Monday, 22 January 2018

SOLAT


"Solat satu-satunya cara untuk tulang rawan mendapat bekalan darahnya," hasil kajian yang dilakukan oleh Osman Imamoglu, penyelidik dari Fakuliti Sains Sukan Yasar Dogu, Universiti Ondokuz Mayis, Turki.

Penting sangatkah tulang rawan hingga kita perlu menjaganya dengan baik? Jawapannya, SANGAT PENTING! Tanpa tulang rawan yang ada pada persendian nescaya setiap pergerakan yang dilakukan akan mengundang rasa sakit. Tulang dengan tulang akan bergesel, hilang kelenturan, sakit sendi dan paling kronik kita akan lumpuh.

Jika mengikut cara moden, tulang rawan dijaga dengan melakukan aktiviti secara teratur dan senaman. Tapi orang Islam ada keistimewaan kerana kita diwajibkan solat.

Pergerakan dalam solat itu adalah salah satu cara untuk menjaga tulang rawan kekal sihat. Memang benar solat itu adalah salah satu cara untuk menjaga tulang rawan kekal sihat. Memang benar solat itu adalah ibadat yang diwajibkan tetapi disebaliknya banyak manfaat kepada tubuh orang yang mengamalkannya secara khusyuk.

Apa itu tulang rawan? Tulang rawan adalah tisu hidup yang sangat unik kerana ia tidak mempunyai bekalan darahnya sendiri dan cara untuk ia mendapatkan nutrien  dan oksigen ialah dengan menggerakkan  sendi-sendi yang mempunyai rawan. Jika sendi itu tidak bergerak [umpamanya  ketika menggunakan komputer] tisu rawan akan mati dan haus., lalu menyebabkan artritis, sakit sendi dan lumpuh.

Sebab itulah dalam al-Quran diperintahkan solat kepada kita, ".... dan dirikanlah sembahyang [dengan tekun] ; sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar....." [al-Ankabut: 45]

Nabi s.a.w. bersabda, "Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingati mati dalam solatnya, maka ia akan memperelokkan solatnya. Solatlah seperti  orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya)." [HR al-Baihaqi dalam kitab al-Zuhd]



KESAN FIZIKAL

menurut Osman Imamoglu, setiap gerakan dalam solat boleh dianggap sebagai senaman regangan, namun pergerakannya amat lembut dan mudah untuk dilakukan oleh orang pelbagai usia dan keadaan.

Otot yang mengendur dan meregang bersilih ganti apabila bersolat menghasilkan fleksibiliti tanpa mengundang rasa penat. Apabila kajian dilakukan, didapati  gerakan dalam solat ini menyamai pergerakan yang dilakukan dalam yoga dan pilates. Namun begitu bukan bermakna kita menggalakkan orang Islam melakuakan yoga kerana solat itu jauh lebih baik.

Dengan mengkaji pelbagai gerakan dalam solat, Osman Imamoglu mendapati bukan hanya gerakan utama dalam solat yang bermanfaat, malah gerakan kecil seperti ketika iktidal, turun untuk bersujud, bangun dari posisi bersujud untuk berdiri, kedudukan tangan dan kaki semasa bersujud juga mempunyai kesan tersendiri.

Gerakan solat ini membantu proses pemulihan pesakit yang berumur dengan memperbaiki aliran darah dan menambah kecergasan otot dan tulang. Berdiri, rukuk, sujud dan duduk dalam jangka pendek adalah senaman ringan yang tidak memerlukan banyak tenaga dan membantu kesihatan mental dan fizikal seseorang. Segala pergerakan dalam solat mempunyai kesan secara langsung dan tidak langsung pada seluruh tubuh.

"Solat memperbaiki postur, meningkatkan pengambilan oksigen dan menambah fungsi sistem pernafasan, aliran darah, endokrin dan perkumuhan.

"Ia juga menguatkan ligamen dan tendon, mengelakkan kecederaan otot dan sendi, merehatkan mata, menyingkirkan cas elektrik dalam badan, artritis, hipertensi dan vena varikos.

"Fungsi organ seperti otak, jantung, perut, pundi kencing, pankreas, buah pinggang dan salur kencing juga bertambah baik apabila seseorang melakukan solat," penjelasan Osman Imamoglu.


