Hidup dimulakan dengan tangisan, dicelah dengan tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Manusia dan tangisan tidak boleh dipisahkan. Sejak detik kelahiran lagi, seorang bayi telah menangis.
Apakah ertinya tangisan bayi?
Pakar perubatan berkata ia sebagai cara jantung mengepam oksigen yang lebih banyak.
Hakikatnya itu sunnatullah kepada kelangsungan hidup.
Ahli-ahli sufi pula mentafsirkan tangisan pertama itu tanda protes manusia kepada godaan syaitan yang mula menyesatkannya.
Nikmat atau hadiah buat seorang ibu selepas bertarung nyawa melahirkan. Betapa gembiranya seorang ibu apabila mendengar tangisan tersebut.
Oleh sebab tangisan itu fitrah dan tidak dapat dielak dalam kehidupan, maka Islam mengatur fitrah itu dengan syariat. Agar dengan tangisan itu, manusia mendapat pahala dan kebaikan, serta terhindar daripada dosa dan kejahatan. Jika kena pada sebab serta ketika, tangisan akan menjana kebaikan yang melimpah.
Ketahuilah bahawa menangis itu juga adalah ibadah. Tidak perlu ditanya tentang orang yang tidak pernah menangis. Namun yang mungkin perlu kita tanya pada diri, pernahkah aku merasai pengalaman seperti berikut?
Menangis kerana takut kepada Allah.
Menangis kerana rindu dan cinta kepada Allah.
Menangis kerana rindu kepada Rasulullah.
Menangis kerana belas kasihan dan rasa kasihan pada jenazah.
Menangis kerana khuatir dan simpati akan nasib umat Islam.
Menangis kerana membaca atau mendengar al-Quran.
Menangis kerana berdoa kepada Allah.
Ulama sufi mengatakan: "Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih Allah sukai daripada satu kebaikan yang menimbulkan rasa takabbur."
Ibn 'Ataillah pernah berwasiat: "Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih para wali."