Thursday, 8 February 2018

CETUSAN HATI



Perjalanan yang akan membuat kita mengerti
Waktu yang akan membuat kita lelah menunggu
Mengharap sebuah kepastian bukan hanya tentang sabar


Kesunyian juga, adalah suara nyaring di dalam diri kita masing-masing
Itu sebabnya kita tahu dan mengerti, mencintai setultus hati.


Bila jarak adalah alasanmu diam-diam pergi.
Mungkin kau belum mengerti bahawa cinta adalah ia yang melapangkan hati.


Kesedihan mungkin benar.
Sudah tidak ada lagi kau yang dulu
Yang dulu selalu menghargai rindu.


Kita tahu cinta adalah kekhuatiran.
Entah rindu atau juga kesedihan sebab setelah itu selalu ada perpisahan.


Jatuh cinta kadang membuat air mata jatuh lebih jauh dari batasannya.
Jatuh cinta yang bermula dari tatapan, sering berakhir hanya dengan ratapan.

Kamu masa lalu, yang tak lagi aku memilikimu.
Jadi biarlah rindu sebatas mendoakan.
Memejam yang baik adalah mendoakan kehadiranmu diingatan....
Setelah jalan-jalan rindu berliku. Kita mungkin hanya cerita,
yang ditiadakan akhirnya.

Ingatan selalu jadi tempat pulang.
Untuk hal-hal yang mungkin tak bisa lagi kita ulang.
Adakah kau mengingatku?
Jika tidak cukup berani menerima perasaan setidaknya kau
pandai-pandailah menghargai.

Cintamu langit, yang kerap kali menitiskan hujan-hujan kenangan.
Aku payung yang menadah dingin sendirian...
Ingatan adalah ruang yang menggema.
Bila kuingat lagi dirimu, suara-suara hati seolah tak berhenti menangis.

~@ketikajauh

Wednesday, 7 February 2018

UNTUNGNYA APABILA SIHAT



Tiada manusia yang ingin jatuh sakit. Kerana sakit satu kerugian. Rugi masa, rugi usia, rugi wang ringgit. Segala-galanya akan merugikan.

Seseorang pesakit lazimnya:

Emosi kurang stabil. Seringkali menjadi pemarah kerana ketidakselesaan.

Kemampuan terhad dalam melakukan banyak perkara.

Ibadah terganggu, tergendala dan kurang sempurna.

Rasa rendah diri.

Fikiran terganggu.

Namun berbeza sekiranya sihat. Banyak perkara yang boleh dilakukan dan banyak perkara yang menguntungkan. Tidak perlu pergi jauh, kita hanya melihat kepada tiga perkara utama, secara tidak langsung akan menerangkan keseluruhan manfaatnya.


HUBUNGAN DENGAN ALLAH.

Apabila sihat, hubungan dengan Allah lebih berkualiti dan intim. Segala suruhan-Nya mampu terlaksana dengan sempurna dan mengikuti piawaian-Nya.

Misalnya solat, puasa, apatah lagi umrah dan haji. Kesemuanya memerlukan kita mengerahkan seluruh anggota badan yang sihat untuk melaksanakan dengan sempurna.



MENGAMALKAN SUNNAH.

Menjaga kesihatan ini bukanlah suatu pilihan. Tetapi ia adalah tuntutan dan kewajipan. Kerana hidup secara sihat merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah yang sering dilupakan.

Lihat saja kehidupan Rasulullah dalah sirahnya, penampilan dan segala-galanya menunjukkan Baginda sangat mementingkan kesihatan.

Secara tidak langsung bukan sahaja badan kita sihat, tetapi buku amalan kita juga terus dicatat berpahala kerana beramal dengan sunnah Baginda ini.



HUBUNGAN SESAMA MANUSIA.

Lazimnya, orang yang sakit sentiasa merasakan dirinya serba kekurangan. Seterusnya menyebabkan tahap keyakinan diri pun berkurangan.

Berbeza bagi mereka yang bertubuh badan yang sihat. Secara psikologinya ia bukan sahaja mampu memperbaiki penampilan seseorang, namun turut mempengaruhi keyakinannya dalam bersosial.

Secara tidak langsung potensi diri mampu diterobos untuk berjaya!



NAK SIHAT? DENGARLAH NASIHAT!

