Dengan ahli keluarga dan sahabat-sahabat, janganlah kita terlalu berkira. Kesilapan kecil janganlah diperbesarkan. Kebaikan mereka biasanya jauh melebihi kesilapan tanpa disengajakan. Sebaliknya sementara mereka masih ada, hargailah mereka. Bersyukurlah, kerana tidak semua orang yang dapat anugerah ini.
Maka bukti kita mensyukuri dan menghargai, sentiasalah berlapang dada dan bersedia memaafkan. Kita pun suka jika Allah memaafkan kita dan Allah suka orang yang pemaaf. Berkali-kali Allah mengulangi, mengingatkan kita akan sifat-Nya Yang Maha Pemaaf dalam al-Quran. Mengapa? Agar kita mencontohinya.
Hebat benarkah kita sehingga tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain? Apakah kita tidak pernah buat salah? Sekali-sekali, malah seharusnya, setiap masa, kita perlu merenung ke dalam diri, agar kita mampu menghargai. Jangan pula menangisi apabila mereka sudah meninggalkan kita- pergi menyambut panggilan Ilahi.
Banyak sungguh anugerah Allah pada kita. Tidak terhitung. Namun mengapa masih ada yang mengeluh. Mengharap lebih daripada apa yang sedia ada. Menginginkan apa yang belum pasti. Seolah-olah dia akan bahagia apabila diperolehi sesuatu yang dia ingini.
Seharusnya dalam masa sedang berusaha mendapat apa yang diimpikan, berbahagialah dengan apa yang sekarang. Bersyukurlah kerana mungkin dengan cara itu kita mendapat apa yang diingini. Bukankah Allah telah berjanji akan menambah nikmat untuk hamba-hamba-Nya yang bersyukur: "Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan untuk kamu...." [Surah Ibrahim 14:7]
Sebaliknya jika kita lupa mensyukuri apa yang kita ada, sampai bila-bila pun kita tidak akan tenang dan bahagia. Mengeluh dan membandingkan dengan apa yang ada pada orang ialah petanda hati tidak bahagia. Kita lupa bahawa setiap orang ada rezeki dan takdir masing-masing dalam perancangan agung Yang Maha Berkuasa dan Bijaksana.
Maka syukuri dan berbahagialah dengan apa yang sedang kita miliki. Jangan menggantungkan kebahagiaan pada apa yang belum pasti. Umpama mengejar pelangi; bakal hilang seiring dengan hangatnya sinaran matahari....