Oleh kerana itu, sudah semestinya jika kita merindukan kasih sayang, perhatian dan perlindungan Allah swt, tanyakanlah kembali pada diri kita, sampai sejauh manakah kita menghidupkan hati kita untuk berkasih sayang dengan makhluk lain. Kasih sayang boleh diibaratkan sebagai pancaran sinar matahari di pagi hari. Dari dahulu sampai sekarang ia terus-menerus memancarkan sinarnya dan ia tidak mengharapkan sedikit pun cahaya yang telah terpancar tadi untuk kembali kepada dirinya.
Sepatutnya seperti itulah sumber kasih sayang di hati kita, ia benar-benar melimpah terus dan tidak pernah habis. Untuk memunculkan kepekaan dalam menyayangi orang lain, kita boleh memulakannya dengan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu.
Mulailah dengan menghadapkan tubuh ini ke cermin seraya bertanya : Apakah wajah indah ini akan bercahaya di akhirat nanti? Apakah wajah ini akan hangus terbakar oleh nyalaan api Jahannam?
Tatapilah hitamnya mata kita seraya bertanya : Apakah mata ini, mata yang boleh menatap Allah, menatap Rasulullah saw, menatap para kekasih Allah di syurga kelak atau malah ianya akan terburai kerana maksiat yang pernah dilakukannya?
Renungilah pula bibir kita seraya bertanya : Apakah ia akan mampu tersenyum gembira di syurga sana atau malah bibir yang lidahnya akan menjulur keluar terpotong-potong kerana banyak mengeluarkan kata-kata keji atau fitnah?
Perhatikan pula tegapnya tubuh kita seraya bertanya : Apakah ia akan berdiri penuh cahaya di syurga sana sehingga layak berdampingan dengan pemilik tubuh yang mulia, iaitu Rasulullah saw atau tubuh ini malah akan membara, menjadi bahan bakar bersama hangusnya batu-batu dalam kerak Jahannam?
Lihatlah betapa bersihnya kulit kita seraya bertanya : Apakah ia akan menjadi indah bercahaya ataukah akan menjadi hitam legam kerana hangus dijilat lidah api Jahannam? Mudah-mudahan dengan melihat ke cermin sambil bertafakur ke dalam diri sendiri, kita akan lebih mempunyai kekuatan untuk menjaga diri kita.
Jangan pula meremehkan makhluk ciptaan Allah kerana tidaklah Allah menciptakan makhlukNya dengan sia-sia. Semua yang Allah ciptakan penuh dengan ilmu dan hikmah. Semua yang bergerak, yang terlihat, yang terdengar dan apa sahaja kurniaan Allah Azza wa Jalla adalah wasilah untuk bertafakur jika hati ini boleh merasakannya dengan penuh kasih sayang.