Hakikatnya, nikmat kesihatan ini bukan sekadar anugerah, tetapi juga amanah. Ertinya, ia perlu dijaga dan dilindungi mengikut arahan 'pemberi amanah'. Langsung kita sebagai pemegang amanah boleh melakukan sesuatu ke atasnya sesuka hati kita.

Dalam masa yang sama, terpulang kepada 'pemberi amanah' untuk mengambilnya pada bila-bila masa tanpa boleh dihalang oleh sesiapa. Justeru, apabila kita 'mengimani' nikmat sihat ini sebagai amanah, pastinya kita terdorong untuk menjaga dan memeliharanya dengan baik.

Oleh sebab itu, orang beriman akan sentiasa memelihara kesihatannya, seterusnya memanfaatkannya untuk tujuan kebaikan dan ketaatan. Dia sentiasa dihambat oleh persoalan-persoalan seperti apa yang telah kita lakukan ketika sihat? Apakah bekalan yang telah disediakan untuk dibawa ke akhirat? Apakah setiap detik yang digunakan ketika sihat ini dicatat sebagai pahala atau dosa?

Kesemua persoalan-persoalan ini akan menambahkan keimanan, sekaligus menolongnya berhati-hati menggunakan nikmat yang diamanahkan ini. Justeru, peliharalah kesihatan kali pertama ini. Kerana kesihatan tiada buat kali kedua jika tidak dipelihara sebaiknya.


MAKANAN YANG DISEBUTKAN DALAM AL-QURAN DAN HADIS.


1.     Beras
2.     Gandum
3.     Barli
4.     Kurma
5.     Zaitun
6.     Anggur
7.     Bidara
8.     Delima
9.     Pisang
10.   Tembikai
11.    Cuka buah
12.    Labu
13.    Timun
14.    Peria
15.    Bawang
16.    Habbatus sauda
17.    Halba
18.    Halia
19.    Daging unta
20.    Daging lembu
21.    Daging kambing
22.    Ikan
23.    Susu
24.    Keju
25.    Madu


Nasihat ibn-Qayyim al-Jauziyiyyah

Empat perkara punca penyakit tubuh badan;

1. Banyak bercakap
2. Banyak tidur
3. Banyak jimak
4. Banyak makan


Empat perkara yang merosakkan badan;

1. Kesedihan
2. Kemurungan
3. Berjaga malam
4. Kebuluran


MASA EMAS



Dalam kehidupan anda, anda tidak mempunyai waktu lain selain yang telah ditetapkan oleh Allah untuk anda. Anda tidak boleh menabung atau menyimpan waktu sebagaimana anda menyimpan wang dan harta yang anda usahakan. Anda juga tidak akan mampu  menghentikan atau menggerakkan waktu sesuka hati anda sebagaiamana anda menggerakkan kenderaan setiap hari...


Imam Hasan al-Basri mengatakan:

"Wahai Anak Adam, engkau hanyalah sejumlah hari-hari yang mampu dihitung. Setiap kali satu hari berlalu pergi, maka setiap kali itulah sebahagian dirimu telah pergi. Jika sebahagian dirimu telah berlalu pergi, maka lambat laun seluruh hidupmu pasti akan berlalu pergi."



USAH KAU ZALIMI DIRIMU



Usah Kau Zalimi Dirimu

Ramai manusia tidak mencintai diri mereka sendiri. Disedari atau tidak, majoriti manusia telah, sedang dan akan mencampakkan diri mereka ke dalam jurang kebinasaan dengan perbuatan menzalimi diri mereka sendiri. Sejarah manusia bukan sahaja diwarnai oleh penzaliman manuisa terhadap manusia lain, tetapi terhadap diri sendiri. 

Berikut bentuk-bentuk kezaliman terhadap diri sendiri:

Sesiapa yang menyekutukan Allah, sudah pasti dia telah menzalimi Allah. Orang yang mempersekutukan Allah dikatakan zalim kerana dia telah memberi kuasa yang menjadi hak mutlak Allah kepada makhluk lain. Perbuatan ini sedikit pun tidak memudaratkan Allah. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Allah tetap agung walaupun cuba diperkecil oleh hamba-Nya.


Dengan melakukan maksiat, kita telah menjerumuskan diri kepada jurang kezaliman. Kita sendiri sedang menempah kesusahan di dunia dan di akhirat. Bukan itu seolah-olah sengaja menempah tiket ke neraka? Bukankah ini menzalimi diri sendiri?



