Monday, 5 February 2018

HANYA DENGAN RAHMAT-NYA



Berbicara barang sebentar berkaitan RAHMAT Allah s.w.t. Kadang-kadang orang tersilap dalam memahami kedudukan sebenar rahmat. Ada rahmat yang diturunkan buat umat sebagai ujian dan cubaan. Dan ada juga rahmat yang diturunkan Allah s.w.t. sebagai salah satu pemberian dan anugerah darinya.

Untuk mnegetahui asasnya, wajar untuk kita merenung sedikit betapa agungnya Rahmat Allah s.w.t. Dalam al-Quran al-Karim, perkataan rahmat boleh ditemui sebanyak 124 kali dalam ayat dan surah yang berbeza. Terkadang ia membawa maksud mengasihani, juga kasih sayang serta belas ihsan. Perhatikan antara contoh ayat rahmat yang dipaparkan.

Rahmat Allah Luas

Rahmat Allah s.w.t. tersangat luas sebenarnya. Tetapi, pemahaman kita terhadap konsep rahmat Allah s.w.t. ini  terlalu sempit. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali kepada-Mu. Allah berfirman: Azab-Ku akan aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi setiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya, bagi orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami." [Surah al-A'raaf 7:156]

Allah s.w.t. sendiri yang mengucapkan bahawa rahmat-Nya terlalu luas hingga tidak terbilang. Manakala dalam suatu hadis, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah menciptakan rahmat. Pada hari Dia menciptakannya, Dia menjadikannya sebanyak 100 rahmat. Dia menyimpan di sisi-Nya 99 rahmat. Dia hantar kepada semua makhluknya satu rahmat. 

Seandainya orang kafir tahu tentang semua rahmat yang ada di sisi Allah, mereka tidak akan berputus asa daripada memasuki syurga. Seandainya orang beriman tahu semua azab yang ada di sisi Allah, dia tidak akan berasa selamat daripada neraka." [Riwayat al-Bukhari]


Hanya satu dari 100 rahmat Allah s.w.t campakkan ke atas muka bumi. Baki daripadanya disimpan untuk diagihkan di akhirat kelak. Ini menunjukkan bahawa rahmat Allah s.w.t.  masih terlalu banyak yang seharusnya untuk kita kejar bagi meraihnya. Kejar dalam maksud bertakwa kepada Allah s..w.t. serta meraih pandangan dari sisi-Nya.


Hanya dengan Rahmat-Nya

Terlebih penting untuk kita ketahui bahawa masuknya seseorang itu ke dalam syurga atau terselamatnya seseorang itu di alam kubur juga merupakan salah satu dari rahmat Allah s.w.t. Seseorang yang di masukkan ke dalam syurga bukan kerana amalnya, tetapi kerana rahmat Allah s.w.t. Seseorang yang terselamat dari azab kubur juga bukan kerana amal yang diperbuatnya, tetapi juga dari rahmat Allah s.w.t.

Amal itu hanya sebagai suatu perantaraan untuk kita meraih pandangan-Nya. Amal yang ditawjjuhkan hanya kepada Allah s.w.t. bagi meraih pandangan-Nya bagi memperolehi rahmat-Nya. Nabi s.a.w. bersabda : "Tidak ada seorang pun diantara kalian yang amalannya memasukkannya ke dalam syurga dan melindunginya dari neraka. Tidak juga aku, kecuali dengan rahmat dari Allah." [Riwayat Muslim]

Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya mengulas: "Amalan soleh yang kalian kerjakan itu menjadi sebab kepada berolehnya rahmat Allah s.w.t. kepada kalian, kerana sesungguhnya tidaklah seorang itu masuk ke dalam syurga disebabkan amalan yang dikerjakannya, tetapi disebabkan keagungan-Nya dan luasnya rahmat-Nya. Hanya yang membezakan darjat itu sahaja disebabkan oleh amal-amal yang dilakukan oleh kalian."


~sumber majalah solusi.

Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...