Friday, 19 January 2018

MUTIARA KATA USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI



Bagaimana kita boleh berbangga sedangkan apa yang kita miliki hanyalah pinjaman semata. Semuanya milik Allah. 

Semua rezeki yang kita dapat, datang dari Allah. Kita berusaha dengan kudrat yang dipinjamkan Allah. Jadi, orang yang berbangga sebenarnya alpa bahawa dia hanyalah hamba Allah.

Hidup ini dicipta Allah, begitulah segala yang ada di dalamnya. Tidak ada satu pun milik kita.

Malulah sekiranya kita berani mendabik dada, bahawa semua kelebihan yang ada pada diri kita, datang daripada diri kita sendiri.

Sungguh, tidak malunya kita kepada Allah. Mengaku memiliki sesuatu yang bukan pun milik kita. Jika ada yang memuji, pujian itu sebenarnya bukan untuk kita tapi untuk Allah.

Awaslah, kalau kita disanjung dan dipuja, jika kita merasakan kita layak menerima semua itu, kita sebenarnya sedang layak menerima kehinaan.




Penyakit orang sombong ialah sukar mendengar. Sedangkan mendengar itu tugas cinta yang pertama. Justeru, orang sombong akan gagal dalam bercinta....samada bercinta dengan Allah mahupun dengan manusia!


Kalau tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu paksa diri untuk suka apa yang kita dapat. Kita bukan tuan, lebih-lebih lagi  kita bukan Tuhan.

Apa yang kita tidak minta, jangka dan suka akan sentiasa datang dalam kehidupan. Belajar 'menerima' sama penting dengan belajar 'melepaskan'...

Hati umpama tangan, jangan terlalu menggenggam [kedekut] dan jangan terlalu terbuka[boros].

Ingat itu wahai diri, akan kau tidak sentiasa 'berperang' dengan diri sendiri, manusia, alam dan Tuhan!



Penasyid adalah pendakwah...yang diadili oleh Allah, Rasul dan orang mukmin pada amalan serta akhlaknya bukan hanya pada alunan nashidnya.

Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada [Allah] Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan [At-Taubah:105]

Masih tidak yakin?
Sedangkan Tuhan telah menegaskan sehingga dua kali....
"Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." [Surah al-Insyirah: 5-6]


"Ketika sudah lelah mencari pintu kebaikan tetapi tidak bersua jua...sudahlah, tidak ada rezeki lagi di situ. Yakinlah bahawa Allah sedang membuka pintu yang lebih baik untukmu."



Hanya Allah.




Monday, 15 January 2018

KEMATIANNYA DITANGISI RSULULLAH



Nama beliau ialah Mus'ab bin Umair bin Hashim bin Abdul Manaf bin Abdul al-Dar bin Qushay bin Kilab al-Quraisyi. Beliau berketurunan bangsawan Quraisy dan datang daripada keluarga yang kaya. Beliau lahir 14 tahun selepas kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mus'ab bin Umair seorang anak yang sangat disayangi ibunya. Beliau dikenali dengan penampilannya yang kemas, pakaiannya diperbuat daripada kain yang mahal, rambutnya sentiasa bersikat rapi dan memakai wangian yang harum.

Suatu hari, beliau mendengar tentang Rasulullah s.a.w. yang mengajarkan 'agama baharu' di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Beliau menghadiri majlis ilmu tersebut dan mendengar alunan al-Quran yang dibacakan oleh Baginda.

Apabila mendengar alunan al-Quran, jiwanya terasa tenang, lalu beliau mengambil keputusan menerima Islam. Ketika itu dakwah masih berada di peringkat rahsia. Justeru, Mus'ab mencari masa untuk menghadiri majlis Rasulullah s.a.w. secara diam-diam.

Namun, tindakannya menyertai umat Islam disedari oleh seorang Musyrik bernama Uthman bin Thalhah. Berita tentang Mus'ab  memeluk Islam segera dilaporkan kepada ibu beliau.


KEMEWAHAN MUS'AB DITARIK

Ibu Mus'ab seorang wanita yang tegas, penyembah bahala yang tegar. Apabila mengetahui puteranya telah meninggalkan sembahan bahala, dia amat marah dan berusaha mengajaknya kembali menyembah berhala,

Apabila semua pendekatan yang dibuatnya gagal, maka penganiayaan fizikal mula dikenakan kepada Mus'ab. Beliau tidak diberi makan dan minum serta dikurung oleh keluarganya. Namun semua usaha menemui jalan buntu kerana Mus'ab istiqamah dalam Islam. Mus'ab akhirnya dihalau keluar dari rumah sehelai sepinggang.