Apabila seseorang kufur terhadap nikmat Allah, maka dia telah mendedahkan dirinya kepada azab. Allah benci kepada orang yang tidak bersyukur dan memberi peringatan untuk mengazabnya. Ramai orang menzalimi diri sendiri akibat tidak bersyukur.


Menahan harta akan menghalang turun rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah. Hidup seseorang itu akan sentiasa diselubungi rasa takut, bimbang, tamak, hasad dan sifat mazmumah lain. Ini akan menjejaskan kualiti hidup seseorang kerana kualiti yang sebenar adalah kualiti jiwa, bukan kualiti harta.


Zalim terhadap orang lain termasuk menzalimi diri sendiri. Antara contoh menzalimi orang lain ialah perbuatan seseorang merampas hak, mendatangkan mudarat serta membahayakan harta, maruah, agama, keluarga dan tubuh badan orang lain. Zalim sesama manuisa berlaku apabila kita melanggar hak orang lain, samada secara paksa atau halus, samada dalam bentuk fizikal, jiwa dan perasaan. Islam melarang kita menimbulkan kerugian kepada orang lain.



Monday, 5 February 2018

HANYA DENGAN RAHMAT-NYA



Berbicara barang sebentar berkaitan RAHMAT Allah s.w.t. Kadang-kadang orang tersilap dalam memahami kedudukan sebenar rahmat. Ada rahmat yang diturunkan buat umat sebagai ujian dan cubaan. Dan ada juga rahmat yang diturunkan Allah s.w.t. sebagai salah satu pemberian dan anugerah darinya.

Untuk mnegetahui asasnya, wajar untuk kita merenung sedikit betapa agungnya Rahmat Allah s.w.t. Dalam al-Quran al-Karim, perkataan rahmat boleh ditemui sebanyak 124 kali dalam ayat dan surah yang berbeza. Terkadang ia membawa maksud mengasihani, juga kasih sayang serta belas ihsan. Perhatikan antara contoh ayat rahmat yang dipaparkan.

Rahmat Allah Luas

Rahmat Allah s.w.t. tersangat luas sebenarnya. Tetapi, pemahaman kita terhadap konsep rahmat Allah s.w.t. ini  terlalu sempit. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali kepada-Mu. Allah berfirman: Azab-Ku akan aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi setiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya, bagi orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami." [Surah al-A'raaf 7:156]

Allah s.w.t. sendiri yang mengucapkan bahawa rahmat-Nya terlalu luas hingga tidak terbilang. Manakala dalam suatu hadis, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah menciptakan rahmat. Pada hari Dia menciptakannya, Dia menjadikannya sebanyak 100 rahmat. Dia menyimpan di sisi-Nya 99 rahmat. Dia hantar kepada semua makhluknya satu rahmat. 

Seandainya orang kafir tahu tentang semua rahmat yang ada di sisi Allah, mereka tidak akan berputus asa daripada memasuki syurga. Seandainya orang beriman tahu semua azab yang ada di sisi Allah, dia tidak akan berasa selamat daripada neraka." [Riwayat al-Bukhari]


Hanya satu dari 100 rahmat Allah s.w.t campakkan ke atas muka bumi. Baki daripadanya disimpan untuk diagihkan di akhirat kelak. Ini menunjukkan bahawa rahmat Allah s.w.t.  masih terlalu banyak yang seharusnya untuk kita kejar bagi meraihnya. Kejar dalam maksud bertakwa kepada Allah s..w.t. serta meraih pandangan dari sisi-Nya.


Hanya dengan Rahmat-Nya

Terlebih penting untuk kita ketahui bahawa masuknya seseorang itu ke dalam syurga atau terselamatnya seseorang itu di alam kubur juga merupakan salah satu dari rahmat Allah s.w.t. Seseorang yang di masukkan ke dalam syurga bukan kerana amalnya, tetapi kerana rahmat Allah s.w.t. Seseorang yang terselamat dari azab kubur juga bukan kerana amal yang diperbuatnya, tetapi juga dari rahmat Allah s.w.t.

