Ungkapan indah pada saat saya diuji itu adalah, "Berpisah tidak gelisah, bertemu tidak jemu, jika cintamu kerana Allah!" Ketika terasa peritnya bermujahadah, singgahlah kata-kata ini yang sehingga kini menjadi pegangan. "Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis." Ketika terlalu sukar memaafkan, lahirlah bisikan kata di hati ini, Memaafkan orang lain seperti memaafkan dirimu sendiri."
"Kata-kata yang indah
mengubat rasa yang gundah.
Kata-kata yang benar
membuat fikiran menjadi lebih besar.
Apabila keindahan dan kebenaran bergabung,
kata-kata akan menjadi kuasa
yang mampu mengubah jiwa!"
Mudah-mudahan hakikat inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam penegasan hadis:
Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf: telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada Zaid bin Aslam daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa dua orang daripada penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu kedua-duanya berkhutbah hingga orang hairan dengan penjelasannya. Lantas Rsulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandungi sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan ) tiu mengandungi sihir." (Sahih Bukhari)
Ini merupakan satu menafora untuk menggambarkan betapa kuatnya pengaruh pengucapan yang indah dan benar. Ia mempunyai 'rohnya' yang tersendiri. Jika lahir daripada hati, in sha Allah akan jatuh ke hati jua. Ia mempunyai kuasa merubah apa yang dirasai oleh hati yang difikirkan oleh akal.
Fikiran yang berkeladak boleh menjadi jernih apabila menerima kata-kata panduan dan pengajaran. Gerak yang lesu, kembali laju mendengar kata-kata yang bersemangat. Hati yang membara menjadi lega dipujuk oleh kata-kata sedingin salju. Lurus kata-kata adalah bayangan tulusnya jiwa.
Iman dan kata-kata yang baik sentiasa sinonim. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya."
Walau bagaimanapun, madah, ungkapan atau apa pun apa sahaja gubahan kata-kata tidak akan dapat menyaingi apatah lagi menandingi kebenaran dan keindahan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Malah kata-kata yang benar dan indah itu, jika ditelusuri pasti susur galurnya berpunca dari kedua-dua sumber itu jua. "Hidup adalah untuk diuji," kata ahli hikmah. Ia sebenarnya hanya mengulangi apa yang telah ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya: "Dijadikan mati dan hidup untuk kamu untuk diuji siapakah yang terbaik amalannya," (Al-Mulk: 1-2)
Para imam dan ulama yang begitu arif tentang al-Quran dan Sunnah itu pun turut menghasilkan syair dan madah. Bukan menafikan keunggulan firman dan sabda, namun siapakah yang dapat menahan gejolak rasa yang akhirnya meletuskan kata-kata. Melalui pengalamannya berdepan dengan kerenah manusia misalnya, Imam Syafi'ir.hm bermadah: "Aku mampu berhujah dengan sepuluh orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu."
Walaupun harapan menggunung mahu memberikan kebaikan dan ketenangan, pasti ada kesalahan dan kekurangan. Apabila menemui kekurangan dan kesalahan itu nanti, renungilah kata-kata daripada Sayidina Umar r.a. ini: "Janganlah sesekali kamu membuat andaian yang tidak baik terhadap kata-kata yang keluar dari mulut saudara kamu, sedangkan kamu mempunyai jalan untuk menjadikan kata-kata tersebut difahami secara baik."
~Ustaz Pahrul bin Mohamad Juoi.