Para penduduk Mekah melihat Mus'ab seorang yang hebat dan bergaya kini tidak memiliki apa-apa kemewahan lagi. Semuanya demi mempertahankan akidah dan keimanannya.

Ali bin Ali Talib berkata, "Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah s.a.w. di masjid, kemudian muncul Mus'ab bin Umair dengan mengenakan kain burdah yang kasar dan bertampal. Ketika Rasulullah s.a.w. melihatnya, Baginda menangis kerana teringat akan kenikmatan yang Mus'ab dimiliki dahulu berbanding dengan keadaannya sekarang." [Riwayat Tirmizi]

Ketika tekanan kepada umat Islam semakin kuat, Mus'ab antara yang tidak terlepas daripada ujian ini. Rasulullah s.a.w. mengarahkan Mus'ab berhijrah ke Habsyah bersama beberapa orang sahabat lain. Beliau pernah kembali ke Mekah dan mengikuti rombongan kedua yang berhijrah ke Habsyah semula. Ketika itu tubuhnya kurus dan memakai pakaian yang bertampal.

Mus'ab seorang yang cergas dan memiliki ilmu pengetahuan yang mantap tentang Islam. Rasulullah s.a.w. telah memilih beliau untuk dihantar menjadi pendidik ke Madinah. Tugas beliau adalah berdakwah dan mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Tugas yang berat ini berjaya dilaksanakannya sebelum Baginda sampai ke Madinah. Penduduk Madinah menerima dengan senang hati dakwah Mus'ab.


TRAGEDI PERANG UHUD

Semasa perang Uhud, Mus'ab telah dipilih untuk membawa bendera Islam. Mus'ab tetap teguh memegang bendera Islam serta melaungkan kalimah agung untuk menarik perhatian musuh agar Rasulullah s.a.w. tidak menjadi sasaran mereka.

Laugan Mus'ab benar-benar menarik perhatian musuh bernama Ibn Qumaiah yang menyangka Mus'ab ialah Rasulullah s.a.w.. Ibn Qumaiah meluru pantas menunggang kudanya lalu menebas tangan Mus'ab hingga putus. Namun Mus'ab  tetap melaungkan ayat al-Quran yang bermaksud: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul." [Surah Ali Imran 3:144]

Ibn Qumaiah menebas tangan Mus'ab yang satu lagi dan menikam dadanya dengan tombak sehingga akhirnya beliau gugur syahid. Rasulullah menyerahkan bendera kepada Ali bin Ali Talib.

Abu Hurairah menceritakan. "Setelah perang Uhud selesai, Rasulullah s.a.w. mencari para sahabatnya yang gugur. Ketika melihat jasad Mus'ab bin Umair yang syahid dengan keadaan yang menyedihkan, Baginda s.a.w. berhenti, lalu mendoakan kebaikan untuknya. Baginda membaca ayat al-Quran, daripada surah al-Ahzab ayat ke 23, maksudnya: "Antara orang mukmin ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah [janjinya]."


KAIN KAFANNYA SINGKAT

Kain kafan untuk menutup jasad Mus'ab tidak cukup panjang, apabila ditarik ke atas untuk menutupi kepalanya, maka terbukalah kedua-dua kakinya. Apabila ditutupkan  ke kakinya, terbukalah kepalanya. Rasulullah bersabda , "Tutupkanlah bahagian kepalanya dengan kain dan bahagian kakinya dengan rumput izkhir."

Rasulullah bersabda di hadapan para sahabat apabila melihat jasad Mus'ab, "Ketika di Makkah dahulu, tidak ada seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripada Mus'ab. Tetapi sekarang ini, rambutmu kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah."

Mus'ab wafat setelah 32 bulan Nabi berhijrah ke Madinah pada usia 40 tahun. Moga Allah s.w.t. meredai dan memuliakan Mus'ab.



TIDAK ADA YANG SAMA DENGAN MUS'AB

Al-Zubair bin al- Awwam mengatakan, "Suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk dengan para sahabat di masjid Quba, lalu muncul Mus'ab bin Umair dengan kain burdah yang tidak menutupi tubuhnya dengan sempurna.

