Ramai orang berbuat amal kerana mengharap kurniaan yang akan datang dari Tuhan. Tetapi tidak ramai yang beramal kerana menghargai kurniaan yang telah diberikan Tuhan.
Ramai bersedekah, kerana mengharapkan balasan berlipat ganda. Tetapi tidak ramai bersedekah kerana menghargai rezeki harta benda yang telah dikurnia.
Ramai solat dhuha, kerana mengharapkan rezeki bertambah. Tetapi tidak ramai solat dhuha kerana mensyukuri segala nikmat yang telah diterima.
Ramai membaca al-Quran, kerana mengharap kehidupan bahagia. Tetap tidak ramai membaca al-Quran, tanda terima kasih pada Tuhan.
Ramai beramal untuk jadi kaya, untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya, untuk mencapai cita-cita. tetapi tidak ramai beramal kerana mensyukuri nikmat kesihatan, nikmat memiliki keluarga, nikmat keamanan, nikmat kebahagiaan, dan berbagai lagi nikmat yang tidak dapat dihitung.
Kenapa begitu? Sedangkan Allah telah berfirman yang bermaksud: "Sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku akan tambahkan lagi ke atasmu..."
Bagaimana mungkin Tuhan akan terus memberikan lagi kurnia-Nya kepada kita, sedangkan yang telah diberikan sebelum ini pun kita belum mensyukurinya?
Sebelum minta apa-apa lagi dari Tuhan, muhasabah dulu segala yang telah diberikan sebelum ini. Apakah kita sudah berterima kasih kepada-Nya dengan selayaknya.
Semoga Allah memelihara kita dalam mencari keredhaan-Nya.
`AbuHanifah