Berkata Al-Hassan Al-Basri, "Sesungguhnya Allah s.w.t. memaafkan kamu dalam kekeliruan, kelupaan dan yang apa dipaksakan kepadamu. Bahkan Allah juga memaafkan apa yang kamu tidak kuat melaksanakannya, serta dihalalkan kepadamu dalam keadaan darurat apa-apa yang telah diharamkan atas kamu. Bukan itu sahaja, tetapi Allah s.w.t. turut memberikan lima perkara ajaib untuk hambanya itu:
1. Memberi kepadamu kekayaan dari kurnia-Nya. Kemudian Allah meminjamkan daripada kamu, maka yang kamu berikan dengan sesuka hati, dilipat gandakan kepadamu dari sepuluh sampai tujuh ratus, bahkan sampai tidak dapat dihitung.
2. Mengambil daripadamu paksa, tetapi kamu rela dan sabar, maka Allah memberi kepadamu selawat dan rahmat-Nya.
3. Jika kamu bersyukur maka akan ditambah lagi kurnianya sebagaimana firman-Nya, "Dan ingatlah ketika nama Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah nikmat kepadamu. Tetapi jika kamu mengingkari nikmatku maka pasti azabku sangat berat." [Ibrahim: 7]
4. Andai kamu berbuat dosa sehingga kafir, kemudian bertaubat kepada Allah, maka Allah tetap memaafkan dan menyintaimu. Firman Allah yang bermaksud, "Allah suka kepada orang-orang yang bertaubat dan suka pada orang-orang yang bersuci." [al-Baqarah: 222]
5. Andaikan Jibril dan Mikail diberi sebagaimana yang diberi kepadamu, nescaya mereka merasa sudah luar biasa mendapat pemberian itu iaitu "Mintalah kamu kepada-Ku nescaya Aku terima permintaanmu." [al-Mukmin: 60]
MANFAAT BERSYUKUR
Bertambah nikmat dan kurniaan Allah
Sesungguhnya nikmat dan kurniaan Allah tidak terkira hebatnya, apa saja boleh dikira sebagai nikmat seperti nikmat kekayaan, kesihatan, kebahagiaan, ketenangan, kepandaian dan segala-galanya tidak ada batasannya. Ada juga ulama yang mengatakan nikmat itu adalah pertambahan pahala.
Seperti yang disebut didalam firman Allah, surah Ibrahim, ayat 7, "Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu; "Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras."
Membuka pintu rezeki
Bersyukur dengan nikmat kekayaan yang dimiliki akan menambah suburkan lagi kekayaan yang ada. Rezeki yang sedikit jika dipanjangkan akan menyuburkannya hingga menjadi bertambah banyak. Firman Allah dalam surah Ibrahim, ayat 37, "Wahai Tuhan Kami ! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, disisi rumah Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, ( mereka di tempatkan di situ ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat ). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka ( supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman semoga mereka bersyukur."
Sentiasa dilindungi Allah dan dijanjikan syurga.
Hamba yang bersyukur akan sentiasa dilindungi Allah dan terlepas dari seksaan yang sangat pedih dan dijanjikan syurga. Daripada Ibn Abas, Rasulullah bersabda maksudnya, "Tiga perkara siapa yang memilikinya nescaya Allah akan melindunginya di bawah lindungan dan Allah akan memberi rahmat kepadanya serta memasukkannya ke dalam syurga iaitu orang-orang yang apabila ia diberi sesuatu nikmat ia bersyukur, apabila ia berkuasa membalas tetapi ia memaafkan, apabila ia marah ia menahan kemarahannya."
~ sumber majalah Al-Islam.