Amal itu hanya sebagai suatu perantaraan untuk kita meraih pandangan-Nya. Amal yang ditawjjuhkan hanya kepada Allah s.w.t. bagi meraih pandangan-Nya bagi memperolehi rahmat-Nya. Nabi s.a.w. bersabda : "Tidak ada seorang pun diantara kalian yang amalannya memasukkannya ke dalam syurga dan melindunginya dari neraka. Tidak juga aku, kecuali dengan rahmat dari Allah." [Riwayat Muslim]

Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya mengulas: "Amalan soleh yang kalian kerjakan itu menjadi sebab kepada berolehnya rahmat Allah s.w.t. kepada kalian, kerana sesungguhnya tidaklah seorang itu masuk ke dalam syurga disebabkan amalan yang dikerjakannya, tetapi disebabkan keagungan-Nya dan luasnya rahmat-Nya. Hanya yang membezakan darjat itu sahaja disebabkan oleh amal-amal yang dilakukan oleh kalian."


~sumber majalah solusi.

TULUS


Ada cinta yang jauh lebih tulus pada mereka-mereka yang mencintai pada hal tidak bisa memiliki.
Ada hati yang begitu besar mau berbagi pada mereka-mereka yang diam-diam mencintai hati yang telah dimiliki oleh orang lain.
Ada juga jiwa-jiwa yang begitu ikhlas tak kunjung mendapatkan meski sehari-harinya menemani ke mana pun tubuh itu pergi.
Cinta terkadang memang seperti itu. 
Yang jauh lebih tulus ada pada mereka-mereka yang justru tak bisa untuk saling memiliki.


Aku adalah seorang yang pernah kau lukai lebih dari sekali. Seseorang yang kau patahkan berulang-ulang. Rasa sayang yang kau sepelekan. Dan tetap aku masih mencintaimu dalam kebodohan ini.


Mungkin aku tak lebih baik dari ia yang kau pilih sekarang untuk mendampingimu.
Namun mengertilah bahawa dulu aku juga pernah menjadi yang paling baik kerana selalu berada di sisimu ketika orang-orang meninggalkanmu.

Takut kehilangan padahal bukan siapa-siapa..





Usai sudah.

Aku telah selesai
Sudah usai segala usahaku untuk mendapatkanmu

Aku sudah selesai
Sudah tak mungkin aku lakukan lagi
Sudah habis segala waktu
Sudah tuntas segala peluh
Untuk mengejarmu

Maafkan aku
Butuh selama ini agar aku tersedar
Bahawa ternyata selama ini aku sedang membodohi diri sendiri

Mengejar seseorang
Mendambakan sebuah hati
Yang ternyata tak pernah peduli sama sekali.

Aku benar-benar ingin sekali menatapmu tanpa perlu merasa sesakit ini, seluka ini, seperih ini..




Sunday, 4 February 2018

PILIHLAH TAKWA SEBAGAI SOLUSI SEGALA MASALAH!



MASALAH? Semua orang ada masalah selagi namanya manusia. Cuma bezanya kecil atau besar, berat atau ringan dan sukar atau mudah. Jangan bimbang, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Dan, jalan penyelesaian yang ditawarkan dalam Islam adalah dengan bertakwa.

Sebagaimana firman Allah, ".....Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (at-Thalaq:2-3)


Surah at-Thalaq ayat dua hingga tiga atau yang dikenali oleh umat Islam sebagai ayat 1,000 dinar memang terkandung pengajaran mengenai pentingnya takwa kepada Allah. Di mana di dalam ayat tersebut menjelaskan janji Allah. Yang mana Allah akan memberikan jalan keluar daripada setiap cubaan dan janji Allah akan memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka, kesemuanya itu ditujukan bagi mereka yang bertakwa kepada Allah.


Menurut Imam al-Ghazali r.a., perkataan takwa yang terdapat di dalam al-Quran membawa tiga makna:

1.    Bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah) Antara firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 281, "Dan bertakwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah."


2.     Bermakna taat. Contohnya seperti yang terdapat dalam firman Allah, "Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar takwa (taat)." (Al-Imran:102)


3.     Bermaksud menyucikan hati daripada dosa-dosa. Contohnya dalam firman Allah, "Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan." (an-Nur:52)


Perkataan bertakwa dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat atau takut kerana kalimah-kalimah taat dan takut telah disebutkan dalam ayat sebelumnya. Jadi bertakwa dalam surah an-Nur ayat 52 bermaksud, menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah merupakan definasi kepada istilah takwa.