Orang yang berada disekelilingnya menundukkan kepala. Kemudian dia mengucapkan salam. Mereka menjawab salamnya. Nabi s.a.w. memuji dan mengatakan perkara yang baik-baik tentangnya.

Lalu Baginda bersabda, "Sungguh aku melihat Mus'ab semasa bersama kedua-dua orang tuanya di Makkah, mereka memuliakannya dan memberinya pelbagai kemudahan dan kenikmatan. Tidak ada pemuda-pemuda Quraisy yang sama dengan dirinya. Kemudian, dia tinggalkan semuanya itu demi mencari reda Allah dan meolong Rasulnya..." [Riwayat al-Hakim]


DOA-DOA MUNAJAT PILIHAN




YA ALLAH KABULKAN



1.     DIAMPUN SEGALA KESILAPAN.

"Wahai Tuhanku, ampunilah kesalahanku, kejahilanku, sikap berlebih-lebihan dalam semua perbuatanku dan apa jua kesalahan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku." [Riwayat al-Bukhari]


2.     DIPERBAIKI URUSAN DUNIA DAN AKHIRAT.

"Ya Allah perbaikilah agamaku yang menjadi benteng urusanku, perbaikilah duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah akhiratku yang menjadi tempatku kembali. Jadikanlah kehidupan ini buatku mempunyai tambahan dalam kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kerehatan untukku daripada segala keburukan."


3.     DIBERIKAN RAHMAT DAN KEBAIKAN.

"Ya Allah, tambahkanlah kebaikan buat kami dan janganlah kurangkannya untuk kami, muliakanlah kami dan janganlah hinakan kami, berilah kepada kami kebaikan dan janganlah dihalang daripada kami, menangkanlah kami ke atas mereka (musuh) dan janganlah mereka menang ke atas kami, redalah kepada kami dan jadikan kami orang yang reda." [Riwayat al-Tirmizi]


4.     DITUTUP AIB DAN DIBERI PERLINDUNGAN.

"Ya Allah, tutuplah aibku, selamatkanlah apa yang aku pelihara, lindungilah daku daripada bahaya di hadapanku, di belakangku, di kananku, di kiriku dan di atasku serta aku berlindung denganmu daripada bahaya yang tidak aku sangka di bawahku." [Riwayat Ibn Majah]


5.     DIJAUHKAN DARIPADA FITNAH.

"Ya Allah, daku mohon kepada-Mu segala kebaikan dan dijauhi segala kemungkaran, diberi rasa cintakan orang yang miskin, diterima setiap taubatku. Jika Engkau menguji manusia dengan fitnah maka matikanlah daku dalam keadaan tidak tertimpa fitnah." [Riwayat Ahmad]


6.     DOA PELBAGAI HAJAT.

"Ya Allah, daku mohon kepada-Mu segala yang membuatkan rahmat-Mu wajib hadir, serta perkara yang boleh mendatangkan keampunan-Mu, limpahan segala kebaikan, dan keselamatan daripada segala dosa. Aku mohon agar tidak meninggalkan dosaku melainkan Engkau telah ampunkannya, tiada kesedihan melainkan Engkau hapuskannya, tiada hajat yang Engkau redai melainkan Engkau penuhinya." [Riwayat Ibn Majah]


7.     DIBERI KETEGUHAN IMAN DAN NIKMAT YANG KEKAL.

"Ya Allah, daku mohon kepada-Mu keimanan yang tidak tertolak, nikmat yang tidak hilang dan bersama Nabi-Mu; Muhammad di syurga al-Khuld yang tertinggi." [Riwayat Ahmad]


8.     DIJAUHKAN DARIPADA AZAB ALLAH.

"Ya Allah, daku berlindung dengan reda-Mu daripada kemurkaan-Mu, aku berlindung dengan ampunan-Mu daripada hukuman-Mu, aku berlindung kepada-Mu daripada azab-Mu, tidak mampu aku hitung pujian ke atas-Mu. Engkau adalah sebagaimana yang Engkau puji terhadap diri-Mu." [ Riwayat Muslim]


Sunday, 14 January 2018

ADA RINDU BERBISIK...



Aku tahu hidup selalu menawarkan banyak rencana, pun banyak perubahan. Bila suatu saat kita diharuskan berpisah puluhan bahkan ratusan kilometer, aku akan tetap mencintaimu. Pun seandainya kita ditakdirkan tidak lagi berjarak, aku selalu mencintaimu. Ya, ini bukan perihal jarak atau perubahan. Ini perihal betapa kau kucintai...

