Maghrib yang bertamu bersama syahdu ini
Adalah kiriman dari syurga yang mengingatkan
Betapa neraka sedang berebut gilir dengannya
Untuk dipenuhi makhluk yang celaka
Dan syurga
Masih juga bertahan
Bersama taubat yang terluang
Untuk insan yang mahu pulang
KepadaNya
KepadaNya
Dalam sempit dada yang berombak
Dalam gamat hidup yang berselerak
Dan dalam lebat ujian yang sesak
Di situ ada Allah yang menghembus
Angin malam yang dinginnya mulus
Di situ ada cahaya yang mencerah
Pada lorong yang semakin pupus
Demi waktu pagi yang tenang
Demi waktu malam yang lapang
Janji Tuhan untuk manusia
Pada azab telah bertamu nikmat
Pada gelisah telah berlalu bahagia
Alam dan manusia
dan takdir
Sampai kiamat, sampai menjadi mayat
Berputar dan berputar.
Pada ketika kita merasa jalan semua sudah tertutup
Baliklah kepada Allah
Di situ kita ketemu cukup
Pada ketika kita hilang punca
Kembalilah pada Allah
Di situ kita tidak pernah dilupa
Pada ketika kita terasing
Pulanglah kepada Allah
Di situ kita hiburkan hati yang kering
Pada ketika kita tidak tahu dengan siapa mahu bercerita
Hadapkan wajah kepada Allah
Di situ Dia mendengar semua
Pada ketika kita mahu berputus asa
Mintalah pada Allah
Di situ hadir kekuatan dari-Dia.
Banyak senyap itu
Kerana ia menyimpan
Tentang tulis takdir hidup ia
Banyak sangka padanya
Kerana ia tidak bicara
Soal susurnya yang tersimpang
Jauh dari biasa
Dengan Tuhan ia percaya
Untuk berkongsi semua
Rahsia hidup yang tertutup
Tuhan jua yang mencipta.
Segan
Untuk mengajak teman sembahyang
Di waktu yang sangat terluang
Segan
Untuk menegah teman mengumpat
Meratah daging tak mengenal tempat
Segan
Untuk menyuruh teman menutup aurat
Takut dikata mengawal ketat
Segan
Untuk menyuruh teman kurangkan tawa
Sampai diri pun terbawa-bawa
Segan
Untuk menegur teman yang tenggelam
Di laut dunia imannya karam
Aku gementar
Jika banyaknya bersegan-segan
Tuhan pun sedang mengira
Untuk segan menatapku nanti.
~pemburu syurga.