Berdasarkan pengertian yang dihuraikan, Imam al-Ghazali telah membuat kesimpulan bahawa tawka itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah bertakwa.


BUAH DARI TAKWA

Bermacam-macam kebaikan yang Allah janjikan di dalam al-Quran kepada mereka yang memiliki sifat takwa. Antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat takwa ialah: 

1.     SENTIASA DIPIMPIN OLEH ALLAH

Bagi hamba Allah bertakwa maka mereka akan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali melalui firman Allah, "Allah menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-orang yang bertakwa." [Al-Jasiyah: 19]


2.     TERLEPAS DARIPADA SEGALA KESUSAHAN DAN KESEMPITAN HIDUP

Orang bertakwa akan dapat terlepas daripada kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan bermaksud mereka sama sekali tidak pernah mendapat kesusahan atau tidak pernah ditimpa ujian dan dugaan hidup tetapi terselamat dan terlepas satu demi satu masalah yang dihadapi. Semua ujian yang ditempuhi itu bersifat sementara sahaja. Selepas itu Allah akan melepaskan satu demi satu kesusahan daripada ujian itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan beriman kepada-Nya. Ini jelas sebagaimana di dalam firman Allah, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia daripada masalah kehidupan." [at-Thalaq:2]


3.     DIKURNIAKAN REZEKI OLEH ALLAH

Semenjak di dunia lagi hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya akan dikurniakan dan dilimpahi rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak dirancang. Yang mana rezeki yang dikurniakan tidak diketahui dari mana punca dan sumbernya. Ini jelas sebagaimana sambungan daripada ayat surah at-Thalaq ayat dua, "Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." [at-Thalaq:3]

Berdasarkan ayat itu, barang siapa yang bertakwa kepada Allah, maka rezekinya ada sekadar yang memenuhi keperluan hidup tanpa meminta-minta daripada orang lain. Yang mana keperluan kita tetap ada walaupun kita tidak berusaha dan tidak mempunyai pekerjaan kerana hamba yang bertakwa sentiasa mendapat jaminan daripada Allah. Imam al-Ghazali pernah berkata, "Sekalipun orang bertakwa itu tidak mempunyai pekerjaan, tetapi keperluan hidup tetap diperolehi."


4.     PEKERJAAN SENTIASA DIPERMUDAHKAN

Usaha-usaha dan pekerjaan orang yang bertakwa itu sentiasa dipermudahkan oleh Allah. Ini sebagaimana daripada firman Allah, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, dipermudahkan Allah segala urusannya." [at-Thalaq:4]

Berdasarkan kepada firman Allah tersebut, menunjukkan bahawa Allah akan memberi jaminan kepada hamba-Nya yang bertakwa kepada-Nya. Yang mana pekerjaan dan usaha orang yang bertakwa itu akan sentiasa dipermudahkan jalannya. Mudah di sini bermaksud boleh jadi usahanya sedikit tetapi hasil dan natijahnya banyak.


5.     DIKURNIAKAN KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN

Maksud berkat adalah bertambah atau subur. Apabila dikatakan kehidupannya berkat, makna kehidupannya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan penuh dengan pahala serta kasih sayang Allah. Adapun jika memiliki harta maka hartanya akan berkat, iaitu harta yang tidak putus-putus dapat dislurkan kepada jalan kebajikan dan berpahala walaupun dia bukan terdiri daripada orang kaya sekalipun. Jika memiliki ilmu maka ilmunya akan berkat, iaitu ilmu yang dimilikinya itu bermanfaat dapat diamalkan dan disumbangkan kepada orang. Malah ilmu juga bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.

Adapun badan yang sihat dan berkat itu adalah memiliki tubuh badan yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan kebajikan. Dengan kesihatan badan yang dianugerahkan, ia digunakannya untuk berjuang pada jalan Allah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Memiliki masa yang berkat ialah masa yang Allah peruntukkan dapat digunakan dan dimanfaatkan kepada kebaikan sebaik mungkin.

Umurnya berkat,  kemungkinan umur yang panjang dan tidak melakukan perkara yang sia-sia sepanjang hidup. Walaupun umur tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepada kita akan menambahkan pahala dan dimanfaatkan dengan kebaikan. Rezeki yang berkat iaitu rezeki yang tidak putus-putus sekalipun bukan orang kaya dan jutawan, tetapi rezeki yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.