~Katanya rindu itu berat tapi sebenarnya rindu hanya perlu tuk bertemu.

Waktu, selalu jadi hal yang berharga bagiku. Waktu-waktu saat kita tidak bersama, waktu-waktu saat kau tidak ada di sisiku, waktu-waktu saat aku sendirian, adalah waktu-waktu di mana kau semakin kurasa begitu berharga dalam hidupku...


Perhatikan cara aku memperhatikanmu.
Apakah sudah mampu kamu rasakan dengan hati bahawa ada yang dengan begitu perhatian telah mengetahui segala hal tentang kamu?

Aku tahu yang akan kamu lakukan saat kamu kesal.

Aku tahu yang akan kamu lakukan saat kamu sedih.

Aku tahu yang akan kamu lakukan saat kamu sedang ingin bergurau.

Aku tahu semua kebiasaanmu.

Aku tahu.

Perhatikan cara aku mengingatkanmu
tentang segala hal yang kau anggap tak penting.

Apakah sudah sanggup kamu rasakan,
bahawa ada yang begitu rela meluangkan waktunya untuk sekadar menghindarkanmu dari lupa...

Jangan lupa sarapan.

Jangan lupa makan siang.

Jangan lupa solat.

Jangan lupa pakai jaket, cuaca sedang tak bersahabat.

Jangan lupa mengunci rumah.

Jangan lupa minum yang cukup.

Ah tenang, aku tahu kamu tidak amnesia.

Perhatikan caraku mendoakanmu.

Ah, mungkin nanti Tuhan akan membantumu.

Kerana hanya Dia Yang Maha Tahu.

Tuhan, lindungi dia di mana pun dia berada.

Mudahkan segala urusannya.

Ringankan langkah kakinya.

Lapangkan dadanya.

Perbanyakkanlah rezekinya.

Dan bahagiakanlah dia.

Perhatikan caraku mencintaimu.

Semoga kamu tahu.

Itu lebih besar dari cintaku pada diriku.

Apakah ada yang salah dengan itu?

Tidak.

Kerana cinta yang benar adalah benar.

~Tia setiawati.



TENTANG MENJAGA



Menghafal al-Quran akan mengajari kita bahawa menjaga selalu terasa lebih berat daripada mendapatkan, tapi darinyalah kamu akan memahami erti penting komitmen dan tanggung jawab.

Seandainya kamu tahu tingginya usaha untuk menjaga daripada mendapatkan, nescaya kamu akan bersyukur dan tidak akan semudah itu untuk melepaskan atau melupakan.

Seprti halnya seorang ayah yang telah merawat puteri kesayangannya sejak kecil, menjaganya dengan penuh kasih sayang dan tak akan mudah melepaskannya untuk seorang lelaki yang mau tak mau yang harus dipercayainya.

Bisa jadi sebesar apa perjuangan kamu dalam menjaganya, sebesar itu pula cintamu kepada-Nya.

~quraners.




Saturday, 13 January 2018

CETUSAN HATI



Kita akan selamanya dikaburkan dengan kelam, jika mata hati terus memandang titik-titik hitam.Putihkan mata hati kau yang telah terpadam dengan warna suram. Kata Sheikh Omar Sulaiman salah satu tanda orang yang cantik ialah dia sering mendapati adanya keindahan pada insan-insan lain. Moga hatimu terus cantik pada sisi pandang Tuhan.





Atas apa pun yang kau rasa begitu susah, kumohon jangan mudah untuk menyerah. Kerana yang bererti perlu untuk kau perjuangkan sepenuh hati.


Kesederhanaanlah...bukan kemegahan, yang lebih mudah mengundang doa-doa yang tulus dan rahsia. Dan juga cinta.



Jika kau merasa besar, periksa hatimu.
Mungkin ia sedang bengkak.

Jika kau merasa suci, periksa jiwamu.
Mungkin itu putihnya nanah dari luka nurani.

Jika kau merasa tinggi, periksa batinmu.
Mungkin ia sedang melayang kehilangan pajakan.

Jika kau merasa wangi, periksa ikhlasmu.
Mungkin itu asap dari amal solehmu yang hangus dibakar 'riya'

~Salim A Fillah.






Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...