Jika kita ingin berjaya dalam kehidupan di dunia, berbuat baiklah dengan orang tua. Jika kita ingin ke syurga, maka berbaktilah kepada kedua ibu bapa. Orang yang sentiasa taat dan berbakti kepada orang tuanya pasti akan mendapati keberkatan dan keajaiban yang banyak dalam hidupnya.
Diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud r.a. berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.;
Maksudnya: Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah? Rasulullah s.a.w. menjawab, "Solat fardu tepat pada waktunya." Aku tanya lagi, "Selepas itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Berbakti kepada ibu bapa ." Aku bertanya lagi, "Selepas itu?" Baginda menjawab, "Jihad di jalan Allah."
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Hadis ini menjadi dalil bahawa berbakti kepada kedua ibu bapa merupakan jalan terbaik untuk meraih ganjaran syurga. Perhatikan amalan yang sangat disukai Allah selepas solat ialah berbakti kepada ibu bapa. Ini menunjukkan kebaikan kepada manusia yang pertama sekali dituntut selepas Allah dan Rasul ialah terhadap ibu bapa. Betapa agungnya kedudukan mereka disisi Allah.
Kerana itulah jika kita lihat kehidupan para ulama dan orang soleh terdahulu, mereka amat menitik beratkan soal taat kepada ibu bapa mereka.
DOA NABI BUAT ANAK DERHAKA
Dosa menderhaka kepada mereka termasuk dalam dosa-dosa besar. Tidak cukup dengan itu, Nabi sendiri memohon kepada Allah agar membalas keburukan si anak dengan doanya ini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Binasalah dia, binasalah dia, binasalah dia." Sahabat bertanya, "Siapakah dia?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesiapa yang mempunyai kedua orang tuanya atau salah seorang diantara mereka masih hidup diusia tua, namun dia tidak mampu meraih syurga." [Riwayat Muslim]
Tiga kali Baginda mengulang lafaz yang sama membuktikan betapa beratnya dosa anak derhaka! Na'uzubillah.
~sumber majalah solusi.