Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Apa saja kebaikan yang orang lakukan kepada kita hendaklah kita ingat. Ini akan menerbitkan rasa menghargai dan terima kasih setelah menerima kebaikan itu.
Jika kebaikan daripada manusia kita mesti ingat dan hargai apatah lagi kebaikan pihak yang paling banyak memberi kebaikan, iaitu Allah s.w.t. Ingatlah kebaikan Allah terlalu banyak. Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita.
Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk mengenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya? Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, teidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?
LUPA
Lupakan kebaikan kita kepada orang.
Lupa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti. Kita bimbang dengan mengungkit itu akan ada hati yang terguris, akan ada perasaan yang terhiris. Lalu dengan mengungkit itu akan meruntuhkan pula pahala yang telah dibina. Maka sia-sia apa yang diusahakan.
"Hmmm kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!" kata Si Sombong.
"Huh...! Dasar tak mengenang budi, masa dia susah siapa yang tolong. Sudah senang...." cebik si dia.
Jangan begitu. Ingat amaran Allah s.w.t. di dalam al-Quran.
"Wahai orang -orang yang beriman! Jangan rosakkan [pahala amal] sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan [kelakuan yang] menyakiti, seperti [rosaknya pahala amal sedekah] orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia [riak], dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat." (Al-Baqarah: 264)
Dan yang paling penting jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya. Berapalah sangat ibadah kita jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakanNya. Kita lalai. Kita leka. Kita alpa. Namun tidak pernah berkurang sedikit pun nikmatNya kepada kita.
Mahu menghitung nikmatNya?
Tidak perlu, kerana telah habis air di lautan sebagai dakwat untuk menulisnya. Belum habis lagi nikmatNya yang mahu dicoret. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan melakukan semua perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya. Laba kebaikan pastinya untuk kita jua.
INGAT
Ingat keburukan kita kepada orang.
Ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Kita memang banyak melakukan kesilapan dan kesalahan baik pada tutur kata dan tingkah laku.
Kadang-kadang tanpa kita sedari kata-kata atau perbuatan kita menyakiti orang lain.
Kenangkan ia,ingatkan selalu. Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Kita tidak mahu menjadi hamba yang muflis takkala mendatangi Allah s.w.t. di hari akhirat. Lantaran kebajikan yang dibawa terpaksa diserahkan kepada orang lain dan tidak kurang pula keburukan orang lain pula terpaksa kita pikul. Segera memohon kemaafan agar segalanya jernih semula.
Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan sesama manusia, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah s.w.t. itulah yang paling melata, setiap masa setiap ketika, mohon keampunan daripada-Nya, istighfar selalu...kenang-kenangkan salah kita kepada-Dia.
Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada- Nya. Ingatlah kekurangan diri kita, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
~ sumber kembara mencari hamba.