Thursday, 21 December 2017

SIMPAN BAIK-BAIK



Dr. Salman al-Audah dalam bukunya Syukran Ayyuha al-A'ada' [Terima kasih para musuhku] membuat satu perumpamaan yang cukup menarik: "Perhatikan mereka yang memungut sampah. Setiap dari rumah kita akan menghasilkan sampah saban hari. Setiap kali sampah dikutip, kesemuanya akan dimasukkan ke dalam lori khas yang bertutup dan ada pula sistem yang memampatkan sampah lalu disimpan di ruangan khas. 

Tidak ada yang mempamirkan sampah itu mahupun dibiarkan terbuka sehingga bau busuknya menyakitkan sekalian penduduk. Tidak pula sampah dijaja dan dipertontonkan di sekeliling kota kerana ia sesuatu yang menjijikkan.

Jika sampah yang mahu dibuang disorok sedemikian rupa, apatah lagi dosa, kekurangan dan aib manusia? Sudah pasti ia lebih berhak untuk disorokkan, tidak dijaja apatah lagi untuk dipertontonkan di khalayak ramai..."

Analogi ini sangat baik untuk kita tekuni. Allah s.w.t. meletakkan satu perinsip yang tegas mengenai perbuatan menyebarkan keburukan dan keaiban. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." [Surah al-Nur 24:19]

Inilah janji Allah dan ancaman yang keras daripada-Nya. Persoalan menyebarluaskan aib dan keburukan bukanlah sesuatu yang patut dipandang remeh. Ironinya, inilah yang menjadi perbualan hangat dan fokus utama manusia hari ini.  Itulah berita dan cerita paling sensasi yang tanpanya seolah-olah dunia sunyi dan sepi.

Rasulullah s.a.w.  mengajar kita kaedah-kaedah terpenting dalam interaksi dan akhlak sesama manusia: "Sesiapa yang melepaskan daripada seorang Mukmin satu kesusahan daripada mana-mana kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan pada hari kiamat.

Sesiapa yang memudahkan seseorang yang sedang dalam keadaan kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusan dunianya dan juga urusannya nanti di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Demikian Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya menolong sesama saudaranya." [Riwayat Muslim]

Allah menutup keaiban di akhirat dengan cara mengampunkan dosa tanpa ditanya, juga tidak dipertontonkan di khalayak sekalian makhluk. Ganjaran hebat ini bukanlah calang-calang tawaran kerana terbukti ramai yang tidak mampu menjadi calun-calunnya di dunia.



CALUN AHLI SYURGA

Nabi s.a.w. memperkenalkan salah seorang calun syuga daripada kalangan para sahabat bernama Sa'ad bin Abi Waqqas r.a. Beliau kemudiannya memasuki majlis Nabi dalam keadaan basah dek wuduk yang diambilnya.

Hal itu mendatangkan rasa ghibtah [cemburu yang positif] daripada kalangan sahabat lain terutamanya Abdullah bin Amru bin al-As r.a. hingga dia mengekori Sa'ad hingga ke rumahnya. Dia lantas bertanyakan rahsia pencalunannya ke syurga.

Jawab Sa'ad: "Aku tidaklah sehebat manusia lain dalam urusan ibadah mahupun ketaatan. Namun aku sama sekali tidak mempunyai prasangka buruk kepada sesiapa pun termasuk tidak berkata buruk tentang sesiapa pun."

Balas Abdullah: "Sungguh, Inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh mana-mana manusia." [Riwayat Ahmad]

~sumber majalah solusi.




Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...