Manakala berkat pada anak-anak dan keturunan pula bermaksud memiliki anak-anak dan keturunan yang berjaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, malah yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isteri atau suami bermaksud memiliki seorang isteri atau seorang suami yang soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan juga akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran tetangga pula bermaksud, mendapat sahabat handai dan jiran tetanggga yang baik-baik serta menyenangkan hati kita  dan ramai pula yang membantu dalam perjuangan kita untuk menegakkan kebenaran.

Berkat pada seorang guru, iaitu kita mendapat seorang guru yang soleh dan baik hati yang dapat memimpin dan memandu kita selamat di dunia dan akhirat dan mencurahkan mutiara-mutiara ilmu.

Ini menunjukkan bahawa jika seorang hamba memiliki sifat-sifat takwa maka dia akan diberikan keberkatan daripada langit dan bumi. Keberkatan pada hartanya, kesihatan badannya, ilmunya, anak-anak dan keturunannya, isterinya, suaminya, pada sahabat handai dan jiran tetangga, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini jelas sebagaimana firman Allah, "Jikalau penduduk sebuah kampung ( atau sebuah negara) itu beriman dan bertakwa, Tuhan akan membukakan keberkatan daripada langit dan bumi." (al-'Araf:96)


6.     AMALAN SENTIASA DITERIMA ALLAH

Amalan orang yang bertakwa sentiasa diterima oleh Allah tidak kira amalan ibadat wajib mahupun yang sunat sekalipun. Ini jelas sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran, "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah s.w.t. ialah daripada orang yang bertakwa." [al-Maidah:27]

Berdasarkan firman Allah itu, menjelaskan bahawa Allah hanya menerima solat orang yang bertakwa. Allah tidak akan menerima solat orang yang sekadar bergelar di atas nama Islam semata-mata tetapi tidak bertakwa. Takwa adalah membuat kebaikan dan menjauhi perkara yang mungkar.


7.     AMALAN SENTIASA DIPERBAIKI

Sesungguhnya bagi hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya maka amalan-amalannya akan sentiasa perbaiki oleh Allah. Maksud amalan diperbaiki iaitu amalan sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada semasa ke semasa. Ini jelas melalui firman Allah yang mengingatkan kepada kita, "Wahai mereka yang beriman hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan memperbaiki amalan-amalan kamu..." [al-Ahzab: 70-71]

Berdasarkan firman Allah tersebut jelas menunjukkan bahawa orang-orang yang bertakwa amalannya sentiasa perbaiki dan diperkemaskan oleh Allah. Yang mana ibadat orang bertakwa sentiasa diperbaiki seperti sembahyangnya sentiasa diperbaiki oleh Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, zikirnya dan perjuangannya sentiasa diperkemaskan agar sentiasa indah di sisi Allah. Apa saja bentuk kebaikan dan kebajikan yang dikerjakan oleh orang yang bertakwa maka amalan mereka sentiasa dibaiki oleh Allah dari semasa ke semasa dan itulah janji dan jaminan Allah di dalam al-Quran.


8.     DOSA SENTIASA DIAMPUNKAN

Beruntungnya menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah kerana dosa-dosanya sentiasa diampunkan oleh Allah. Sebagaimana firman Allah, "Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu." [al-Ahzab:70-71]

Ayat di atas menunjukkan jelas bahawa orang bertakwa sahaja yang diampunkan dosa-dosanya oleh Allah.

Dapat disimpulkan bahawa inilah diantara kelebihan-kelebihan yang diperolehi oleh hamba-hamba yang bertakwa kepada Allah. Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang yang ada di dunia kerana ianya amat bernilai dianugerahkan oleh Allah. Dengan memiliki sifat-sifat ketakwaanlah ia boleh memandu manusia menuju kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat kelak. 

Semoga kita dikurniakan petunjuk, ketakwaan, kesejahteraan dan kekayaan. Allahumma Aameen. In shaa Allah.

~sumber majalah al-Islam.


Saat kita dewasa, kita akan semakin belajar untuk mati rasa pada banyak hal. Hingga satu waktu, hal-hal yang dulu menyakiti kita dengan muda...