuhi itu bersifat sementara sahaja. Selepas itu Allah akan melepaskan satu demi satu kesusahan daripada ujian itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan beriman kepada-Nya. Ini jelas sebagaimana di dalam firman Allah, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia daripada masalah kehidupan." [at-Thalaq:2]


3.     DIKURNIAKAN REZEKI OLEH ALLAH

Semenjak di dunia lagi hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya akan dikurniakan dan dilimpahi rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak dirancang. Yang mana rezeki yang dikurniakan tidak diketahui dari mana punca dan sumbernya. Ini jelas sebagaimana sambungan daripada ayat surah at-Thalaq ayat dua, "Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." [at-Thalaq:3]

Berdasarkan ayat itu, barang siapa yang bertakwa kepada Allah, maka rezekinya ada sekadar yang memenuhi keperluan hidup tanpa meminta-minta daripada orang lain. Yang mana keperluan kita tetap ada walaupun kita tidak berusaha dan tidak mempunyai pekerjaan kerana hamba yang bertakwa sentiasa mendapat jaminan daripada Allah. Imam al-Ghazali pernah berkata, "Sekalipun orang bertakwa itu tidak mempunyai pekerjaan, tetapi keperluan hidup tetap diperolehi."


4.     PEKERJAAN SENTIASA DIPERMUDAHKAN

Usaha-usaha dan pekerjaan orang yang bertakwa itu sentiasa dipermudahkan oleh Allah. Ini sebagaimana daripada firman Allah, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, dipermudahkan Allah segala urusannya." [at-Thalaq:4]

Berdasarkan kepada firman Allah tersebut, menunjukkan bahawa Allah akan memberi jaminan kepada hamba-Nya yang bertakwa kepada-Nya. Yang mana pekerjaan dan usaha orang yang bertakwa itu akan sentiasa dipermudahkan jalannya. Mudah di sini bermaksud boleh jadi usahanya sedikit tetapi hasil dan natijahnya banyak.


5.     DIKURNIAKAN KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN

Maksud berkat adalah bertambah atau subur. Apabila dikatakan kehidupannya berkat, makna kehidupannya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan penuh dengan pahala serta kasih sayang Allah. Adapun jika memiliki harta maka hartanya akan berkat, iaitu harta yang tidak putus-putus dapat dislurkan kepada jalan kebajikan dan berpahala walaupun dia bukan terdiri daripada orang kaya sekalipun. Jika memiliki ilmu maka ilmunya akan berkat, iaitu ilmu yang dimilikinya itu bermanfaat dapat diamalkan dan disumbangkan kepada orang. Malah ilmu juga bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.

Adapun badan yang sihat dan berkat itu adalah memiliki tubuh badan yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan kebajikan. Dengan kesihatan badan yang dianugerahkan, ia digunakannya untuk berjuang pada jalan Allah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Memiliki masa yang berkat ialah masa yang Allah peruntukkan dapat digunakan dan dimanfaatkan kepada kebaikan sebaik mungkin.

Umurnya berkat,  kemungkinan umur yang panjang dan tidak melakukan perkara yang sia-sia sepanjang hidup. Walaupun umur tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepada kita akan menambahkan pahala dan dimanfaatkan dengan kebaikan. Rezeki yang berkat iaitu rezeki yang tidak putus-putus sekalipun bukan orang kaya dan jutawan, tetapi rezeki yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.

Manakala berkat pada anak-anak dan keturunan pula bermaksud memiliki anak-anak dan keturunan yang berjaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, malah yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isteri atau suami bermaksud memiliki seorang isteri atau seorang suami yang soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan juga akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran tetangga pula bermaksud, mendapat sahabat handai dan jiran tetanggga yang baik-baik serta menyenangkan hati kita  dan ramai pula yang membantu dalam perjuangan kita untuk menegakkan kebenaran.

Berkat pada seorang guru, iaitu kita mendapat seorang guru yang soleh dan baik hati yang dapat memimpin dan memandu kita selamat di dunia dan akhirat dan mencurahkan mutiara-mutiara ilmu.

Ini menunjukkan bahawa jika seorang hamba memiliki sifat-sifat takwa maka dia akan diberikan keberkatan daripada langit dan bumi. Keberkatan pada hartanya, kesihatan badannya, ilmunya, anak-anak dan keturunannya, isterinya, suaminya, pada sahabat handai dan jiran tetangga, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini jelas sebagaimana firman Allah, "Jikalau penduduk sebuah kampung ( atau sebuah negara) itu beriman dan bertakwa, Tuhan akan membukakan keberkatan daripada langit dan bumi." (al-'Araf:96)


6.     AMALAN SENTIASA DITERIMA ALLAH

Amalan orang yang bertakwa sentiasa diterima oleh Allah tidak kira amalan ibadat wajib mahupun yang sunat sekalipun. Ini jelas sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran, "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah s.w.t. ialah daripada orang yang bertakwa." [al-Maidah:27]

Berdasarkan firman Allah itu, menjelaskan bahawa Allah hanya menerima solat orang yang bertakwa. Allah tidak akan menerima solat orang yang sekadar bergelar di atas nama Islam semata-mata tetapi tidak bertakwa. Takwa adalah membuat kebaikan dan menjauhi perkara yang mungkar.


7.     AMALAN SENTIASA DIPERBAIKI

Sesungguhnya bagi hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya maka amalan-amalannya akan sentiasa perbaiki oleh Allah. Maksud amalan diperbaiki iaitu amalan sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada semasa ke semasa. Ini jelas melalui firman Allah yang mengingatkan kepada kita, "Wahai mereka yang beriman hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan memperbaiki amalan-amalan kamu..." [al-Ahzab: 70-71]

Berdasarkan firman Allah tersebut jelas menunjukkan bahawa orang-orang yang bertakwa amalannya sentiasa perbaiki dan diperkemaskan oleh Allah. Yang mana ibadat orang bertakwa sentiasa diperbaiki seperti sembahyangnya sentiasa diperbaiki oleh Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, zikirnya dan perjuangannya sentiasa diperkemaskan agar sentiasa indah di sisi Allah. Apa saja bentuk kebaikan dan kebajikan yang dikerjakan oleh orang yang bertakwa maka amalan mereka sentiasa dibaiki oleh Allah dari semasa ke semasa dan itulah janji dan jaminan Allah di dalam al-Quran.


8.     DOSA SENTIASA DIAMPUNKAN

Beruntungnya menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah kerana dosa-dosanya sentiasa diampunkan oleh Allah. Sebagaimana firman Allah, "Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu." [al-Ahzab:70-71]

Ayat di atas menunjukkan jelas bahawa orang bertakwa sahaja yang diampunkan dosa-dosanya oleh Allah.

Dapat disimpulkan bahawa inilah diantara kelebihan-kelebihan yang diperolehi oleh hamba-hamba yang bertakwa kepada Allah. Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang yang ada di dunia kerana ianya amat bernilai dianugerahkan oleh Allah. Dengan memiliki sifat-sifat ketakwaanlah ia boleh memandu manusia menuju kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat kelak. 

Semoga kita dikurniakan petunjuk, ketakwaan, kesejahteraan dan kekayaan. Allahumma Aameen. In shaa Allah.

~sumber majalah al-Islam.


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...