Dunia ini suatu masa nanti akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu akhirat sahaja yang kekal. Orang yang mengejar dunia itu mencari harta dunia dan mencari pangkat dan kedudukan sekiranya ia melupakan akhirat semasa ia mencarinya dan tidak peduli halal atau haram atau merampas hak orang lain sebenarnya ia sedang dikuasai oleh dunia dan akan hanyut dibawa arus kebinasaan. Tetapi sekiranya seseorang mencari harta di dunia ini dengan mengikut peraturan Allah s.w.t. tidak melupakan kewajipan terhadap-Nya, tidak menipu, menindas, mengambil rasuah dan tidak mengambil hak orang lain maka harta itu akan membawa keberkatan dan disalurkan pula harta itu untuk zakat, sedekah jariah, infak di jalan Allah dan membantu fakir miskin maka harta itu sebagai alat yang membantunya mendapat keredhaan Allah dan akan menjadi saham akhirat.
Daripada Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah, "Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal ataupun haram." (H.R.Muslim)
Orang yang bijak adalah orang yang merasai bahawa hidup di dunia ini adalah sementara sahaja, ia tidak buru dunia siang malam hingga melupakan amal soleh, amal ibadah, dan melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Sebab ia tahu suatu hari nanti ia akan mati dan meninggalkan dunia yang fana ini. Ia akan meninggalkan anak-anak, isteri-isteri, kenderaan, rumah, ladang pertanian, saham-saham dan gedung-gedung perniagaan. Bila mati yang dibawa bersama adalah amal soleh yang telah dikerjakan semasa di dunia dulu.
Jika seseorang itu masih memikirkan cara-cara untuk mendapatkan kebendaan dunia tanpa mendekatkan diri kepada Allah, melupakan solat dan zikir kepada-Nya, maka tidaklah ada makhluk Allah yang paling rugi adalah insan sepertinya kerana setiap apa yang Allah ciptakan itu baik tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang atau apa saja makhluk ciptaan Allah semuanya berzikir memuji kebesaran Allah. Jadi siapakah makhluk yang paling rugi? Tidak lain manusia itu sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu,[kebahagiaan] negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari [kenikmatan] duniawi dan berbuat baiklah kamu [kepada orang lain] sepertimana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di [muka] bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (QS al-Qasas: 77).
Ingatlah! Hiduplah cara Islam, cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, jangan mengikut cara lain selain dari Islam. Selain cara Islam semuanya adalah penipuan ke atas manusia. Orang yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam adalah mereka itu orang-orang yang tidak redha kepada apa yang telah Allah tetapkan. Dan bagi mereka yang tidak redha kepada perintah Allah maka sudah semestinya mereka itu merasa malu sebab masih memduduki di bumi Allah dan hendaklah mereka itu tidak memakan sesuatu pun yang keluar dari bumi Allah.
Sahabat yang dikasihi, janganlah tangguh lagi, segeralah bertaubat kepada Allah dan lakukanlah ketaatan kepada-Nya kerana ajal itu tidak ada tarikh atau masa yang tetap yang kita ketahui, semuanya menjadi rahsia Allah. Umur muda bukan dan tidak sekali-kali menjamin kita hidup hingga umur yang tua, maut itu adalah seperti telur dihujung tanduk.
Apabila sudah sampai saat dan masanya ajal, maka kita akan bertemu Allah di alam barzakh dan segala jawapan yang akan diberikan nanti adalah amalan yang kita kerjakan ketika di dunia ini. Jika banyak amalan yang baik maka amalan tersebut akan tolong memberi jawapan dan sebagai peguam bela, tetapi jika amalan keburukan yang banyak maka tidak ada siapa yang dapat membantunya dan terimalah balasan azab siksa kubur yang amat dahsyat.
Yang amat malang lagi selepas alam barzakh ada alam lain yang lebih dahsyat siksaan dan penderitaan yang akan ditanggung iaitu di Padang Mahsyar dan siksaan api neraka jahanam.
Allah s.w.t. menyifati dunia dengan firman-Nya, "....Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan [sementara] dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal." (QS Al-Mukmin: 39)
Oleh itu marilah kita muhasabah diri kita sendiri, ambilah dunia seadanya dan salurkanlah apa yang ada di dunia ini untuk akhirat dan perbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan kita untuk bertemu Allah s.w.t. nanti.
Wallahu'alam.
~Ustaz Abdul Razak.