Wednesday, 12 April 2017

KEJAR DUNIA JANGAN CICIR AKHIRAT, BURU AKHIRAT JANGAN TINGGAL DUNIA.



Islam adalah satu-satunya agama yang mengutamakan kebahagian hidup di dunia dan akhirat, malah Islam mahukan setiap penganutnya berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam kedua tempat.

"Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Bukanlah orang baik daripada kamu mereka yang meninggalkan dunia kerana akhirat semata-mata dan bukanlah juga baik jika ia meninggalkan akhiratnya kerana mengerjakan dunianya semata-mata sebaliknya, kerana dunia sebagai jambatan untuk menuju akhirat dengan sebab itu janganlah jadikan diri kamu itu kepayahan kepada orang lain."

Hadis di atas menerangkan bukanlah baik orang yang meninggalkan dunia kerana akhiratnya semata-mata, demikian juga tidaklah baik orang yang meninggalkan akhirat kerana mengerjakan dunia semata-mata. Sebaliknya orang yang dianggap baik oleh Islam ialah mereka yang bekerja untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Untuk dunia mereka semestinyalah berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat setinggi -tinggi kemajuan dan kedudukan mengikut jalan yang diredhai Allah, kerana kebaikan di dunia adalah sebagai jalan atau jambatan untuk menuju kepada kebaikan akhirat yang kekal abadi. 
Maka untuk mencapai kebaikan akhirat mestilah terlebih dahulu kebaikan di dunia dari segi kesihatan kebendaan (maddiyah ), keamanan, kemajuan dan lain-lain lagi diutamakan.

Dengan sebab itu Islam melarang keras seseorang itu hidup malas dan berdiam diri serta berpeluk tubuh dengan menunggu rezeki dari usaha orang lain. Nabi telah menegaskan orang yang bersikap sedemikian sebagai menyusahkan orang lain dan dipandang hina oleh masyarakat.

Maka, orang Islam mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kebahagiaan hidupnya disamping melakukan kerja-kerja akhirat. Disamping itu masyarakat sekeliling haruslah memberi sokongan dalam bentuk yang pelbagai dan wajar.

Tidak salah mencari kesenangan dan kekayaan, asalkan ianya dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Dengan kekayaan juga kita dapat meningkatkan ekonomi umat Islam dengan cara mengeluarkan zakat, sedekah dan sebagainya. Apa yang kita bimbang jika kekayaan kita ini mengheret kita ke arah kebinasaan dan menjadi punca kemurkaan Allah s.w.t.

Oleh itu sangat jelas ingatan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. , iaitu mukmin yang baik ialah mengejar dunia tanpa memcicirkan akhirat dan memburu akhirat tanpa meninggalkan dunia.
Mereka beramal dan beribadat dan dalam masa yang sama mereka berusaha mencari rezeki untuk keperluan hidup. Dunia adalah jambatan menuju akhirat, oleh itu pastikan usaha yang dilakukan di dunia dapat disalurkan ke akhirat. Lihat betapa cantiknya sistem muamalat yang diatur oleh Islam.

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah ( kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu,  dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al-Qashah:77)


sumber...kembara mencari hamba


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...