PRODUKTIF KETIKA MUDA
Hakikat umur yang produktif adalah pada saat seseorang ketika usia muda kerana masa muda ibarat medan amal pencapaian segala ilmu yang diperoleh. Pada masa itu, semangatnya membuak-buak, cita-citanya menggunung tinggi, kurang hambatan dari sudut komitmen dan kesihatannya masih baik.
Seorang tabiin perempuan bernama Hafsah binti Sirin berkata, "Wahai sekalian anak muda, ekplorasilah seluruh kemampuan, kemahiran, kecekapan, bakat dan potensi kalian selagi masih muda, sebab saya tidak melihat kemungkinan untuk aktif dan produktif kecuali semasa muda."
Imam al-Nawawi pula berkata: "Semestinya seorang pelajar berusaha menghimpun pelbagai ilmu ketika masih muda. Ketika masih bertenaga, kemahuan yang tinggi, ketajaman daya fikir, kurang sibuk serta sebelum didatangi masa tua yang cenderung untuk berehat atau tidak bekerja."
SAMPAIKAN TIDAK PERASAN DITIKAM
Sayidina Umar sedang solat bersama jemaah di Masjid Nabawi. Beliau yang menjadi imam. Ketika sedang solat, lelaki Majusi; Abu Lu'lu'ah menikam Umar dengan pisau berkali-kali. Untuk melepaskan diri, dia juga turut menikam 13 orang lagi sahabat yang solat bersama.
Mereka cedera, namun solat masih diteruskan. "Tiada bunyi bising yang ketara. Sahabat yang melihat segera mengucap, Subhanallah ! Subhanallah ! Subhanallah !" Setelah mendengar tasbih di belakang, barulah Sayidina Umar tersedar bahawa beliau sudah ditikam!
Beliau kemudiannya menarik tangan Abdurrahman bin Auf, isyarat supaya menggantikannya menjadi imam. Jemaah yang berada di belakang tidak tahu apa yang berlaku. Masing-masing meneruskan solat sehinggalah selesai.
Setelah pulang, Sayidina Umar baru sedar bahawa dirinya parah. malah ia membawa maut!
KEBAIKAN TERBENTUK DENGAN WAKTU
Imam Ibn al-Qayyim berkata: "Tingkatan berfikir paling tinggi, paling agung serta paling bermanfaat adalah berfikir untuk Allah dan hari akhirat. Berfikir untuk Allah macam-macam.....Hal yang kelima: berfikir tentang tugas dan kewajipan waktu serta menghimpun seluruh azam untuk memaksimumkannya. Orang yang arif akan menjadi putera waktunya. Jika dia mensia-siakan waktu, seluruh kebaikan akan lenyap daripadanya." (Al-Jawab al-Kafi li man Sa'ala'an al-Jawabi al-Syafi'i)
Imam al-Syafi'i juga pernah berkata: "Aku pernah bersahabat dengan kaum sufi. Aku tidak memetik manfaat daripada mereka kecuali dua ungkapan bijak. Pertama: 'Waktu ialah pedang, jika engkau tidak mematahkannya, ia akan memenggalmu.'
Kedua: 'Dan nafsumu, jika engkau tidak membuatnya sibuk dengan kebenaran, ia akan menyibukkanmu dengan kebatilan.'"
Waktu yang dimiliki manusia, hakikatnya ialah umurnya. Sesiapa memanfaatkan masanya banyak bersama Allah, maka itulah hakikat hidup dan umurnya. Maka bagaimana pula jika umur seseorang banyak diperuntukkan untuk tidur, bermalas-malasan, membuka aib orang atau mengangkat-angkat kebaikan diri? Tepuk dada, tanya hati...